TIDAK sukar untuk membaca maksud yang tersirat seperti yang dikeluarkan oleh kerajaan berhubung kenaikan minyak petrol. Petikan Malaysiakini hari ini melaporkan, " Kerajaan tidak bercadang menaikkan harga petrol RON 95 buat masa ini sekalipun harga semasa minyak mentah di pasaran dunia semakin meningkat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun kerajaan tidak dapat menjamin perkara tersebut pada masa depan jika krisis di negara pengeluar minyak berterusan.
Apabila kita membaca kenyataan dari menteri berkenaan, kita sudah boleh merasakan akan berlaku sesuatu selepas pilihanraya negeri di Sarawak nanti. Menteri ini sibuk menasihati rakyat jangan terlalu bergantung kepada subsidi, tetapi yang mendapat subsidi paling banyak siapa? Menteri ini tidak menasihatkan syarikat-syarikat besar atau GLC yang kini terlalu mewah dengan subsidi kerajaan. Mengapa rakyat yang menteri ini sedar kebanyakannya hidup susah di`bebel'kan dengan subsidi?
Jika rakyat bijak dan cerdik, tiada sebab mereka mahu menolak tawaran dari PR jika memerintah Putrajaya hari ini, esok harga minyak turun. Memang pemimpin Umno akan mendakwa itu adalah janji-janji manis PR sahaja kerana pemimpin Umno ini amat takut mereka kehilangan kuasa. Jika mereka ada hujah atau fakta bahawa PR berbohong tentang janji tersebut atau janji-janji yang terdapat di dalam Buku Jingga, mengapa mereka takut untuk berdebat secara ilmiah?
Sebaliknya menteri ini bercakap seperti budak-budak hingusan yang mencabar agar negeri-negeri di bawah PR terlebih dahulu turunkan harga minyak. Ini bukan hujah, ini lawak jenaka yang memperbodohkan diri menteri itu sendiri. Kadangkala terliur kita melihat bagaimana negara-negara lain yang menjadi negara pengeluar minyak seperti negara kita, rakyatnya mewah menggunakan hasil bumi negara mereka sendiri. Di mana akal menteri kita yang berhujah bahawa harga minyak di negara kita lebih murah jika dibandingkan dengan Thailand dan Singapura. Adakah mereka anggap kesemua rakyat di negara ini seperti `katak di bawah tempurung'?
Bayangkan, jika kita memiliki dusun durian adakah kita mahu menjual durian kita dengan harga yang mahal kepada anak beranak atau kaum kerabat kita? Atau, kita akan berhujah bahawa orang lain menjual durian lebih mahal dari kita jual kepada anak beranak dan kaum kerabat kita? Durian gred bermutu, anak beranak dan kaum kerabat kita tidak boleh merasainya kerana kita menjual mahal. Durian yang tidak bermutu, pecah, busuk dan masam kita jamu kepada anak beranak dan kaum kerabat kita, itu pun dengan harga yang mereka berfikir dua tiga kali untuk membelinya. Jenis apa kita?
Pilihanraya Umum Ke 13 nanti satu lagi ujian buat rakyat. Adakah kita bersedia untuk terus diperbodohkan atau tidak. Pilihanraya Negeri Sarawak, saya tidak berani meramalkannya kerana budaya politik di negeri tersebut tidak tahu untuk saya memikirkannya. Apa yang saya tahu, Taib Mahmud serta keluarganya terus mewah dan kaya raya dan Taib sendiri mempunyai isteri muda yang baru./wfauzdin.blogspot.com