Siapa Datuk T? Maka mulalah cerita si penglipur lara berhubung kumpulan manusia bergelar "Datuk" yang berkeliaran di bumi 2Malaysia. Tetapi aksi berkeliaran mereka tidak serupa aksi yang dipersembahkan oleh Zarathustra, seorang watak ciptaan ahli falsafah Jerman Friedrich Nietzsche dalam karya beliau "Thus Speak Zarathustra".
Zarathustra berlari ke sana ke sini sambil berteriak: Tulislah dengan darah, dan kau akan merasakan bahawa darah adalah roh. Tidak! Kumpulan manusia bergelar "Datuk" tidak menulis tetapi merekacipta dengan roh yang tidak bermaruah.
Darah tidak mengalir dalam tubuh badan mereka. Asalkan motif politik tercapai, tidak apa kalau roh menjadi kotor. Begitu kotor dan jijik sehingga darah tidak sanggup mewarnai roh malahan menjauhi roh.

Kebetulankah? Yalah, ini kan bumi 2Malaysia. Apabila wujud rakaman video seks selepas diterbitkan memoir, namanya kebetulan. Segala-galanya hanyalah kebetulan. Melainkan kalau perut buncit watak rakaman video seks diukur dan dibandingkan ukuran berkaitan dengan insan bergelar DSAI, kebetulan muka cun kelihatan sama tinggi juga kerana kecanggihan teknologi. Ini kebanggaan legasi Mahathirisme, apabila teknologi dan politik seks bertembung, segala kemungkinan wujud tanpa syak-wasangka.

Politik seks yang rendah maruah rohnya
Kalau sebelum ini yang dihebohkan media adalah mengenai penemuan DNA yang ditanda lelaki Y (male Y) yang hendak dipadankan dengan insan bergelar DSAI meskipun wujud juga spesimenmale (lelaki) lain yang ditanda X, Z dan sebagainya, kini yang dihebohkan media ialah dakwaan skandal seks seorang lelaki yang sakit tulang belakang yang gagah beraksi seks. Sukar hendak diimaginasikan tetapi dipaksakan imaginasi sebegitu rupa oleh politik seks sebegitu rendah maruah rohnya.

"Agenda reform" tidak bersamaan dengan DSAI, malahan juga tidak bersamaan dengan Pakatan Rakyat. Jangan kau lupakan atau gagalkan "agenda reform" kerana seorang insan bergelar DSAI.
Biar kami perkenalkan kau dengan pemimpin tersohor 2Malaysia yang mandi saban hari dengan "agenda reform" bukan "agenda seks"!
Meskipun bapa Mongolia masih menanti-nanti jawapan pembunuhan anaknya, jangan kau terpedaya dengan dakwaan pembangkang. Percayalah kami yang berkeliaran ke sana ke sini dengan "agenda reform tulen", tidak sama dengan agenda tidak tulen pembangkang, kononnya.
Begitulah cerita si penglipur lara. Setakat ini sahaja ceritanya. Baik aku balik kepada bicara politik otak durianku secara serius.
Politik persepsi
Dalam konteks politik persepsi mencorakkan permainan politik negara, rakyat sekali lagi disuapkan dengan politik seks. Sesungguhnya, kalau sarjana politik ingin mengkaji dan menganalisi kekuatan Pakatan Rakyat dan cabarannya terhadap pemerintahan rejim UMNO-Barisan Nasional (BN), telitilah politik seks selama berdekad lamanya semenjak zaman reformasi.
Apabila politik kotor mensasarkan watak tertentu, dan bahawa "agenda reform" juga dibawa oleh Perdana Menteri bumi 2Malaysia, implikasi tsunami politik nampaknya masih lagi mempengaruhi minda politikus bumi 2Malaysia sehingga segala percaturan politik disasarkan kepada politik seks dan politik persepsi.
Segala politik kotor yang sedang dan bakal berlangsung dalam bumi 2Malaysia menjelang Pilihan raya negeri Dewan Undangan Sarawak dan pilihan raya umum ke-13 akan memberi sebahagian daripada jawapannya.
Hegemoni
Untuk menjadikan perbincanganku lebih serius atau sekurang-kurangnya kelihatan serius tanpa dipengaruhi politik seks semasa, izinkan aku bangkitkan satu konsep politik - hegemoni - dan kongsikan pemahamanku dengan kalian yang mungkin masih asyik dengan babak-babak politik seks tidak bermaruah.
Hegemoni, satu konsep politik yang dipopularkan oleh teoritikus politik Itali Antonio Gramsci. Pembentukan hegemoni diutamakan oleh rejim pemerintah untuk mengekalkan pemerintahan, kalau mungkin untuk selama-lamanya seperti yang diinginkan oleh rejim UMNO-BN. Pembentukan hegemoni tidak sekadar dilakukan melalui penggunaan kuasa paksaan tetapi juga melalui kuasa pujukan.

Untuk memungkinkan pengekalan rejim UMNO-BN, pembentukan persetujuan secara aktif dalam kalangan rakyat adalah penting dan akan dilakukan siang dan malam malahan tanpa segan silu taktiknya asalkan berkesan dalam mengekalkan hegemoni UMNO-BN atau untuk mengelakkan keretakan yang terlalu besar apabila berdepan dengan cabaran kuasa pembangkang yang terlalu kuat.
Pembentukan persetujuan secara aktif sedang dilakukan melalui manifestasi politik persepsi dan politik seks di bumi 2Malaysia. Apabila terlalu banyak digunakan kuasa paksaan, masih khalayak umum akan rasa marah dan bangkit dengan demokrasi jalanan seperti yang disaksikan di negara-negara rantau Timur Tengah dan Afrika Timur.
Gabungan Najibnomics dan Mahathirisme

Malahan persetujuan aktif yang ingin dibentuk berhubung kejayaan transformasi ekonomi Najib Razak juga berdepan dengan tamparan hebat apabila laporan Bank Amerika Merrill Lynch menyatakan bahawa Malaysia merupakan pasaran paling tidak popular untuk kedua-dua "global emerging market" (GEM) dan pengurus dana Asia Pasifik sementara tinjauan Dewan Bersekutu Perdagangan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) mendapati bahawa rata-rata peniaga Cina tidak yakin dengan "agenda reform" ekonomi Najib!
Sementara itu, Buku Jingga kini semakin kuat impaknya dalam memperkasa kuasa counter-hegemoni yang dibentuk oleh Pakatan Rakyat dan masyarakat madani. Jelas, kemuncak Najibnomics kini berdepan dengan jalan buntu.
Berhadapan dengan kegagalan bentuk-bentuk kuasa paksaan dan kuasa pujukan dalam membentuk persetujuan bahawa Kerajaan UMNO-BN benar-benar melakukan "agenda reform" di bawah pimpinan Najib, dan apabila terbukti bahawa manifestasi Najibnomics nampaknya tidak memberikan impak sebesar yang diharapkan untuk memperkasa strategi rejim -- UMNO-BN berhadapan dengan keretakan hegemoni yang terlalu besar dan kuasa counter-hegemoni yang semakin kuat, maka kini kembalilah manifestasi Mahathirisme yang menonjolkan politik seks secara liar.
Kini gabungan Najibnomics dan Mahathirisme juga mengambil tempat dalam konteks di mana pilihan raya negeri dan umum akan datang bakal menentukan masa depan negara. Ia bukan untuk memaksa dan bukan untuk memujuk rakyat - menceritakan dengan panjang lebar apa yang baik dengan regim BN.
Ia cukup sekadar untuk memusnahkan keyakinan ramai terhadap pembangkang dan ketuanya. Jangan kita terpedaya dengan politik persepsi bercorakkan seks yang keterlaluan sehingga melupakan erti sebenar tsunami politik 2008 - untuk membawa harapan baru kepada tanah air yang dicintai kau dan aku.
*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.