KUALA LUMPUR: Nora Reformis atau nama sebenarnya Norazimah Mohd Nor dibebaskan dengan ikat jamin RM2000 oleh Mahkamah Tinggi Jalan Duta hari ini.
Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Mohamad Sekeri Mamat selepas mendengar penghujahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, How Mei Lin ekoran beliau tidak hadir semasa tarikh perbicaraanya berkaitan ‘protes minyak 2008′.
Sementara itu, Mohamad Sekeri dalam kamarnya menetapkan 28 Februari ini sebagai tarikh perbicaraan kes Nora dan rakannya Khairul Nizad Edinan yang disabitkan kes yang sama supaya menyerahkan pasport antarabangsanya dan memberi amaran kepada mereka berdua untuk patuh kepada arahan mahkamah agar hadir setiap kali perbicaraan dijalankan.
Norazimah diwakili peguam Lawyer For Liberty (LFL), Shuhaini Safwan, manakala Khairul Nizad oleh Johnson Chong.
Hakim Mohamad Sekeri, menolak hujah Shuhaini, bahawa Norazimah mempunyai enam tanggungan yang masih bersekolah dan penglibatannya dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta melibatkan diri di Institut Asas Kajian Kemasyarakatan sebagai alasan untuk tidak hadir ke mahkamah.
Penjamin Nora dan Khairul Nizad iaitu Anwar Mohd Nor dan Yusriah Yusof.
Norazimah Mohamad Nor atau lebih dikenali sebagai ‘Nora Reformis’ sebelum ini ditahan di rumahnya di Jinjang oleh empat anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Penahanan dipercayai dilakukan kerana aktivis Reformasi itu ke luar negeri dalam tempoh dakwaan di mahkamah. Beliau dituduh terlibat dalam satu perhimpunan membantah kenaikan harga barang pada 2008.
Nora memaklumkan kepada polis mengenai pemergiannya ke luar negeri pada Februari ini melalui surat bertarikh 31 Januari. Tetapi difahamkan pada 2 Februari lalu, polis mengeluarkan surat supaya beliau hadir ke mahkamah pada 16 Februari.
Semenjak tahun 1998, Nora telah ditangkap dan dibicarakan berpuluh kali kerana terlibat dengan perhimpunan aman.