KUALA LUMPUR: Siasatan ke atas Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang, Saari Sungib dan Adun Batu Caves, Amirudin Shari kerana mengadakan ceramah tanpa permit pada Jumaat lalu, ditunda Rabu ini.
Peguam Azmin, N Surendren berkata siasatan yang dijadualkan di balai polis Ampang terpaksa ditunda kerana Azmin – Adun Bukit Antarabangsa perlu hadir sidang DUN Selangor yang bermula hari ini.
Sidang DUN itu dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Shah Alam, pagi ini.
“Kami maklumkan kepada polis mengapa Azmin tidak boleh hadir untuk soal siasat ghari ini dan mereka telah menjadualkannya Rabu ini,” kata Surendran yang juga Naib Presiden KEADILAN kepada Malaysiakini.
Menurutnya, Azmin juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap polis yang didakwa menyalahgunakan kuasa mereka.
“Adalah salah bagi polis untuk menakut-nakutkan anak guam saya malam semalam. Kenapa melakukan ini pada tengah malam?” soal Surendren sambil mendakwa tindakan itu satu bentuk gangguan yang agresif.
Azmin tidak berada dirumahnya semalam apabila beberapa anggota polis berkunjung pada lewat malam semalam.
Menurut Surendran, Azmin, Saari dan Amirudin menghadiri ceramah pada Jumaat lalu. Azmin hadir sebagai Ketua KEADILAN Gombak, Amirudin pula adalah timbalannya di cawangan itu manakala ceramah tersebut diadakan di kawasan Saari.
Merujuk kejadian itu, Surendren berkata polis tidak berhak menyerbu dan menghalang ceramah itu dan soal mendapatkan permit tidak timbul.
“Anak guam saya (Azmin) adalah MP Gombak dan beliau mempunyai hak berada di situ. Polis tidak mempunyai sebarang alasan untuk hadir dan menghentikan ceramah itu.
“Semuanya menjurus bahawa ia arahan (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Abdul Razak)… ia tindakan politik kerana beliau tahu ceramah itu mengenai dirinya dan mendiang Altantuya Shaaribu,” kata Surendren.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=9989