Grab the widget  IWeb Gator

Saturday, April 2, 2011

Perpindahan penduduk PJS1 bukan isu perkauman

KUALA LUMPUR, 1 April: Tindakan sesetengah pihak menjadikan isu perpindahan 29 keluarga rumah panjang PJS1, Petaling Jaya, Selangor sebagai isu perkauman amat dikesali dan mesti dikutuk oleh seluruh rakyat Selangor.

Sehubungan itu, rakyat Selangor seharusnya menolak dan tidak melayan mereka yang memainkan sentimen perkauman untuk mencari populariti kerana usaha untuk melaga-lagakan antara kaum-kaum hanya akan menghancurkan masyarakat kita.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad menjelaskan, keputusan memberikan bantuan dan arahan untuk berpindah terhadap 29 keluarga rumah panjang PJS1 itu bukan dibuat di atas sebab-sebab perkauman. 
Menurut beliau, malah terdapat juga penduduk setinggan berbangsa Melayu yang dibantu oleh Kerajaan Negeri seperti bekas penduduk setinggan Kampung Bukit Botak, Selayang.
Katanya, selain berbangsa India, terdapat juga penduduk setinggan lain yang diminta berpindah seperti di Ampang Campuran dan Kampung Pandan.
"Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sentiasa bertindak adil. Setiap keputusan yang dibuat tidak sekali-kali di atas sebab-sebab perkauman," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.
Keputusan kerajaan Selangor membantu 29 keluarga rumah panjang terbabit mencetuskan pertikaian pihak-pihak tertentu dengan mempersoalkan kenapa hanya keluarga rumah panjang India mendapat bantuan sewa dan perpindahan, walhal keluarga rumah panjang Melayu di kawasan-kawasan lain di Selangor tidak mendapat bantuan seperti itu.
Selain itu, terdapat juga mereka yang menyemarakkan api perkauman apabila mendakwa penduduk rumah panjang itu diminta berpindah kerana mereka berbangsa India.
Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Iskandar yang juga Adun Cempaka menjelaskan, kerajaan Negeri telah meluluskan bantuan sewa RM14,285 kepada setiap keluarga rumah panjang tersebut bukan di atas dasar bangsa, tetapi di atas dasar kemanusiaan. 
Katanya, keluarga tersebut telah tinggal di situ kerana pembinaan rumah kos rendah mereka telah terhenti akibat satu tindakan mahkamah dalam tahun 2004.
"Bantuan itu diluluskan untuk membantu mereka mencari rumah sewa sehingga rumah kekal mereka siap. Rumah panjang mereka adalah terlalu dhaif untuk didiami.
"Bantuan diluluskan di atas dasar itu dan bukan kerana mereka berbangsa India sepertimana yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu," jelasnya.
Dakwaan seperti itu, tegas beliau, jelas berniat jahat kerana mereka diminta berpindah sebab di tapak rumah panjang itu hendak dibina sebuah sekolah.
Katanya, walaupun Kerajaan Persekutuan telah menangguhkan pembinaan sekolah itu pada bulan Ogos lepas, tetapi Kerajaan Negeri berharap jika tapak tersebut dikosongkan, pembinaan dapat dimulakan.
"Pembinaan telah ditangguhkan kerana penduduk telah enggan berpindah, walaupun telah ditawarkan bantuan tersebut dan Kerajaan Negeri telah menambah jumlah bantuan dari jumlah asal RM10,000 sekeluarga kepada RM14,285 pada bulan Mei 2011.
"Selain dari itu, keadaan rumah panjang itu yang terlalu dhaif juga merupakan satu sebab kenapa penduduk perlu berpindah," jelas beliau.- http://bit.ly/eBH6CS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular