Grab the widget  IWeb Gator

Wednesday, February 16, 2011

Fitnah II: Keterangan bercanggah dedah bukti konspirasi yang tidak lengkap


KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak menganggap kes fitnah II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bukti konspirasi yang tidak lengkap dan seharusnya digugur oleh pihak pendakwa sejak dari awal lagi.
Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf berkata keterangan bercanggah antara saksi dan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan juga menunjukkan keraguan melampau dan pendakwaan yang berniat jahat.
“Apabila keterangan forensik jelas menunjukkan percanggahan, ia secara langsung buktikan terdapat keraguan terlampau terhadap kes datuk Seri Anwar.  Implikasi ini memberi impak kepada undang-undang. Di dalam kes yang seumpamanya, kes ini sudah digugurkan.
“Bagi saya perbicaraan hari ini tidak mengejutkan kerana ia adalah skrip lama yang diulang semula. Ia menunjukkan perancangan tidak teliti dan pendakwa bukan mencari keadilan melainkan berniat jahat serta lari dari agenda untuk mencapai keadilan.
“Sekiranya kes ini diteruskan kepentingan awam yang nak dicapai dalam sesuatu kes akan memihak kepada yang mendakwa dari membela yang dianiaya,” ujarnya yang juga seorang peguam.
Dalam sesi soal balas hari ini, bekas Ketua Unit Kemalangan dan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur, Dr Khairul Nizam Hassan berkata, laporan proforma HKL menyebut  hanya  berlaku cubaan untuk liwat dan seks oral terhadap Saiful.
Kenyataan itu bertentangan dengan keterangan yang diberikan  Saiful semasa menemui Dr Khairul yang mengatakan dirinya diliwat.
Perbicaraan hari ini juga menyaksikan kegagalan Pakar Forensik HKL, Dr Siew Sheue Feng mengisi beberapa aspek penting dalam borang profoma kerana tidak ada rekod tentang pemeriksaan dubur, rektum, sejarah perubatan Saiful dan peristiwa semasa kejadian.
Peguam Sankara Nair turut mendedahkan di mahkamah bahawa botol yang diisi dengan sampel bahan bukti menunjukkan tanda-tanda ia telah diusik dan diceroboh sebelum dimateri.
Mengulas isu yang sama, Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar berkata perbicaraan ini semakin jelas mendedahkan kepincangan dan bukti konspirasi yang tidak mengikut skrip yang asal.
“Perbicaraan ini dari awal lagi sudah menunjukkan pihak pendakwa cuba menyembunyikan sesuatu apabila enggan memberikan bukti dan laporan perubatan kepada peguam bela. Hari ini pula Dr Khairul telah membuat pengakuan yang mengejutkan dan tunjukkan pendakwa berniat jahat terhadap Datuk Seri Anwar. Perkara ini memberi tempelak yang cukup hebat dalam perbicaraan ini.
“Ia menunjukkan kes ini tidak dirancang secara betul, skripnya tidak sempurna ibarat seperti Filem bujang lapuk apabila Sudin membuat Screen Test yang tidak mengikut dialog,” ujarnya.
Menurut Mahfuz, perbicaraan fitnah ke 2 ini mengulangi semula konspirasi yang berlaku terhadap Anwar pada 1998 apabila terdapat keterangan saksi bercanggah dan bukti yang berubah-ubah.
“Kalau dulu tarikh kejadian berubah-ubah, kondominium yang dikata tempat kejadian belum disiapkan lagi pada masa kejadian liwat dikata berlaku. Tapi kali ini pengakuan Saiful sendiri kepada Doktor bahawa hanya berlaku percubaan liwat.
“Keterangan ini menolak sama sekali kejadian liwat seperti yang dinyatakan sebelum ini terdapat penemuan air mani dan kenyataan Saiful yang dia tidak membuang air besar selama dua hari. Bahkah kenyataan saiful berlaku percubaan liwat pun boleh direka-reka,” ujar beliau.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar turut sependapat menyatakan kes itu sepatutnya digugurkan daripada awal.
“Sepertimana yang disebut peguam Anwar, tidak sepatutnya kes pendakwaan ke atas Datuk Seri Anwar diteruskan sebabnya di mahkamah laporan atau keterangan pengadu (Mohd Saiful) berbeza-beza dan bercanggah. Saksi lain paling tidak mengakui ada perbezaan dengan keterangan pengadu.
“Peguam juga sebut bahawa bukti yang dikemuka di mahkamah tidak tentu kesahihannya, tidak ada pengesahan kononnya berlaku liwat. Bukti tersebut  tidak ada jaminan bahawa ia adalah bukti yang mutlak. Banyak sangat percanggahan antara saksi dan pengadu. Apatah lagi peguam menjelaskan bekas yang berisi sampel bahan bukti yang telah diusik,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular