KUALA LUMPUR, 30 Mac – Novel kontroversi Interlok kini berdepan kemelut baru ekoran tindakan pertubuhan Cina secara terbuka mengkritik karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu sambil menyifatkannya bersifat rasis.
Beberapa wakil masyarakat Cina menggambarkan watak orang Cina dalam novel itu sebagai tamak, “tahi candu” dan kaki perempuan semata-mata untuk memberikan kelebihan kepada orang Melayu.
Sebelum ini, novel kontroversi yang kini dijadikan buku teks Tingkatan Lima berdepan dengan bantahan daripada masyarakat India kerana menggunakan perkataan “paria” dan kini Kementerian Pelajaran berdepan dengan desakan dari masyarakat Cina pula yang menyifatkan ia rasis.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, pertubuhan Cina itu berkata, novel Interlok bukan sahaja sensitif kepada masyarakat India, tetapi masyarakat Cina juga apabila menggambarkan watak Kim Lok sebagai tahi candu dan kaki perempuan dan anak lelaki Cing Huat pula disifatkan sebagai “licik, tamak, jahat dan akan gembira jika menjual anak perempuannya.”
“Interlok secara keseluruhan dibuat untuk mengembangkan ideologi Ketuanan Melayu. Pada pandangan kami, novel ini bukan sahaja tidak sihat tetapi racun yang bahaya.
“Malah Interlok lebih kurang sama dengan Biro Tata Negara (BTN) yang bersifat perkauman dan (mahu membawa) perpecahan,” kata kenyataan itu.
Interlok menyampaikan mesej utama bahawa Cina, India dan kumpulan minoriti sebagai rakyat kelas kedua sebagai tambahan kepada idea pengasingan antara masyarakat asal (Melayu) dan bangsa asing (Cina dan India),” tambah kenyataan itu.
Kumpulan itu juga mengkritik “penggunaan plot” dalam novel itu yang mana menggambarkan orang Cina sebagai “penipu dan penindas” orang Melayu atau “jahat dan tidak bermoral” seperti gerila komunis.
Kenyataan itu yang ditandatangani Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Pertubuhan Malaysia-China, Gabungan Pertubuhan Cina Persekutuan Johor dan Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang dan 40 pertubuhan lain termasuk Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) serta Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao.
Antara perkara dalam novel itu yang disifatkan sebagai rasis adalah:
* Kita makan apa yang dapat. Akar-akar kayu kalau ada. Kita minta sedekah. Kita curi. Kita tak punya anak perempuan. Kalau ada anak perempuan kita boleh jual, (Kim Lok, ms 119-120).
* Kim Lok membawa Mei Hwa untuk menghisap candu dan mengadakan hubungan seks dengan dia setiap kali bertemu begitu (ms 200).
* Dalam kota besar dan asing serupa ini orang tidak boleh kasihan, kalau kasihan kita tidak boleh kaya. Di sini wang yang menjadi ukuran. Dalam dunia ini wang itu Tuhan nombor dua (ms 155-156).
* “Cina Panjang kata tanah-tanah itu semuanya haknya belaka. Lembu yang kami bela itu pun hartanya juga. Bapa saya telah gadai kepadanya” (ms 88).
* Kata Seman tanah itu semua sudah digadai pada Cina Panjang tu, dan orang Cina tu pun dah suruh Seman ini keluar dari kampung tersebut (ms 92).
Pertubuhan-pertubuhan itu bagaimanapun tidak mahu novel itu disunting seperti mana yang dituntut masyarakat India yang tidak gembira dengan perkataan “paria” – tetapi juga mahu digugurkan daripada digunakan di sekolah.
Mereka mendesak Kementerian Pelajaran agak tidak membenarkan “penghinaan” yang menyentuh perasaan kaum lain dan meminta agar ia digantikan dengan bahan bacaan yang lebih sesuai.
“Kami menyokong kesusasteraan sepatutnya mengggalakkan nilai-nilai progresif seperti demokrasi, kebebasan, persamaan dan hak-hak manusia. Hidup di Malaysia pada abad ke-21 sepatutnya ia bersifat ketuanan rakyat daripada sesuatu yang bersifat sempit,” kata kenyataan itu lagi.
Novel Intelok yang ditulis pada 1971 menggambarkan perjuangan orang Melayu, Cina dan India dalam era prakemerdekaan.
Minggu lalu Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Interlok akan tetap digunakan di sekolah dan telah mengarahkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menyunting semula novel itu.
Muhyiddin juga berkata kementeriannya juga akan menyediakan glosari bagi menjelaskan frasa-frasa dan konsep-konsep kepada pelajar.
Dalam pada itu, Badan Bertindak Interlok Kebangsaan (NIAT) yang sepatutnya mengadakan pertemuan dengan Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BBCBN) hari ini telah dibatalkan atas sebab yang tidak pasti.
Kumpulan yang menuntut agar novel Interlok ditarik balik daripada digunakan di sekolah akan mengadakan pertemuan dengan BBCBN semula pada 6 April.