Grab the widget  IWeb Gator

Tuesday, February 15, 2011

Konvensyen KEADILAN Sabah April ini


SABAH: Majlis Presiden KEADILAN memutuskan untuk mengadakan Konvensyen KEADILAN Sabah  pada 2 April depan, sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selaku Pengerusi Interim majlis berkenaan berkata demikian dalam mesyuarat pertamanya di Ibu pejabat KEADILAN Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Mesyuarat itu turut membincangkan beberapa program dalam bulan Februari dan Mac untuk meningkatkan momentum kempen dan memperkukuh KEADILAN Sabah.
“Ia adalah langkah pertama untuk membina asas kepimpinan yang lebih kukuh di Sabah dengan memberi penekanan kepada pendekatan konsensus dalam isu-isu utama,” kata Wan Azizah.
Menurut beliau, program itu bermula pada 26 Feb ini iaitu pelancaran Buku Jingga Pakatan di Kota Kinabalu. Manakala pada 5 dan 6 Mac ini, KEADILAN Sabah akan mengadakan seminar bagi menangani pentadbiran tanah, perhutanan dan pembangunan ekonomi di negeri itu.
Pada 17 Mac 2011, KEADILAN Sabah akan menganjurkan satu forum awam mengenai integrasi nasional di Kuala Lumpur bertujuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai beberapa isu seperti integrasi nasional, termasuk perspektif rakyat Sabah mengenai hubungan antara negeri dan kerajaan persekutuan.
Menariknya, Wan Azizah sendiri akan mengetuai barisan kepimpinan KEADILAN Sabah dalam satu rangka lawatan menjelajah seluruh negeri untuk menemui anggota parti sebagai persediaan menghadapi PRU ke-13.
Dalam mesyuarat itu Majlis Presiden telah meluluskan pembentukan jawatankuasa yang akan diketuai oleh ahli-ahli Majlis Presiden seperti berikut:
1. Ahmad Thamrin Jaini-Kewangan, Keselamatan dan Imigrasi.
2. Datuk James Ghani-Pembangunan Luar Bandar
3. Christina Liew-Pembangunan Infrastruktur
4. Saidil Simoi-Kerajaan Tempatan dan Perumahan
5. Awang Tengah Awang Amin-Pembangunan Perindustrian dan Perhutanan
6. Datuk Kong Hong Ming-Pembangunan dan Pengurusan Tanah
7. Stephen Sandor-Kesihatan, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna
8. Jafery Jomion-Belia dan Sukan
9. Lukiah Indan-Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar
10. Datuk Hallik Zaman- Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia dan Kemajuan Teknologi Maklumat
11. Datu Mustapha Hj Tambuyong-Pertanian dan Industri Makanan

Wan Azizah berkata, mesyuarat itu juga sebulat suara memutuskan Roland Chia, Darell Leiking serta Naib Ketua Wanita Pusat, Sakinah Yusuf sebagai ahli ex-officio Majlis Presiden.
“Tugasan mereka adalah untuk menguatkan kerjasama antara kepimpinan Sabah dan pusat. Setiap jawatankuasa ditugaskan untuk menghasilkan kerangka dasar utama KEADILAN Sabah dalam bidang pentadbiran masing-masing,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular