Keluarga Teoh Beng Hock memulaukan prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) selepas hilang keyakinan RCI mampu memberi keadilan ke atas kematian mendiang. Tindakan itu diambil selepas tidak berpuas hati dengan keputusan RCI menolak permohonan menunda inkuiri sehingga semakan kehakiman yang difail ke atas penghakiman terbuka oleh mahkamah koroner didengar di mahkamah tinggi.
Berikutan itu, peguam yang mewakili keluarga mangsa Karpal Singh dan Gobind Singh Teo mengumumkan pengunduran mereka dalam prosiding suruhanjaya siasatan berkenaan yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen.
Peguam keluarga Beng Hock juga membantah pelantikan tiga pendakwar aya kanan Persekutuan, Amarjeet Singh, DPP Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Kwan Li Sa sebagai pegawai pengendali dalam RCI kerana konflik kepentingan.
Dalam temu bual KeadilanDaily, kami berpeluang menemu bual adik kepada mendiang Beng Hock, Teoh Lee Lan yang tidak puas hati dan kecewa dengan cara siasatan kematian mendiang abangnya. Ikuti luahan hati beliau.
Kenapa keluarga tarik diri daripada Suruhanjaya Diraja?
Selepas keputusan inkues yang tidak dapat mengesahkan punca kematian Beng Hock, kami telah menuntut supaya sebuah suruhanjaya yang adil dan telus ditubuh. Perdana Menteri tidak menerima cadangan NGo supaya 7 calon yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan profesional dalam suruhanjaya itu.
Kami juga diberi peluang menghadiri mesyuarat RCI pada saat-saat terakhir sebelum pembentukan RCI. Suruhanjaya ini juga dijalankan ketika semakan kehakiman tentang keputusan mahkamah koroner dibuat di mahkamah tinggi.
Apa yang kami persoalkan bagaimana prosiding ini boleh dijalankan serentak? Perkara ini sangat pelik dan ganjil. Selepas itu kami meminta RCI pertimbangkan supaya tiga timbalan pendakwaraya, yang bertindak sebagai pegawai pengendali dalam RCI iaitu iaitu Amarjeet Singh, DPP Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Kwan Li Sa digugurkan.
Salah seorang daripada mereka terlibat dalam inkues dan bersetuju dengan kenyataan menteri di jabatan PM, Nazri Aziz bahawa pakr yang kami bawa, Dr Pornthip berbohong semasa inkues.
Selepas perkembangan kes ini, apakah perasaan keluarga?
Kami memang merasa kecewa kami mahu jawapan dan kebenaran untuk tahu siapa yang bertaggungjawab terhadap kematian Beng Hock. Tetapi sampai hari ini tidak ada seorang pun yang dipertanggungjawabkan. Walaupun Suruhanjaya ditubuhkan, tapi kami tidak nampak niatnya untuk mencari keadilan dan kebenaran.
Apa perasaan bila tuduhan mengatakan Beng Hock mati membunuh diri?
Mereka bunuh Beng Hock! Saya berani mengatakan perkara ini berdasarkan siasatan inkues dan RCI. Mereka (SPRM) telah membunuh Beng Hock. Pada awal inkues, saksi-saksi dilihat memberi keterangan secara terus berbanding dalam RCI sebab mereka tidak ada pengalaman melalui kes itu.
Mengapa saksi yang dibawa dalam RCI memberi keterangan berbeza? Mengapa misalnya ahli patalogi dari Sungai Buloh, Dr Shahidan yang melakukan bedah siasat kedua memberikan jawapan kecederaan Teoh disebabkan seseorang dan bukan kerana membunuh diri.
Tetapi semasa RCI, dia menolak keterangan yang diberikannya semasa dalam inkues. Kenapa Dr Shahidan sebagai seorang pakar boleh memberikan dua jawapan yang berbeza? Apakah ini menunjukkan seorang pakar yang profesional dan ada kredibiliti? Adakah dia seorang patalogi yang boleh meyakinkan dan dipercayai?
Cara yang dijalankan dalam RCI sama saja seperti inkues iaitu untuk menetukan Teoh mati kerana membunuh diri dan tidak ada sebab kita harus terima. RCI mengesyorkan keluarga kami berjumpa dengan psikiatri. Apakah niat mereka? Apakah ini yang rakyat mahu dalam RCI iaitu cara siasatan yang tertumpu kepada cara Beng Hock membunuh diri.
Apakah tuduhan Beng Hock membunuh diri tidak berasas?
Memang tak berasas, tidak logik, tidak munasabah dan gila. Beng Hock tidak akan membunuh diri. Saya paling tidak puas hati dengan tuduhan SPRM tentang empat Invois yang didakwa dipalsukan oleh Beng Hock tetapi perkara itu dinafikan dalam inkues.
Hari ini RCI dijalankan hanya untuk menuduh Beng Hock. Saya sangat kecewa dan sedih kerana mereka menuduh seseorang yang sudah tiada lagi dan mampu untuk membela diri.
Bagaimana perwatakan Teoh Beng Hock?
Dia sangat baik hati, dia sangat suka tolong orang terutama golongan yang tidak berupaya. Dia pembantu kepada pegawai kerajaan selangor yang sedia membantu sesiapa yang memerlukan pertolongan. Beng Hock seorang yang sangat ceria, optimistik. Dia sangat menyayangi keluarga, sayang kepada golongan kanak-kanak dan anak-anak buah.
Setiap hari dia akan telefon ke rumah bertanyakan keadaan keluarga. Dia mengambil berat apa yang berlaku terhadap kami sehari-hari. Dia seorang penyayang, jujur, bertanggungjawab dan baik hati.
Hubungan saya dengan dia sangat rapat, kami hanya berbeza setahun. Adik beradik kami semuanya rapat jarak umur kami sangat rapat. Beng hock seorang yang banyak bercakap dan seorang yang periang.
Apa kegemaran atau kesukaan dia di rumah?
Dia suka baca buku, berbual dengan kawan-kawan. Kalau ada masa, dia balik rumah dia akan bawa anak buah pergi berjalan-jalan ke kedai buku. Beng Hock juga seorang yang sangat berjimat.
Bila kali terakhir berjumpa dengan Teoh?
Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada 11 Julai iaitu hari Sabtu di rumah keluarga kami di Melaka. Kami pergi memilih kedai baju pengantin kerana dia merancang berkahwin dan memilih baju pengantin yang menawarkan pakej yang sesuai.
Kami biasanya berjumpa hujung minggu. Kalau dia ada masa, dia selalu keluar dengan kita untuk makan-makan. Saya dapat tahu Beng Hock meninggal dunia pada petang 17 Julai.
Bila mendapat tahu, bagaimana perasaan keluarga?
Sangat sedih, kami tidak terfikir perkara ini akan berlaku kepadanya. Kami sedang berbicang untuk persediaan majlis perkahwinannya. Beng Hock sangat gembira dan dia beritahu kami dia tak sabar untuk menjadi seorang ayah kerana dia sukakan kanak kanak. Dia bercita-cita menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab.
Kami tak sangka boleh jadi seperti ini. Kami tak sangka seorang kakitangan kerajaan boleh dibunuh. Sehingga hari ini tidak ada jawapan siapakah yang membunuh dia. Tak ada seorang yang memikul tangungjawab ini.
Apakah perasaan bila Pakatan Rakyat dan NGO membela dan meminta KEADILAN untuk Beng Hock?
Kami merasa berterima kesih kepada mereka. Tanpa mereka tidak ada pihak yang sanggup membantu kami. Kami cuma rakyat biasa yang tak berkuasa dan tidak ada cara untuk meminta keadilan bagi Beng Hock. Ketika kami dalam kesusahan dan kesedihan tanpa sokongan, Pakatan Rakyat sanggup menghulurkan bantuan.
Sebagai rakyat biasa, apakah perasaan bila berhadapan situasi sebegini?
Saya sangat kecewa dengan negara kita yang sudah merdeka sejak lebih 40 tahun. Apa perasaan anda jika semua ini berlaku pada kehidupan anda? Ada orang yang berkata jangan politikkan hal ini.
Parti politik adalah mereka yang menetukan cara pentadbiran negara kita. Kita semua sebagai rakyat yang menentukan kedudukan mereka. Sekarang pentadbiran SPRM telah membunuh abang saya. Siapa yang menjadi kerajaan, mereka yang harus bertanggungjawab.
Dalam kes ini, pendakwaraya langsung tidak menyiasat kes ini dengan teliti. Adakah ini pendakwaraya yang boleh memberi keadilan kepada rakyat? Polis tidak menyiasat dengan cara yang profesional. Kenyataan yang diberi SPRM semasa dalam inkues dan RCI bercanggah sesama sendiri.
Maksud anda apakah tragedi yang menimpa Beng Hock boleh berlaku kepada sesiapa?
Hari ini SPRM kalau teruskan siasatan sebegini tidak tak ada seorang pegawai SPRM yang memikul tanggungjawab atas kematian beng Hock, mungkin perkara ini akan berlaku kepada keluarga anda.
Kita boleh tengok banyak kes besar seperti polis yang menembak sesuka hati kepada orang awam yang tidak bersalah. Kenapa perkara ini berlaku berulang kali? Jawapannya kerana kita yang memberi peluang kepada mereka dan membiarkan perkara ini terjadi.
Saya tidak tahu kenapa sesetengah rakyat biasa seperti kita tidak melihat secara mendalam terhadap sesuatu isu yang berlaku di sekelliling kita. Apakah satu hari kejadian penderitaan yang dilakukan polis dan SPRM terhadap Beng Hock tidak akan berlaku kepada keluarga mereka?
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=9782