Grab the widget  IWeb Gator

Friday, January 7, 2011

Slogan lunak Umno sejak zaman Pak Lah hingga zaman Najib


Di Antara Mimpi Dan Realiti Yang Dijaja Umno-BN


ARTIKEL : Ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih teraju negara pada Disember 2003, beliau menyajikan mesej-mesej lunak kepada rakyat - "kerja dengan saya, bukan untuk saya", "cemerlang, gemilang, terbilang", " saya perdana menteri untuk semua" dan pelbagai ungkapan lagi.

Koridor-koridor pembangunan pula diperkenalkan di segala ceruk rantau negara. Selepas rakyat memberikan beliau mandat terbesar dalam sejarah pilihanraya umum negara pada tahun 2004, Malaysia menggelongsor begitu pantas dan natijahnya adalah tsunami politik Mac 2008.

Hari ini Pak Lah sudah bersara. Namun ramai rakan-rakan kabinetnya masih ada......Hishamuddin Hussein, Muhyiddin Yassin, Shafie Apdal, Zahid Hamidi dan lain-lain.

Timbalan Pak Lah yang mengiyakan segala slogan dan pelan rancangan Pak lah pula diangkat menjadi Perdana Menteri baru.

Kini giliran Najib Tun Razak untuk menggubah ungkapan-ungkapan baru di samping memperkenalkan program, yang menurut beliau, menjanjikan transformasi Malaysia kepada negara berpendapatan tinggi.

Maka dengan bantuan syarikat perunding APCO dan Mckenzie, Najib memperkenalkan 1Malaysia, "Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan" sebagai slogan utama. Koridor Pak Lah diganti dengan MEB, NKRA, GTP, ETP, KPI dan macam-macam lagi.

Surat-suratkhabar dan stesen televisyen arus perdana sarat dengan berita, (sesetengahnya iklan berbayar oleh kerajaan) bahawa ekonomi semakin mengembang, jenayah semakin menurun, rakyat luar bandar terbela dan keputusan peperiksaan anak-anak kita semakin bagus. Inflasi adalah pada kadar paling rendah, (DUA peratus) manakala pengangguran bawah 4 peratus.

Semua ini disuapkan kepada rakyat saban hari sejak pertengahan tahun 2009 apabila Najib mengambil alih sebagai Perdana Menteri.

Yang pasti, Najib mengidamkan mandat besar daripada rakyat apabila beliau memanggil pilihanraya umum yang dikatakan akan berlaku tahun ini. Beliau mengharapkan mandat selesa yang pernah dinikmati oleh Abdullah dan Mahathir sebelum ini. Mandat sebegitu akan membolehkan beliau serta Umno-Barisan Nasional mendabik dada sekali lagi.

Persoalannya: Adakah rakyat akan rela dibuai dengan rancangan-rancangan dan janji manis Najib, dan mengulangi kejayaan Umno-BN pada 2004?

Atau, adakan rakyat masih curiga terhadap kesediaan Umno untuk berubah?

Walau bagaimana sekalipun sesebuah rancangan atau pelan diatur secara teliti untuk menawan hati rakyat, tanpa keikhlasan dan sifat amanah, lambat laun pelan itu pasti terbongkar sebagai komplot untuk mengabui mata rakyat.

Rancangan dan pelan tindakan tajaan Najib memang mempunyai cacat cela yang ketara , rapuh dan cuba menyembunyikan realiti hidup sebenar.

Tidak perlu kita bercakap mengenai negara berpendapatan tinggi jika 40 peratus dari rakyat Malaysia masih termasuk dalam lingkungan isi rumah berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan, menjadikan mereka golongan paling miskin di Malaysia.

Tiga daripada empat keluarga yang berada dalam kategori paling miskin adalah keluarga Melayu/Bumiputra.

34 peratus daripada empat juta pekerja Malaysia pula dibayar gaji kurang daripada RM700 sebulan, iaitu bayaran di bawah paras kemiskinan.

Ini semua hakikat dan fakta.
Seperti juga hakikat bahawa kroni Umno dari Perak menerima projek lebih RM2 bilion ringgit daripada Kementerian Pertahanan sejak tahun 2008.

Tidak ada pemimpin Umno-BN yang tampil bertanya kenapa subsidi petrol, gula dan lain-lain begitu cepat dipotong untuk rakyat tetapi subsidi untuk syarikat-syarikat konsesi terus dilindungi.

62 peratus daripada RM39 bilion bayaran subsidi dan pampasan yang ditanggung kerajaan setiap tahun adalah subsidi kepada sektor korporat (penjana tenaga bebas dan konsesi lebuhraya).

Apakah rasional untuk Ketua Pegawai Eksekutif Syabas dan Puncak Niaga dibayar gaji RM425,000 setiap bulan manakala syarikat itu sendiri mengaut keuntungan berbilion ringgit kerana diberi konsesi air oleh Umno-BN?

Kenapa harus petani di Selangor dan Kedah berpuas hati menerima benih padi bermutu rendah semata-mata untuk Menteri tertentu mengswastakan kemudahan itu kepada syarikat kroni?

Walaupun PRU-12 memberi tamparan hebat kepada Umno, pemimpinnya tidak berubah. Kroni masih bermaharajalela dan rasuah berleluasa sehingga menjadi budaya.

Pihak yang membangkitkan isu rasuah dan kronisme pula cepat dituduh sebagai mengkhianati orang Melayu, malah institusi Raja itu sendiri.

Kenapa tidak ada pemimpin Umno yang tampil menjelaskan bagaimana sebahagian amat kecil saham RM52 bilion yang dikhususkan kepada orang Melayu boleh terlepas dan dikuasai oleh segelintir orang sahaja? Ke mana pergi bakinya?

Gagasan 1Malaysia dicanang seantero negara tetapi pada masa sama Biro Tata Negara diberi peruntukan menganjur kursus-kursus yang menghina kaum Cina dan India. Pegawai utama Najib sendiri "tertangkap" mengeluarkan kenyataan rasis namun tidak ada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa.

Sokongan secara nyata turut diberikan kepada Perkasa dan Ibrahim Ali, dengan tujuan membangkitkan sentimen orang Melayu untuk bersatu di bawah payung Umno.

Tidak mengapa jika rakan-rakan MCA, Gerakan dan MIC terguris hati. Tidak mengapa jika kaum bukan Melayu marah kepada Perkasa, asalkan bukan Umno yang jadi sasaran.

Berbalik kepada persoalan tadi, adakah rakyat akan merelakan diri dibuai dengan janji-janji Najib dan alpa dengan realiti hidup di sekitar mereka?

Kos sara hidup makin meningkat, kuasa beli rakyat semakin menguncup. Ketegangan kaum semakin nyata.

Apakah kita berpuas hati diberi sedikit habuan untuk menukar bumbung, mengubah suai masjid, gereja, jalanraya dan sebagainya setiap kali Perdana Menteri dan Pak Menteri melawat kawasan kita?
Apakah kita akan termakan janji pemerintah dan menutup mata kepada keadaan sebenar negara kita?

Di satu segi tiada sesiapa yang mengatakan Pakatan Rakyat adalah sempurna. Gagasan yang masih dalam usia muda harus diperbaiki dalam pelbagai aspek.

Namun jika kita jujur membezakan antara fitnah, dakyah dan kebenaran yang terpapar di media kita, tentunya ada benih-benih untuk meyakinkan kita atas keupayaan PR memerintah.

Selangor dan Pulau Pinang masih di tangga teratas dalam pelaburan dan peluang pekerjaan. Ketua Audit Negara memuji tahap pengurusan di kedua-dua negeri itu dan Kedah.

Program-program kebajikan dijalankan di desa dan di bandar di Kelantan walaupun tanpa royalti minyak. Pendidikan Islam terus diperkasakan manakala sekolah-sekolah Cina dan Tamil dipertahankan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.

Biasiswa diberikan kepada pelajar atas keputusan peperiksaan dan tahap ekonomi keluarga dan bukan bersandarkan warna kulit atau kaum.

Tidak ada parti yang kebal daripada pertelingkahan dan politik dalaman. Hakikatnya ialah PKR, DAP dan PAS sentiasa diberi ruang muka depan oleh media arus perdana setiap kali berlaku "perbalahan dalaman."

Entah sudah berapa kali Utusan Malaysia, Berita Harian dan TV3 meramalkan PKR, Anwar Ibrahim dan PAS serta DAP sudah sampai ke penghujung jangka hayat mereka, apabila parti-parti itu berhadapan dengan sesuatu masalah.

Namun ketiga-tiga parti itu masih tetap gagah berjuang atas landasan sama walaupun diasak dengan begitu hebat saban hari menerusi aparatus Kerajaan Persekutuan.

Asakan-asakan ini akan semakin liar dalam hari-hari yang mendatang ketika Najib semakin hampir untuk mengadakan pilihanraya umum.

Beliau akan cuba sedaya upaya menjadi saudagar yang berjaya menjual mimpi kepada rakyat yang dahaga keadilan dan pembelaan.
Keputusan sama ada untuk membeli atau menolak mimpi GTP, ETP, NKRA, MEB, ETP, dan slogan 1Malaysia tajaan Najib di tangan rakyat.

Terpulang kepada kita untuk membuat penilaian secara objektif. Penilaian yang harus berpaksi kepada kebenaran dan kenyataan dan bukan laporan berita yang berat sebelah, mahupun iklan-iklan tajaan pemerintah.
"The truth is out there" dan kita mampu mencarinya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular