KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor yakin ada individu penting di belakang Datuk T yang dianggap banyak pihak sebagai dalang penayangan video seks memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“AMK Johor yakin bahawa ada individu ‘penting’ dibelakang Datuk T,” kata Ketua AMK Johor, Mohamad Nazri Ismail pada satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, ia berikutan tayangan video seks itu adalah satu perancangan tersusun dan seolah-olah mendapat restu dari pihak tertentu kerana ia diadakan dengan jayanya tanpa sebarang gangguan dari mana-mana pihak berkuasa.
“Mustahil apabila pihak berkuasa seoalah-olah tidak mendapat sebarang maklumat mengenai tayangan video lucah itu,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dipancing untuk meninggalkan KEADILAN menggunakan video berkenaan dan trio Datuk T berjanji untuk membawa beliau bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Raztak.
Pendedahan bekas pengawal peribadi Tan Seri Megat Junid, Mohamad Mahti Abd Rahim semalam pula menunjukkan Datuk Shazril Eskay Abdullah mengaku tindakan penayangan video seks itu dilakukannya untuk ‘the number one’.
Mohamad Nazri juga percaya lebih banyak fitnah akan disebar pihak tertentu bagi meracuni pemikiran rakyat supaya membenci Pakatan Rakyat dan menganggapnya sebagai kerja terkutuk dan jijik yang diatur konspirator untuk menamatkan kerjaya politik dan mengaibkan Anwar.
“Ia untuk mengalihkan fokus pimpinan Pakatan Rakyat terhadap Pilihan raya Sarawak dan pemilihan hari penayangan serentak dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak jelas menunjukkan ia bermotif politik,” katanya.
Yakin pilihan raya umum (PRU) ke-13 berlangsung bila-bila masa dan menyeru AMK menyiapkan jentera, Mohamad Nazri berharap rakyat bijak untuk menolak politik kotor dan fitnah jijik seumpama itu.
“AMK Johor menyeru seluruh kepimpinan AMK di setiap cabang di Johor supaya bersedia untuk berdepan secara “anak jantan” dan bangkit melawan politik kotor dan jijik,” katanya.
Mohamad Nazri juga mendesak polis supaya membuat siasatan terhadap kenyataan Ummi Hafilda Ali dalam sebuah akhbar arus perdana, kononnya mengetahui dalang sebenar pembikinan video seks yang didakwanya ada 18 rakaman lagi.
“AMK Johor mengarahkan setiap AMK Cabang membuat laporan polis berhubung video lucah bagi mendesak polis segera membuat siasatan dengan telus dan berani tanpa menyebelahi mana-mana pihak,” katanya.
Beliau juga menyelar kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang menyatakan tindakan Datuk T menayangkan video lucah tidak menyalahi mana-mana perundangan negara.
“Kenyataan itu tidak seharusnya keluar dari mulut seorang menteri dan ia amat berbahaya jika disalah erti. Kenyataan demikian merupakan catatan sejarah kerana Malaysia adalah negara Islam pertama mengizinkan pemilikan dan penayangan bahan lucah,” katanya.
Mohamad Nazri turut memetik Seksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 yang menyatakan:
“Tiada seorang pun boleh : (a) ada atau menyebabkan dirinya ada dalam milikan, jagaan, kawalan atau pemunyaannya; atau. (b) menyebarkan, menayangkan, mengedarkan, mempamerkan, membuat, mengeluarkan, menjual atau menyewakan, apa-apa filem atau bahan publisiti filem yang lucah atau yang selainnya bertentangan dengan kesopanan awam”.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=9874