Grab the widget  IWeb Gator

Wednesday, March 23, 2011

Kenyataan Media : Laporan Kewangan Yayasan Selangor Hanya Lengkap dan Sistematik Selepas 2008

Laporan kewangan Yayasan Selangor lebih sistematik bermula 2008 setelah Pakatan Rakyat mengambil-alih Kerajaan Negeri Selangor kerana sebelum itu anak syarikat milik penuh Kerajaan Selangor ini tidak pernah mengeluarkan laporan kewangan yang disahkan sejak 2004.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata hanya selepas 2008, kakitangan Yayasan Selangor diarahkan menyediakan laporan kewangan bermula tahun-tahun sebelumnya yang tidak pernah dilaporkan.


"Contohnya untuk tahun 2005, ia hanya disahkan pada 10 Mei 2010, walaupun ditandatangani oleh Lembaga Pengarah Yayasan pada Nov 2007. Laporan ini tidak dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana terdapat akaun-akuan yang tidak boleh diselaras," katanya pada sidang media khas bagi menerangkan kedudukan akaun dan kewangan Yayasan Selangor di Shah Alam, hari ini.

Selepas menerima dan meneliti penyata kewangan 2005 hingga 2009, manakala 2010 hanya akan siap November nanti, Kerajaan Selangor membuat analisa menyeluruh dan membuat perbandingan setiap tahun.

Pada 2005, Yayasan Selangor mencatatkan perbelanjaan defisit sebanyak RM10 juta, 2007 defisit sebanyak RM8.1 juta, 2007 pula mencatatkan lebihan pendapatan RM40.13 juta, 2008 lebihan sebanyak RM128 juta, 2009 lebihan sebanyak RM25.7 juta manakala pada 2010, Yayasan Selangor mengalami defisit sebanyak RM3.9 juta.

"Ini menunjukkan defisit dan lebihan pendapatan (surplus) bukan perkara aneh dalam kewangan yayasan. Walaupun mengalami defisit yang banyak pada 2005 dan 2006, Yayasan Selangor masih boleh bertahan dan membuat keuntungan besar pada tahun-tahun berikutnya.

"Mereka yang mendakwa defisit tahun lepas akan menyebabkan Yayasan Selangor akan bankrupt sebenarnya tidak mendapat gambaran sepenuhnya. Kita tidak boleh membuat kesimpulan dengan hanya membaca akaun untuk satu tahun," kata Menteri Besar.

Bagi mereka yang mendakwa Yayasan Selangor telah mengeluarkan penyata akaun sebelum 2008, beliau berkata adalah jelas mereka ini tidak tahu proses dan peraturan mengeluarkan penyata kewangan bagi sebuah organisasi.

"Setiap penyata kewangan bagi mendapat kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) tetapi Yayasan Selangor tidak pernah mengadakan AGM," katanya.

Menteri Besar berkata, pendapatan dari sewa bangunan dan tanah meningkat sekali ganda bermula 2008 selepas Yayasan Selangor menyemak semula kadar sewa mengikut harga pasaran.
Katanya, analisa terhadap laporan kewangan Yayasan Selangor menunjukkan sumber pendapatan utama ialah hasil projek usaha sama dengan syarikat swasta.

"Kejayaan Yayasan Selangor ialah bagaimana menggunakan aset dengan baik. Sebelum 2008, projek usaha sama tidak memberi pulangan setimpal yang sepatutnya diperoleh Yayasan Selangor," katanya.

Beliau memberi contoh, projek usaha sama pembangunan di Lot 2450 Mukim Damansara yang dijangka menjana keuntungan RM852.50 juta dan Yayasan Selangor dijanjikan pulangan RM250 juta.

Bagaimanapun, projek seluas 31.8 ekar itu hanya memberikan pendapatan sebanyak RM53.85 juta kepada yayasan.

"Kita telah hentikan projek usaha sama untuk pastikan pada masa depan mana-mana projek usaha sama memberi keuntungan setimpal kepada yayasan.

"Banyak projek usaha sama sedang melalui proses mahkamah kerana pulangan yang diperoleh tidak setimpal dengan yang dijanjikan," kata Menteri Besar.

Menteri Besar berkata, Yayasan Selangor telah melantik akauntan bebas, Tetuan Ahmad & Goh untuk meneliti semua penyata kewangan Yayasan Selangor ini dan akan menyediakan laporan audit pada bulan depan untuk diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Selangor yang dijangka dapat diadakan Mei ini, sebelum dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Tan Sri Abdul Khalid berkata, laporan audit yang disediakan Bahagian Audit Dalaman Kerajaan Negeri sebelum ini tidak mengambil kira laporan kewangan ini kerana ia hanya terrtumpu kepada aspek operasi.

Menteri Besar berkata, Lembaga Pengarah Yayasan Selangor setuju untuk memberi peluang kepada Ilham Marzuki menerajui Yayasan Selangor sehingga kontrak dua tahun tamat.

Katanya, Ilham diharap menjalankan tugas dengan baik kerana prestasinya dipantau dari semasa ke semasa dan kontrak tidak akan disambung jika beliau gagal memberikan perkhidmatan yang baik.

Menteri Besar berkata, selepas menyelesaikan isu laporan kewangan yang dibangkitkan, Kerajaan Selangor akan memberi tumpuan pula kepada isu kebajikan menerusi program-program yang telah dilaksanakan Yayasan Selangor sejak beberapa tahun lalu.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular