Kg Baru: Alasan tangguh bukti kerajaan tergesa-gesa
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 4 Mac: Dewan Pemuda PAS Kawasan Titiwangsa (DPPKT) mendesak kerajaan agar menghentikan usaha untuk membentangkan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2010 yang akan dibuat pada Jun 2011 ini. Rang undang-undang itu dijadualkan akan dibentangkan di Parlimen pada sesi Mac hingga April 2011 ini, namun ditangguhkan ke bulan Jun 2011. Timbalan ketuanya, Mohd Shahir Abu Hassan berkata, alasan kerajaan menangguhkan pembentangan rang undang-undang itu bagi memberi ruang kepada pemilik dan pewaris memberikan pandangan menunjukkan bahawa kerajaan selama ini bertindak secara tergesa-gesa sedangkan di pihak rakyat belum bersedia menerima perubahan. “Ini juga membuktikan kerajaan belum mengkaji sepenuhnya kesan dan akibat dari pembentangan tersebut kepada penduduk Kampung Baru,” ujarnya. DPPKT, katanya mempersoalkan apakah pemilik dan pewaris benar-benar memahami perubahan yang akan berlaku apabila rang undang-undang itu diluluskan kelak serta implikasi yang akan mereka hadapi. “Benarkah kerajaan telah berbincang secara masak dengan semua pemilik dan pewaris Kampung Baru sebelum ia dibentangkan kelak?” soalnya. Tambahnya, DPPKT merasa sangsi kerana kerajaan baru menggugurkan klausa “tidak boleh dicabar” atau imuniti dalam Rang Undang-Undang tersebut ekoran desakan Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru serta Jawatankuasa Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa. (PKWR) . Ini, ujarnya menunjukkan banyak perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk terhadap rang undang-undang tersebut yang menjadi pertikaian. “Bayangkan sekiranya pihak Jawatankuasa PKWR serta MAS tidak membantah dan membangkitkan isu ini, sudah pasti rang undang-undang ini diluluskan secepat mungkin tanpa mendapat persetujuan semua pihak,” katanya. Justeru, tambahnya DPPKT merasakan kerajaan perlu menghentikan pembentangan rang undang-undang itu di Parlimen demi kebaikan penduduk Kampung Baru. “Akhir sekali DPPKT menegaskan agar pentadbiran Kampung Baru harus diserahkan kepada Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru yang telah mentadbir selama 110 tahun tanpa campurtangan pihak yang berkepentingan terhadap warisan kampung Melayu yang berharga itu,” katanya lagi |