Grab the widget  IWeb Gator

Tuesday, March 1, 2011

JABATAN ALAM SEKITAR CUAI, 3.2 JUTA RAKYAT SABAH DI AMBANG MAUT?

Oleh: MUTALIB M.D












































JABATAN Alam Sekitar Sabah gagal menguatkuasa Akta Alam Sekeliling sehingga menyebabkan nyawa lebih 3.2 juta rakyat Sabah sentiasa diintai ajal akibat kesan langsung radiasi, penyakit dan keracunan yang berpunca daripada pencemaran berlebihan bahan buangan sisa toksik plumbum; ekoran penggunaan bateri asid plumbum dalam sistem elektrik solar luar bandar dan menara telekomunikasi.

Juru Perunding Keselamatan Alam Sekitar, Nik Zafri Nik Abdul Majid menegaskan JAS Sabah gagal memantau operasi pembuangan sisa toksik berasaskan plumbum dan gagal menghalang kegiatan menjadikan Sabah sebagai ‘Pusat Pelupusan Plumbum Terbesar’ di Asia Tenggara ekoran ketiadaan pusat pelupusan plumbum di negeri berkenaan.
“Persoalan yang masih menjadi misteri sehingga kini, bagaimana bateri plumbum seberat antara 20 hingga 120 kilogram boleh melepasi pemeriksaan Kastam, terutama yang diimport daripada negara Jerman, Itali, Chechoslovakia, China dan Taiwan yang mengharamkan penggunaan plumbum?,” tanya Nik Zafri ketika dihubungi Sabahkini.net ekoran tulisannya yang disiarkan Sabahkini.net yang bertajuk ‘Kesan Sisa Plumbum Amat Berbahaya.’
Sehubungan itu, Nik Zafri menggesa Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar agar menyediakan Kertas Putih ke Kabinet Malaysia bagi membahaskan dan menyelesaikan isu penting ini yang telah meletakkan jiwa seluruh rakyat Sabah dan pelancong dalam keadaan terancam.
BAHAYA.... Pekerja SESB ini membahayakan diri menyelenggara 250 bateri asid plumbum di Pulau Banggi tanpa sebarang pakaian khas.
Mengikut Nik Zafri, rakyat Sabah terutama kanak-kanak di sekolah yang menggunakan sistem solar dan solar hibrid yang dikuasakan oleh bateri asid Plumbum dikuarantinkan dan dijalankan pemulihan segera kerana kesan plumbum dalam darah mereka tidak mungkin dapat dikeluarkan daripada tubuh dan akan meninggalkan kesan dalam jangka masa yang lama dan mungkin menderita seumur hidup.
“Pengarah Pelajaran Sabah dan Menteri Pelajaran sebelum ini bolehlah dianggap sebagai ‘Penjenayah Alam Sekitar’ dan ‘Pembunuh Berlesen’ yang menyalahguna kuasa untuk kepentingan diri. Mereka wajar meminta maaf kepada rakyat Sabah dan meletakkan jawatan dalam kadar segera,” ujar Nik Zafri yang kesal kerana kajian Pusat Racun Negara dan Yayasan Sabah pada 1996 tidak dijadikan iktibar oleh Jabatan Pelajaran Sabah.
Tegas Nik Zafri, beliau kesal kerana semua Guru Besar di kebanyakan sekolah rendah luar bandar sanggup menggadai nyawa kanak-kanak sekolah dengan membenarkan pemasangan bateri asid plumbum di dalam bilik darjah dan bilik guru atau perpustakaan.
“Adalah mustahil mereka tidak tahu bahawa setiap kali bateri berkenaan dicaj di dalam bilik darjah akan mengeluarkan gas asid sulfurik dan gas plumbum yang disedut terus oleh kanak-kanak di dalam kelas berkenaan dan sekitarnya sehingga menimbulkan pelbagai komplikasi kesihatan,” ujar Nik Zafri yang juga juruperunding yang terlibat dengan penyediaan ISO dan Environmental Management Systems (Standard) bagi beberapa syarikat ternama di Malaysia.
CUAI... Kebanyakan Guru Besar buta ilmu kerana tidak mengetahui bahaya plumbum sehingga membenarkan bateri berbahaya dipasang di dalam bilik darjah.
Kematian 400 kanak-kanak di Nigeria dan penderitaan yang dialami oleh lebih 2,000 kanak-kanak di China akibat pencemaran plumbum, kata Nik Zafri sepatutnya menjadi pengajaran paling bermakna kepada para ibubapa yang anak mereka belajar di sekolah yang menggunakan bateri asid plumbum.
“Memang terlalu kejam jika keadaan ini berterusan dan kita hanya melihat kezaliman ini berlaku di hadapan mata kita tanpa ada sebarang usaha untuk menghalang jenayah ini daripada berlaku kerana saling menuding jari antara satu sama lain,” ujar Nik Zafri yang mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kemungkinan kebarangkalian Juruperunding Jerman yang dilantik Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Malaysia (KeTTHA) menjadi dalang atau terlibat secara langsung dalam sindiket melupuskan bateri asid plumbum ke Sabah.
Isu penglibatan Juruperunding Jerman di KeTTHA, kata Nik Zafri, pernah ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) di Parlimen sedikit masa lalu, namun tidak ada pihak yang membuka fail siasatan.
Bagi melaksanakan tanggung jawab sosial dan memuhibbahkan hubungan bilateral, Nik Zafri mencadangkan agar semua Kedutaan Besar Malaysia di Berlin (Jerman), China, Italy, Taiwan dan semua negara pengeluar bateri asid plumbum mengirimkan kawat bantahan penyeludupan plumbum ke Malaysia.
“Walaupun sudah agak terlambat untuk bertindak kerana saya percaya majoriti kanak-kanak di Sabah telah dijangkiti keracunan plumbum sejak 1996; sama ada akibat daripada kesan langsung air sungai yang dicemari pembuangan sisa toksik Lombong Tembaga Mamut di Ranau sedikit masa lalu; tetapi kita yakin masih mempunyai kesempatan untuk bertindak mengharamkan plumbum ke Sabah,” ujar Nik Zafri yang menggesa agar Kerajaan Negeri Sabah tidak menerima sebarang desakan daripada pelbagai pihak untuk membina pusat pelupusan plumbum.
KESAN...Kebanyakan ikan di laut yang tercemar tidak sama dengan spesis asal.
Sebagai Aktivis Alam Sekitar, Nik Zafri menegaskan agar Jabatan Alam Sekitar di Sabah segera menguatkuasa Undang-Undang Akta Alam Sekeliling secara mandatori dengan mendenda sesiapa sahaja yang membuang sisa bateri plumbum di Sabah; termasuk kontraktor Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang mengimport masuk racun karsiogenik berkenaan tanpa kelulusan JAS.
Tegas Nik Zafri, pihaknya dengan kerjasama dengan beberapa NGO yang prihatin sedang mengkaji kesan sampingan yang dihasilkan daripada plumbum terutama di Sungai Mamut dan di perairan Sabah kerana menjadi tempat pembuangan sisa logam berat berkenaan; terutama perubahan genetik dan kepupusan banyak spesis ikan dan paling penting tahap mutasi spesis tertentu akibat kesan radiasi plumbum.
VAN....Ikan sebesar van yang ditemui di Sungai Han, Korea ini telah menjadi mutasi akibat pencemaran toksik plumbum dan diadaptasi ke layar perak.
“Penjenayah alam sekitar ini hendaklah diheret ke mahkamah, terutama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electrical Sdn.Bhd yang mencemarkan alam sekitar kerana Janakuasa Solar di Pulau Banggi dan beberapa kawasan lain turut menggunakan bateri asid plumbum yang amat berbahaya kepada manusia,” ujar Nik Zafri yang mengakui pihaknya sedang dalam peringkat awal untuk mengumpul data berhubung permintaan penduduk Pulau Banggi yang bercadang untuk menyaman Kerajaan Malaysia kerana menjadikan pulau tersebut sebagai Pusat Pelupusan bateri asid plumbum.
KASIHAN....Ramai kanak-kanak sekolah di luar bandar menjadi mangsa keracunan plumbum dan mundur dalam pelajaran.
Kata Nik Zafri, pihaknya juga amat kesal dengan sikap TNB dan SESB yang cuai kerana gagal menyediakan pakaian keselamatan termasuk corong pernafasan beroksigen sehingga menyebabkan para pekerja mereka terdedah kepada bahaya pencemaran dan keracunan plumbum ketika berada di loji janakuasa solar dan menyelenggara bateri berkenaan.
“Bukankah tugas untuk menyelenggara bateri ini sewajarnya dilakukan oleh kontraktor yang membekal bateri berkenaan dan bukannya kakitangan atau penjaga jentera?,” ujar Nik Zafri yang mempersoalkan tahap keselamatan di Loji Janakuasa Elektrik Pulau Banggi setelah satu daripada 250 bateri asid plumbum di stesen berkenaan meletup.
Dalam pada itu, Sabahkini.net telah menghubungi Pengarah Urusan SESB, Datuk Ir Baharin Din untuk mendapatkan ulasan berhubung kedudukan Stesen Janakuasa Elektrik Solar Hibrid Pulau Banggi, namun beliau memerlukan sedikit masa untuk menjalankan siasatan kerana masih terletak di bawah bidang kuasa Tenaga Nasional Berhad dan belum diserahkan sepenuhnya, sekalipun penyelenggaraan dilakukan oleh kakitangan SESB.
Sabahkini.net akan mendedahkan kesan pencemaran plumbum dan penjenayah alam sekitar di Pulau Banggi, Kudat dalam masa terdekat agar pihak penguatkuasa undang-undang dapat bertindak segera sebelum terlambat.

http://sabahkinimirror.blogspot.com/2011/03/jabatan-alam-sekitar-cuai-32-juta.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular