Grab the widget  IWeb Gator

Saturday, March 26, 2011

tuduhan jahat BN

KUALA LUMPUR, 25 Mac: Tuduhan yang mengatakan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak mempedulikan nasib penduduk rumah panjang PJS1, Petaling Jaya, tidak benar sama sekali dan ternyata hanya tuduhan jahat pihak BN.

Sebaliknya, sejak memerintah, Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah berusaha membantu mereka dengan mengambil beberapa langkah sewajarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad menegaskan, antara bantuan yang diberikan kepada mereka termasuk membina rumah kos rendah di tapak baru.
Menurut beliau, sementara rumah tersebut siap, kerajaan negeri turut menawarkan bantuan sewa dan perpindahan ke rumah transit baru kepada mereka.   
Katanya, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sebenarnya telah berusaha bersungguh-sungguh membantu mereka, tetapi terdapat maklumat yang mengatakan bahawa ada parti Barisan Nasional yang cuba menjadi juara di dalam isu itu.
"Walau bagaimanapun rakyat tahu Barisan Nasional telah gagal membantu penduduk ketika mereka mentadbir Selangor. Mereka hanya pandai berkokok setelah kehilangan kuasa," tegasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.
Nasib penduduk rumah panjang PJS1, Petaling Jaya telah mendapat perhatian media akhir-akhir ini. Rumah panjang tersebut merupakan penempatan transit bagi 29 keluarga peneroka bandar sehingga rumah kos rendah mereka disiapkan.
Menurutnya, rumah kos rendah mereka telah mula dibina dalam tahun 2004 pada satu tapak berdekatan, tetapi telah mendapat bantahan dari penduduk tempatan yang telah mengambil tindakan mahkamah untuk memberhentikan projek tersebut.
Katanya, walau bagaimanapun pada tahun 2009, Kerajaaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor telah berjaya mendapatkan persetujuan pemaju untuk membina rumah kos rendah itu di tapak alternatif yang bertentangan dengan rumah panjang tersebut.
"Sebagai sebahagian dari penyelesaian bagi penduduk rumah panjang itu, pada 4 Mac 2010, setiap keluarga telah ditawarkan RM10,000 oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk bantuan sewa dan perpindahan ke rumah transit lain sehingga rumah kekal mereka siap dibina," katanya.
Bantuan sewa dan perpindahan itu, jelas beliau, akan ditanggung bersama oleh Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pemaju dan akan dibayar secara sekali gus.
"Kerajaan Negeri mahu penduduk rumah panjang itu berpindah keluar agar mereka dapat tinggal di dalam keadaan yang lebih sempurna. Rumah panjang mereka adalah terlalu dhaif untuk dibaikpulih.
"Tambahan pula, tapak tersebut diperlukan untuk membina sebuah sekolah kebangsaan. Namun tawaran Kerajaan Negeri ini telah ditolak oleh penduduk pada 2 Mei 2010," jelasnya.
Memandangkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor merupakan kerajaan yang prihatin, bantuan sewa dan perpindahan itu telah ditambah.
"Maka pada 12 Mei 2010, setiap keluarga telah ditawarkan RM14,285. Walau bagaimanapun tawaran ini hanya diterima oleh 9 buah keluarga sahaja," jelas beliau yang juga Adun Cempaka.
Untuk membantu mereka, tegasnya, Kerajaan Negeri telah berjaya melakukan tindakan yang gagal dilakukan oleh Kerajaan BN sewaktu memerintah Selangor dulu, iaitu dengan mendapatkan persetujuan pemaju supaya membina rumah kos rendah mereka di tapak yang baru.
"Kerajaan Negeri juga telah menawarkan bantuan sewa dan perpindahan kepada penduduk sehingga rumah kos rendah itu siap. Kerajaan Negeri Barisan Nasional telah gagal menawarkannya.
"Dengan penyelesaian ini, penduduk akan dapat menikmati kediaman yang lebih sempurna dan sebuah sekolah akan dapat dibina untuk ribuan pelajar-pelajar di PJS1," ujarnya.
Namun, akibat dari keengganan penduduk untuk berpindah, Kerajaan Persekutuan pada 11 Ogos 2010 telah menangguhkan pembinaan sekolah kebangsaan itu.
Sehubungan itu, beliau berharap agar mereka yang terlibat mengabaikan sama sekali sebarang hasutan dari pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab yang hanya memikirkan kepentingan politik dan bukan kepentingan penduduk rumah panjang atau kepentingan seluruh penduduk PJS1.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular