Grab the widget  IWeb Gator

Friday, April 1, 2011

Adnan Yaakub digesa letak jawatan

TEMERLOH, 1 April: Berikutan satu laporan polis dibuat terhadap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan pembantunya yang juga Setiausaha Umno Bentong, Shamsuddin Ibrahim berkaitan penipuan kawasan balak oleh seorang ahli perniagaan, Pakatan Rakyat (PR) negeri Pahang mendesak Adnan melepaskan jawatannya.

Pengerusi PR Pahang yang juga Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya hari ini berkata, Adnan perlu melepas jawatan atau  bercuti bagi membolehkan pasukan penyiasat melaksanakan tugas mereka secara bebas dan telus berhubung dakwaan penipuan tersebut.

Minggu lalu pengasas dan pemegang saham sebuah syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd (SGM), Lee Sin (gambar) telah membuat laporan polis terhadap Adnan Yaakob dan pembantunya yang merupakan Setiausaha Umno Bentong, Shamsudin Ibrahim di balai polis SEA Park, Kuala Lumpur kerana didakwa menipunya sebanyak RM300,000.

Lee Sin (gambar) dalam laporannya menyebut, beliau telah membeli lebih 10 peratus saham kepunyaan Shamsudin seperti dipersetujui pada 2000 dengan dijanjikan balak di kawasan 10,000 ekar tanah milik Umno di Nenasi Pekan.

Berita yang dipetik laman Malaysiakini bertarikh 25 Mac, menyebut sebagai sebahagian daripada perjanjiannya, Shamsuddin dilantik sebagai pengarah urusan tetapi kemudiannya lesen pembalakan dikeluarkan tidak mengikut perjanjian.

Tuan Ibrahim berkata, oleh kerana kes tersebut telah dilaporkan kepada polis maka PR Pahang memandang serius di atas tuduhan yang dikenakan ke atas  Adnan selaku seorang penjawat awam peringkat tertinggi negeri sehingga boleh memberikan implikasi negatif kepada perjalanan pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri.

“Justeru kami segera menuntut agar Datuk Seri Adnan mengambil tanggungjawab dengan penuh kejujuran memelihara nilai integriti dan responsbiliti  pentadbiran. Kami tidak mahu negeri ini terjebak kedalam situasi yang boleh menghilangkan kepercayaam umum yang akhirnya memberi  kesan kepada pembangunan negeri terutama dari aspek ekonomi. Kami bimbang kes sebegini jika tidak ditangani secara adil dan bebas boleh menghilangkan keyakinan pelabor untuk  menanam modal di negeri ini.

“Tuntutan kami terhadap Menteri Besar, Dato’ Seri Adnan Yaakob  supaya berundur dengan melepaskan jawatan atau bercuti adalah relevan kerana tunduhan yang dihadapkan kepada beliau adalah berat kerana ia melibatkan tuduhan melakukan  jenayah iaitu penipuan dan salah guna kuasa,” katanya.

Tambah Tuan Ibrahim, PR Pahang berharap siasatan dapat dilakukan secara adil dan bebas demi memperlihatkan keadilan masih wujud dalam negara ini. Harakah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular