Pilihan raya kecil ke-14 bakal menyusul selepas ADUN Tenang Sulaiman Taha meninggal dunia, awal pagi tadi. PRK ini merupakan pilihan raya kecil pertama yang diadakan di kubu Barisan Nasional - negeri Johor, malah kubu Presiden MCA Chua Soi Lek sendiri, kerana terletak di bawah kawasan parlimen Labis.
Jikapun BN menang, "dari mana undi itu datang" menjadi persoalan penting. Labis merupakan kubu Chua Soi Lek, yang diwarisi dari bekas Presiden MCA Ling Liong Sik pada tahun 2004. Chua yang tidak bertanding dalam PRU pada tahun 2008 berikutan terdedahnya skandal seks dirinya, menyerahkan kerusi ini kepada anaknya, Chua Tee Yong, yang kini menyandang jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.
Kemenangan membawa makna kalah jikalau...
Justeru itu, PRK ini merupakan pertarungan Chua Soi Lek untuk bangkit semula. Bukan sahaja MCA perlu memenangi undi Cina, malah BN perlu menang dengan majoriti yang besar. Oleh itu, jikalau Chua Soi Lek gagal meraih 50% atau lebih undi Cina, maka kemenangan itu memberi makna kekalahan.
Tan Seng Keat yang juga seorang penduduk Johor berkata, "Ia sesuatu yang menarik sama ada Chua Soi Lek mampu mengembalikan sokongan Cina yang memihak kepada pembangkang pada PRU lalu. Dan ia bakal menentukan sama ada Chua mampu membuktikan jasa diri kepada UMNO dengan prestasi yang lebih terserlah."
Selain itu, Wong Chin Huat berkata, PRK Tenang membantu rakyat untuk menilai sama ada PRK Galas dan PRK Batu Sapi yang memberi kemenangan kepada BN itu adalah pola "kembalinya sokongan kepada BN", ataupun sekadar disebabkan faktor tempatan. Kedua-dua Galas dan Batu Sapi adalah kawasan pinggiran, maka strategi BN untuk menekankan "pembangunan" agak berkesan.
8 Mac 2008: Pengundi Cina memihak pembangkang
Dalam PRU ke-11 pada tahun 2004, Chua Soi Lek menewaskan calon DAP Tee Gey Yan dengan majoriti 10,729 undi di kawasan parlimen Labis. PRU ke-12 pada tahun 2008 pula menyaksikan bagaimana anaknya Chua Tee Yong menewaskan calon DAP Teo Eng Ching hanya dengan majoriti 4,094 undi.
Misalnya, pengundi Bandar Labis Tengah yang terdiri 96% Cina, PAS memperolehi 66.8% undi. Untuk kerusi parlimen pula, DAP memperolehi 73.8% undi. Di Bandar Labis Timor yang mempunyai 63.5% pengundi Cina, PAS memperolehi 52.5% undi, sementara DAP pula mendapat 57% undi. Di Labis yang mempunyai 58.3% Cina dan 32.4% India, PAS mendapat 50.6% dan DAP mendapat 60.4%.
Statistik menunjukkan bahawa pengundi Cina telah menyokong pembangkang (PAS dan DAP) pada PRU tahun 2008, memandangkan undi pembangkang mendahului BN di kawasan yang majoritinya Cina.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, beliau yakin PAS akan mendapat sokongan Cina dengan kerjasama Pakatan Rakyat. Sebaliknya, cabaran PAS adalah untuk mendapatkan sokongan peneroka FELDA.
PR harus menarik sokongan peneroka FELDA
Tenang yang mempunyai 13 unit peti undi keseluruhannya, adalah kawasan campuran, desa-bandar, dan merupakan kubu tradisional BN. Menurut perangkaan PRU tahun 2008, nisbah populasi pengundi adalah 49.66% Melayu, 38.13% Cina, 12.11% India dan 0.10% lain-lain.
Tan Seng Keat menjelaskan, pengundi Melayu di sini kebanyakannya terlibat dalam aktiviti pertanian, misalnya kelapa sawit atau getah. Oleh itu, kenaikan harga bahan mentah mungkin melegakan mereka dari segi ekonomi. Penduduk Cina pula kebanyakannya pekebun atau peniaga, dengan keadaan ekonomi yang agak baik.
Mazlan Aliman berpendapat, PAS harus tumpu untuk menarik sokongan pengundi muda generasi kedua dan ketiga kawasan FELDA, kerana mereka berdepan dengan masalah tiada rumah dan gaji rendah. Generasi kedua dan ketiga di kawasan FELDA ini hanya boleh menjadi buruh di ladang.
Di FELDA Tenang yang terdiri daripada 98.5% Melayu, sokongan BN masih teguh. PAS hanya meraih sokongan 20.4% undi dan DAP hanya memperoleh 10.2% undi. Malah di kawasan Cehmpal Barat dan Chemplak, PAS memperoleh 18.6% dan 18.7% undi masing-masing.
Seandainya dilihat pada kawasan yang terdiri daripada lebih 90% Melayu, seperti Kampung Rendong, Pekan Ayer Panas dan Sawah Bharu, undi yang diperolehi PAS hanya berada antara 18% dengan 32%.
Apa yang menarik, komuniti India memperlihatkan dua pola pengundian yang berbeza dalam PRU 2008. BN memperolehi 67.9% undi di Ladang Bukit Dato yang terdiri daripada 46.6% pengundi India. Tetapi di Ladang Labis Utara yang terdiri daripada 71.7% India, kedua-dua pihak memperolehi 50% sokongan.
Majoriti BN mungkin berkurang
Menurut satu kenyataan ahli parlimen Bakri-Johor, Er Teck Hwa sebelum ini, tarif air domestik di Johor telah meningkat dari 98 sen kepada RM1.05, di samping air industri yang berharga RM2.93 seunit pula mengalami peningkatan antara 0.15% hingga 17%.
Selain itu, Tenang berdepan dengan masalah pemindahan orang muda ke luar negeri. Ramai daripada generasi muda di Labis telah bekerja di luar negeri, terutamanya Singapura. Lantaran daripada itu, warga tua menjadi penduduk utama di kawasan pekan di situ. Penuaan penduduk bertambah ketara, semakin hari semakin hilang dinamiknya pekan ini.
Menurut pemerhatian Tan Seng Keat, MCA menawarkan perkhidmatan di tempatan yang agak baik, dan generasi tua Cina bercenderung untuk mengundi BN.
Pengundi Tenang tentukan harga minyak dan elektrik
Bagaimanapun, Wong Chin Huat menganggap keputusan PRK Tenang sebagai ujian terhadap langkah transformasi ekonomi Najib Razak. Wong berkata, BN masih menang di PRK Galas dan Batu Sapi pada November walaupun menaikkan harga minyak, gas dan gula pada 16 Julai 2010. Seandainya BN masih menang dalam PRK Tenang yang bakal berlangsung, setelah kenaikan harga baru-baru ini, maka Najib akan berkata pengundi merestui keputusan kerajaan untuk mengurangkan subsidi.
Dengan terus-terang Wong Chin Huat berkata, kira-kira 30,000 pengundi kawasan Tenang bakal menentukan nasib rakyat Malaysia - sama ada untuk menanggung harga minyak dan elektrik yang lebih tinggi atau sebaliknya.
*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor, MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal.