[Mstar] Perbuatan menyamakan upacara akad nikah di dalam masjid dengan amalan penganut Kristian adalah menyimpang daripada ajaran Islam.
Saya petik:
duniacacamarbaDemikian tegas Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad yang menyatakan bahawa masjid adalah tempat yang suci dan penuh kemuliaan dan tidak ada hadis serta nas al-Quran yang melarang upacara akad nikah diadakan di masjid lapor Mstar Online.
“Oleh kerana berkahwin itu satu ibadat maka Islam tidak pernah melarang umatnya berkahwin di dalam masjid.
“Sebaliknya, Islam menggalakkan kita mencari keberkatan dalam setiap perkara yang kita lakukan. Dengan kita bernikah di masjid sudah pasti berkat lebih berbanding di tempat lain kerana masjid itu tempatnya suci,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan anggota Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusoh yang mendakwa menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang daripada amalan Rasulullah SAW.
Ahmad yang juga ahli Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dilaporkan berkata, Nabi Muhammad pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka.
Mengulas lanjut, Muhamad Baderudin yang juga Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan berkata, Jabatan Mufti Negeri Kedah tidak pernah melarang mana-mana pasangan yang ingin bernikah di masjid.
“Kita tidak ada larangan dan halangan untuk sesiapa bernikah di masjid sebaliknya kita galakkan mereka bernikah di masjid,” katanya.
Sementara itu, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya menyifatkan pandangan Ahmad Jusoh itu sebagai pandangan peribadi dan bukannya kenyataan Jabatan Mufti Negeri.
“Jabatan Mufti Negeri mengambil pendirian tiada larangan untuk bernikah di masjid dan sesebuah perkahwinan itu sah apabila ia mengikut rukun nikah.
“Tak kisah la, orang itu bernikah secara maya atau di rumah, selagi mereka ikut turutan rukun nikah maka perkahwinan itu sah di sisi agama Islam,” katanya.
Juanda berkata, Ahmad Jusoh juga telah memberi penjelasan berhubung perkara tersebut dan menerangkan bahawa kenyataan yang dibuatnya itu atas kapasiti beliau sebagai pengerusi jawatankuasa masjid dan bukannya anggota Majlis Fatwa Perlis mahupun ahli MAIPs.
Dalam perkembangan berkaitan, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria turut mengesahkan bahawa Jabatan Mufti Negeri tidak pernah mengeluarkan larangan mengadakan upacara akad nikah di mana-mana masjid di negeri itu.
“Di zaman Rasulullah SAW pun ada majlis akad nikah yang diadakan di masjid, memang tak ada larangan.
“Cuma yang tidak dibenarkan adalah jadikan masjid seperti tempat pemujaan yang meniru Yahudi dan Kristian,” katanya.