KUALA LUMPUR, 21 Mac: Setiap pihak termasuk orang ramai di setiap peringkat diingatkan agar tidak mudah percaya dan membuat perhitungan terhadap sesuatu perkara, dengan hanya berdasarkan sesuatu perlakuan yang ditayangkan di dalam video.
Apatah lagi dengan keadaan terkini yang begitu maju dengan IT dan teknologi canggih, sehingga membolehkan watak-watak yang terdapat dalam video juga boleh ditipu dengan 'superimpose'.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika mengingatkan perkara itu berkata, demikianlah juga dengan tayangan video lucah yang dikaitkan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh pihak tertentu kepada para wartawan hari ini.
Menurut beliau, tayangan video itu ternyata begitu mengaibkan dan ia turut menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada pelbagai pihak.
Katanya, antara persoalan yang boleh dikemukakan, sekiranya dalam Islam fitnah itu diharamkan, dalam Islam juga dilarang menuduh seseorang hanya berdasarkan perlakuannya yang ditayangkan di dalam video.
"Dalam masa yang sama, setiap pihak juga boleh bertanya, adakah tindakan pihak tertentu yang menayangkan video itu kepada golongan tertentu juga tidak termasuk dalam kategori aksi lucah?" katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat hari ini.
Sehubungan itu, beliau yang ternyata turut hairan dengan permainan kotor pihak tertentu sehingga sanggup menayangkan video tersebut berharap semua pihak berfikir lebih mendalam mengenai perkara itu.
Kepentingan orang ramai berfikir secara matang mengenainya selaras dengan pelbagai tindakan tidak bertanggung dari pihak Umno BN masa kini terhadap Pakatan Rakyat, lebih-lebih lagi untuk menghadapi pilihanrya negeri Sarawak.
Dalam masa yang sama, beliau juga turut mengingatkan semua pihak agar tidak terlibat dengan qazaf yang ternyata bertentangan dengan prinsip keadilan Islam.
"Itu semua perlu diperhitungkan sebelum apa-apa perhitungan dibuat sebelum membuat apa-apa tuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim," tegasnya.