TAHUN 2011 AKAN ‘DIMERIAHKAN’ DENGAN KENAIKAN HARGA BARANGProf Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Jika rakyat tidak memprotes dari awal, kita akan melihat tahun baru ini menyaksikan kenaikan harga barang yang membimbangkan. Kesannya akan dirasai oleh rakyat bawahan terutama mereka yang berpendapatan rendah. Para peniaga di pelbagai peringkat akan mengambil kesempatan dalam hal ini. Maka beberapa perkara berikut perlu saya katakan;
1. Pihak kerajaan; jika mereka tidak mengambil langkah yang berkesan dalam mengawal kenaikan harga barang bererti slogan 1Malaysia: ‘rakyat didahulu’ bermaksud rakyat yang didahulukan dalam menanggung beban hidup, sedangkan golongan pembesar negara dan istana terus kemewahan dan pelbagai peruntukan, mereka dikemudiankan.
2. Golongan agama; jangan menyempitkan Islam dalam batasan yang terhad. Jangan hanya ceramah agama di media elektronik dan cetak sekadar menekan orang bawahan semata, tetapi melupai ‘kerakusan’sesetengah golongan atasan. Ceramah dalam isu yang remeh temeh tetapi membiarkan rakyat hidup dalam‘social justice’ yang tidak seimbang. Para penceramah jangan sekadar ‘guna agama untuk cari makan’, tetapi hendaklah agama berfungsi dalam menegakkan hak dan keadilan.
3. Golongan peniaga; mereka wajib beretika dalam perniagaan mereka. Kerakusan peniagaan akan merosakkan negara dalam jangka masa panjang dan akhirnya tiada pihak yang dapat hidup senang. Bagi yang muslim, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dalam urusan perniagaan mereka.
4. Media massa; hendak pro-aktif menentang usaha kenaikan harga barang ini. Golongan yang menindas rakyat bawahan ini hendaklah dikecam dan didedahkan bahaya mereka kepada masyarakat.
5. Rakyat; Pastikan anda menjadi pembeli yang bijak dalam memilih kedai atau pasaraya. Di samping itu, anda juga mesti menjadi pengundi yang bijak yang bersedia menghukum pihak yang membiarkan kenaikan harga barang dan ‘mengumpulkan’ kekayaan negeri atau negara dalam kalangan mereka sahaja.
Selamat Tahun Baru