Grab the widget  IWeb Gator

Monday, March 28, 2011

PEMBANGKANG di Selangor, Jangan DERHAKA!!

SHAH ALAM, 28 Mac: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menggesa semua pihak termasuk pembangkang memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi meningkatkan pentadbiran negeri.

"Beta berharap kita semua akan bekerja dengan niat baik serta memberikan kerjasama perlu kepada kepimpinan negeri diketuai Memanda Menteri Besar.

"Beta sendiri sentiasa berbincang dengan Memanda Menteri Besar baik dalam soal pentadbiran, ekonomi dan permasalahan sosial terutama melibatkan negeri di mana beta banyak memberi nasihat kepada Memanda beta demi kesejahteraan rakyat," tegas baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian ketika merasmikan Sidang Dewan Negeri Selangor Pertama Penggal keempat Dun Kedua Belas pada pagi ini.

Baginda bertitah semua pimpinan terutama Adun hendaklah mengepikan fahaman politik kepartian dengan mengutamakan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.

Titah baginda, semua perkara yang dibincangkan dalam dewan hendaklah mengutamakan rakyat dan negeri.

Baginda berharap dewan kali ini menjadi medan terbaik menyelesaikan pelbagai isu khusus melibatkan kepentingan rakyat.

Dengan amanah yang diberi, keutamaan semua wakil rakyat adalah untuk hadir ke dewan berbahas dan membawa suara akar umbi merentasi kepentingan agama, kaum, politik dan sosial, tambah baginda.

"Semua perkara berbangkit hendaklah dibincangkan dalam dewan mulia ini dengan penuh intelektual dan bukannya dengan emosi.

"Beta berbangga dengan kemajuan negeri yang memberikan sumbangan besar kepada hasil pendapatan negara," tegas baginda.

Dalam pada itu, baginda sedar Selangor sebagai negeri maju pada 2010 telah mendapat pelaburan sebanyak RM10.64 bilion dengan 325 projek industri berteknologi tinggi diluluskan.

Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 47 projek berbanding 2009.

"Namun kita harus sentiasa bersiap sedia berhadapan dengan iklim ekonomi dunia yang ada kalanya tidak menentu khususnya di Amerika, Eropah dan Timur Tengah.

"Jangan kita berbelanja secara boros dan tanpa kawalan, pengalaman lalu harus dijadikan tauladan," tegas baginda.

Baginda berharap Belanjawan 2011 bertemakan Hasil Negeri Untuk Rakyat dengan empat startegi utama akan dilaksanakan Kerajaan Selangor; pengurusan sumber negeri secara bijaksana, pengurusan perbelanjaan cekap, mendokong pembangunan modal insan dan melestarikan pembangunan negeri dengan baik dan berkesan dapat memangkin agenda berkaitan.

Badrul hadir, Shuhaimi diminta ke mahkamah

Tan Sri Abdul Khalid dan semua Exco Kerajaan Negeri serta seluruh Adun hadir termasuk Adun Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah yang diisytiharkan kosong oleh Speaker, Datuk Teng Chang Khim sebelum ini.

Meskipun Mahkamah memutuskan Badrul masih kekal sebagai Adun namun dalam sidang media terakhir, Teng sebutkan beliau belum menerima apa-apa secara rasmi dari mahkamah.

Sementara itu, Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei kesal dengan tindakan mahkamah yang tetap memerintahkan beliau hadir juga meskipun perasmian sidang Dun sedang berjalan.

Menerusi smsnya, beliau berkata, dalam masa 30 minit beliau diminta hadir atau waran tangkap dikeluar ke atasnya.

Beliau bagaimanapun hadir juga ke Mahkamah Sesyen, dekat sini selepas itu.

Harakahdaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular