ALOR SETAR, 19 Feb: PAS telah siap sedia untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara bagi menggantikan tempat yang selama ini didominasi oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai pemerintah.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata demikian semasa berucap dalam majlis perhimpunan 30 ribu Pemuda PAS seluruh Malaysia di Kompleks PAS, Kota Sarang Semut, pagi tadi.Menurut beliau lagi dunia telah membuktikan kezaliman dan sikap diktator yang diamalkan oleh kebanyakan pemimpin tersungkur di tangan rakyat.
"Gelombang yang telah menggerakkan kebangkitan rakyat di Mesir adalah kebangkitan generasi muda. Kebangkitan rakyat kini sudah menular bukan saja ke Tunisia, malah telah merebak ke Yaman dan Algeria.
"Apakah gerakan ini tidak mungkin bangkit di negara ini? Adalah tidak mustahil bagi rakyat untuk bangkit bagi menumbangkan kezaliman dan melenyapkan kemungkaran yang selama ini menodai sistem pemerintahan dalam negara.
"Jangan bimbang dengan Umno dan BN. Mereka kini sudah hampir kepada penghujung jalan. Usia mereka sudah tidak dapat bertahan lama lagi sebagai pemerintah dalam negara ini," ujarnya lagi.
Salahuddin juga menyatakan perubahan juga berlaku di Amerika.
katanya, imej yang dikagumi oleh masyarakat Inggeris bahawa hanya orang kulit putih saja yang boleh menerajui kerusi Presiden di White House juga sudah berubah apabila Obama yang berkulit hitam menerajui kerusi tersebut.
Oleh kerana itu, katanya PAS dan Pakatan Rakyat juga tidak mustahil untuk menjejakkan kaki ke Putrajaya sebagai parti yang layak untuk menggantikan Umno dan BN dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani dan kepimpinan PAS negeri Kedah.