Tak berbangkit MPKB BRI abai kebajikan peniaga
KOTA BHARU, 31 Mac: 'Tunggul pun dikatakan hantu..' Mungkin inilah yang dapat digambarkan apabila Persatuan Peniaga Arked MPKB mendakwa kerajaan negeri tidak berpegang kepada janji.
Kelmarin anggota jawatankuasa persatuan itu mendakwa menerima surat kuning supaya mengosongkan bangunan mulai hari ini, sedangkan sebelum itu dijanjikan sebelum 31 Mei depan.
Seorang anggota jawatankuasa persatuan itu mendakwa notis penamatan sewa dikeluarkan Blue Lang Marketing.
Sedangkan pengurus syarikat terbabit, Wan Muhamad Azha Wan Omar memberitahu notis kuning yang dikeluarkan bagi menyatakan pihaknya tidak lagi bertanggungjawab ke atas kutipan sewa, bil elektrik dan kebersihan premis selepas 30 Mac dan peniaga dikehendaki menjelaskan tunggakan sewa dan bil elektrik sehingga 31 Mac.
”Peniaga mungkin salah faham terutamanya kepada peniaga di tingkat satu,” katanya seperti dilaporkan sebuah akhbar semalam.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) menjelaskan pihak perunding mengesahkan Arked MPKB tidak lagi selamat diduduki kerana terdedah kepada litar pintas kabel elektrik.
Yang Dipertuanya, Nazran Muhamad berkata, air sentiasa bocor dan mengalir sehingga menyebabkan kekuatan konkrit semakin merosot dan menurun.
”Ini tidak ekonomik untuk dibaiki kerana kos sangat besar di samping rumit dari segi pelaksanaan.
”Selaras dengan peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa tempatan untuk memastikan keselamatan semua bangunan di kawasannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya MPKB BRI telah membuka tawaran dan bersetuju pembangunan semula tapak Arked MPKB kepada sebuah syarikat dengan keseluruhan pulangan sebanyak RM6.8 juta.
”Pembangunan semula tapak Arked MPKB merupakan satu usaha ke arah mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi setempat, di samping membuka peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk Kota Bharu,” ujarnya.
Oleh itu kata beliau sepatutnya tidak berbangkit soal jual beli bangunan arked kepada pemaju kerana perkara tersebut sudah selesai.
Nazran berkata, sebelum Arked MPKB diroboh, MPKB BRI telah membeli ruang niaga di tingkat satu Bazar Tengku Anis bagi menyelesaikan masalah dihadapi peniaga.
Bagaimanapun katanya, peniaga tingkat atas Arked MPKB tidak bersetuju berpindah ke Bazar Tengku Anis sebaliknya memilih Bazar Tok Guru.
”Keluasan lot di Bazar Tok Guru sepatutnya tidak berbangkit kerana saiz tersebut telah pun dipersetujui bersama dalam mesyuarat pada 20 Januari 2010 yang turut dihadiri wakil peniaga Arked MPKB dan Arked Uda.
”Persetujuan saiz lot tersebut bagi membolehkan semua peniaga dikedua-dua bazar ditempatkan di ruang niaga tingkat bawah Bazar Tok Guru,” katanya.
Difahamkan pada mesyuarat yang diadakan itu peniaga diwakili Abdul Salim Ahmad daripada Arked MPKB dan Wan Lukman Wan Salleh (Arked Uda).
Ketika itu wakil peniaga terbabit memohon penempatan semula semua peniaga berdaftar di Arked MPKB dan Arked Uda seramai 415 orang.
Manakala sebahagian besar peniaga makanan di tingkat bawah Arked MPKB bersetuju menerima tawaran lot di sekitar Bazar Tengku Anis dan terminal bas di Lembah Sireh.
Nazran berkata, kerajaan negeri dan MPKB-BRI telah menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya bagi menjaga kebajikan peniaga selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam.
”Tidak berbangkit langsung kerajaan negeri mengabaikan kebajikan dan kepentingan peniaga malah lebih bersifat prihatin bagi menjaga masa depan mereka,” ujarnya.