TEMERLOH - Sebahagian besar penduduk di Kampung Pulau Pasir Mandi dan beberapa kampuing berhampiran, kecewa kerana dianaktirikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) Pahang dalam agihan saham tanah peneroka Felcra.
Penduduk mendakwa sebahagian besar dari peserta terbabit bukan di kalangan orang tempatan tetapi pihak luar yang tidak dikenali mereka.
Malahan terdapat di kalangan para pesertanya adalah pegawai kerajaan yang berpendapatan tetap dan “selesa”. “
Beberapa orang penduduk setempat yang pernah ditemuduga tetapi tidak terpilih sebagai peserta tanah-tanah di Felcra Pulau Mandi melauhkan rasa kekecewaan tersebut.
Saudara Zamri Hitam, 39, (berbaju biru) melahirkan rasa dukacita kerana permohonan untuk menjadi peserta Felcra Pulau Pasir Mandi belum kesampaian.
Katanya, temuduga pernah dibuat oleh pihak pengurusan Felcra dan kerajaan negeri tetapi tidak terpilih pada tahun 2007.
“Saya orang tempatan yang lahir dan membesar di sini (Pulau Pasir Mandi) tetapi kecewa kerana tidak terpilih untuk menjadi peserta di Felcra ini.
“Saya pernah dipanggil temuduga peringkat kedua pada tahun 1998 dan diagihkan kepada peserta sebelum mengundi tahun 2008.
“Apa yang pelik dan menghairankan sebahagian besar yang ‘terpilih’ (peserta baru) itu adalah orang luar yang kita (penduduk) tidak kenal mereka ini,” jelasnya.
Rakannya, Khairi Jalil, 37, berkata protes penduduk pernah dibuat kepada pengurusan Felcra dan kerajaan dalam agihan tanah kepada peserta Felcra tetapi tidak dilayan.
Katanya, isu “pilih kasih” atau mengutamakan kroni tertentu dalam agihan tanah dan saham Felcra berlaku di Kerdau ini.
“Kami semua anak tempatan yang lahir dan membesar di sini. Kami generasi kedua peserta Felcra yang masih menumpang dengan keluarga.
‘‘Jika kami anak tempatan tidak diberi peluang tetapi dipilihnya orang luar yang tidak ada kena-mengena, yang telah hidup mewah dan berpendapatan tetap,’’ ujarnya.
Puan Junainah Aziz, 40, mahukan kerajaan negeri berlaku adil dan mengutamakan penduduk tempatan terutama generasi kedua Felcra.
Katanya, generasi kedua Felcra masih ramai yang miskin dan menjalani kehidupan berkeluarga dengan menumpang.
“Saya mohon kerajaan negeri beri perhatian kepada anak tempatan untuk menjadi peserta Felcra kerana kami generasi kedua belum lagi mempunyai tanah sendiri.
“Apa yang berlaku, mereka yang mendapat tanah-tanah Felcra adalah bukan orang tempatan yang langsung tidak dikenali penduduk setempat,’’ ujarnya.
Menurutnya, isu yang dibangkitkan itu bukan hanya berlaku di Felcra Pulau Pasir Mandi tetapi juga di tempat lain.
Manakala, Noriah Mohd Shafie, 39, turut merayu agar kerajaan negeri lebih berlaku adil dan tidak mementingkan kroni tertentu dalam pemilihan di Felcra.
‘‘Kerajaan kena prihatin, adil dan utamakan penduduk setempat. Usah utamakan kepada kroni atau kenalan tertentu dalam pengagihan tanah Felcra ini,’’ tegasnya.
Buletinonline difahamkan, kini terdapat hampir 130 orang peserta yang memperolehi tanah-tanah di Felcra Pulau Mandi tersebut.
Di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau terdapat lima buah rancangan tanah Felcra iaitu Felcra Batu Sawar, Felcra Teluk Sentang, Felcra Kerdau, Felcra Rumpun Makmur dan Felcra Pulau Mandi.