Grab the widget  IWeb Gator

Monday, March 21, 2011

Sah akad nikah di mana saja

ALOR SETAR - Menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah tidak salah kerana perkara itu sah dilakukan di mana-mana sahaja, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata tindakan itu sebaliknya memudahkan tugas imam yang terpaksa menjalankan upacara akad nikah lebih daripada sekali pada hari yang sama.

"Kalau imam terpaksa menikahkan banyak pasangan pada hari yang sama, lebih mudah ia diadakan setempat seperti di masjid.

"Kita lihat secara keseluruhan, ia dapat menjimatkan masa selain menjadi salah satu pendekatan dakwah sebab bila ke masjid kena tutup aurat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan seorang anggota Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusoh semalam yang mengatakan menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang dari amalan Rasulullah.

Ahmad dilaporkan berkata Rasulullah pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka.

Sementara itu, Mufti Kerajaan Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, Islam mengharuskan akad nikah dilakukan di masjid.

Beliau berkata, tiada halangan mana-mana pasangan Islam untuk melangsungkan perkahwinan di masjid, malah lebih digalakkan lagi kerana ia boleh memberi manfaat dalam bidang pengurusan.

"Dari satu segi yang mudah, akad nikah di masjid dapat menghimpunkan banyak pasangan untuk melangsungkan perkahwinan dalam satu masa berbanding di rumah masing-masing dan bacaan khutbah dapat disampaikan imam atau jurunikah serentak.

"Lagipun rumah ibadah Islam itu boleh diadakan pelbagai kegiatan agama dan kemasyarakatan sejak di zaman Rasulullah lagi," katanya kepada Bernama di Kota Baharu, Kelantan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap umat Islam melihat perkara itu dari sudut positif bagi mengelakkan ia mengelirukan mereka sendiri. SH
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular