Grab the widget  IWeb Gator

Friday, January 7, 2011

Di mana peruntukan hampir RM1 bilion Skim Penstabilan Harga Minyak Masak?


KUALA LUMPUR: Harga minyak masak di negara ini tidak sepatutnya dinaikkan memandangkan kerajaan melalui Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi memperuntukkan sebanyak hampir RM1 bilion bagi tujuan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) semasa pembentangan bajet 2011.

“Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi telah memperuntukkan RM927 juta untuk tujuan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak. Belanja ini adalah hampir RM1 bilion dari bajet keseluruhan kementerian berkenaan,” kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.

Beliau mempersoalkan di mana peruntukan bagi skim berkenaan yang dibentangkan bagi mengawal harga minyak masak yang kini berhadapan dengan krisis kekurangan bekalan barangan kawalan itu dipasaran.

“Perkara ini yang sebenarnya tidak disedari rakyat di negara ini. Apabila skim ini diumumkan kerajaan, pemain industri ini ternanti-nanti suntikan dana dari skim ini yang menyebabkan berlaku kekurangan bekalan dan belian panik,” jelas beliau.

Menurutnya, COSS tidak membantu secara terus kepada pengguna tetapi hanya memberi keuntungan kepada pemain-pemain industri di peringkat atasan seperti pengeluar, pengilang dan pemborong pukal.

“Skim ini berhubung secara terus dengan pembekal, pengedar, pengilang yang tidak ada kaitan dengan peruncitan dan pengguna. Contohnya seperti pemborong pukal dan sektor pengedaran yang di peringkat atas. Mereka ini yang menerima peruntukan berkenaan,” katanya kepada Keadilandaily.com.

Menurutnya, kaedah ini sama seperti pemberian subsidi kepada Syarikat tenaga bebas (IPP) yang lebih menguntungkan pemain industri berkenaan.

Sementara itu, Azan berkata kenaikan dalam Indeks Harga Pengguna (CPI) yang meningkat sebanyak 2.23 peratus daripada 1.9 peratus sepertimana yang diumumkan dalam Laporan Ekonomi kerajaan 2010, akan melonjakkan peningkatan belanja isi rumah, ditambah pula dengan peningkatan harga barangan disebabkan peningkatan cukai perkhidmatan.

Menurutnya, perkara itu diperkukuhkan lagi dengan laporan Bank Dunia dan Bank Negara Malaysia dalam laporan suku terakhir menyatakan hutang perbelanjaan isi rumah di Malaysia adalah yang tertinggi di dunia.

Menurutnya, indikator terbaru dari maklumat yang diperolehinya pula menunjukkan unjuran CPI kemungkinan mencecah sehingga tahap 3.33 peratus bagi tahun ini.

Manakala cukai perkhidmatan pula naik sebanyak 1 peratus dari 5 kepada 6 peratus, akan terus membebankan pengguna dan meningkatkan perbelanjaan isi rumah.

“Asas cukai perkhidmatan yang naik dari 5 peratus kepada 6 peratus sebenarnya meningkatkan kira-kira 25 peratus perbelanjaan isi rumah di negara kita. Kenaikan ini menyebabkan kenaikan kos sara hidup sebanyak 25 peratus dalam setiap isi rumah sekiranya tiada penambahan pendapatan sebanyak 25 peratus lagi.

“Sebagai contoh mudah, sekiranya seseorang individu membelanjakan RM100, dia terpaksa meningkatkan sebanyak RM1 untuk cukai perkhidmatan dari RM5 kepada RM6. kenaikan RM1 dari RM5 Ini bermakna kenaikan perbelanjaan tersebut naik sebanyak 20 hingga 25 peratus dari nilai RM5 yang dibelanjakan,” katanya.

“Jadi sekiranya berlaku kenaikan mendadak perbelanjaan isi rumah ini akan menyebabkan terbentuknya kitaran hutang belanja isi rumah yang tinggi yang akan menyebabkan usaha kerajaan untuk mencapai tahap negara penduduk berpendapatan tinggi gagal,” ujarnya.

Selain itu, katanya, kerajaan pula memindahkan beban cukai perkhidmatan dengan cara mengurangkan cukai import barangan sebanyak 300 item kepada golongan kaya yang menyebabkan harga barangan import bertambah murah.

“Golongan yang mendapat faedah ialah golongan kaya yang mendapat barangan import dengan harga yang lebih murah. Golongan kaya ini populasi mereka hanya 10 peratus dari jumlah penduduk. Manakala golongan miskin dan sederhana pula adalah 90 peratus. Jadi dengan kata lain kerajaan telah memindahkan beban cukai perkhidmatan ini kepada golongan miskin,” katanya.

Keadilandaily
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular