Grab the widget  IWeb Gator

Friday, March 4, 2011

Merlimau : Tak tahu ke buat2 tak tahu...


Program misteri 1 Malaysia, Ali Rustam kata ‘saya tak tahu’


Pemandangan luar lokasi program NGO 1 Malaysia dengan hadirin diwajibkan memakai kemeja-T 1 Malaysia.

JASIN, 4 Mac — Kewujudan pertubuhan misteri yang menggunakan nama 1 Malaysia ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau menimbulkan pelbagai persoalan besar mengenai motif sebenar badan itu.

Malah pertubuhan itu, yang turut menganjurkan pelbagai jenis program termasuk majlis makan malam dikatakan mempunyai kaitan dengan Barisan Nasional (BN).

Selain itu, kewujudan pertubuhan misteri itu dilihat membantu kempen BN dengan menawarkan pelbagai hadiah dalam setiap program yang dianjurkan.

Difahamkan pertubuhan itu beroperasi atas nama 1Malaysia dan hanya muncul dalam kempen pilihan raya kecil untuk mengagihkan barangan keperluan termasuk mengedarkan kemeja-T tertera logo 1 Malaysia kepada pengunjung khususnya pengundi kawasan Merlimau yang hadir.

Pertubuhan ini dikatakan mengadakan makan tengah hari dan makan malam secara percuma kepada pengundi. Difahamkan program itu dihadiri pengundi bukan Melayu yang jumlahnya begitu ramai.

Terbaru, pertubuhan itu telah mengadakan program makan malam bersama masyarakat India di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Merlimau di sini malam tadi.

Setiap pengundi diberikan tiket untuk menghadiri program tersebut. Mereka yang tiada tiket tidak dibenarkan masuk termasuk wartawan.

Selain itu, program anjuran pertubuhan misteri itu dikawal ketat petugas yang memakai kemeja-T 1 Malaysia.

Ketika ditanya mengapa wartawan tidak dibenarkan masuk, petugas terbabit berkata hanya mereka yang mempunyai tiket dibenarkan untuk menyertai program yang dianjurkan.

“Maaf, hanya mereka yang ada tiket sahaja yang boleh masuk. Ini adalah arahan pihak atasan, saya tidak boleh benarkan,” kata petugas yang mengawal di pintu utama sekolah itu.

Selain makan malam, masyarakat India yang hadir turut dipersembahkan dengan dendangan lagu dan cabutan bertuah.

Wartawan yang menunggu di hadapan pintu masuk sekolah itu hanya dibenarkan masuk ketika Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam hadir memberikan ucapan.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai pertubuhan itu, Mohd Ali berkata beliau tidak tahu tentang kewujudannya.

“Saya tak tahu, saya datang sini sebab ada ramai orang, jadi saya singgah.

“Tapi kalau ia sokong 1 Malaysia saya juga sokong,” katanya.

Pertubuhan 1 Malaysia ini pertama kali muncul pada kempen pilihan raya kecil di Galas November lalu dengan sejumlah sukarelawannya mengagihkan beg barangan itu kepada pengundi, khususnya di kawasan yang ramai pengundi berbangsa Cina.

Keadaan yang sama juga disaksikan pada pilihan raya kecil Tenang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular