Grab the widget  IWeb Gator

Friday, December 17, 2010

Mahfuz: Nazri, Pandikar macam ‘penyamun’ filem Ali Baba Bujang Lapok

Mahfuz Omar
PETALING JAYA, 17 Dis — Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menyamakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz dan Speaker Dewan Rakyat Tan Seri Pandikar Amin Mulia sebagai watak penyamun dalam cerita Ali Baba Bujang Lapok. Semalam, Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa mendakwa Pandikar bertindak mengikut arahan dikeluarkan Nazri, dakwaan dinafikan oleh menteri itu.
“Kita berhadapan dengan cerita Ali Baba Bujang Lapok yang mana ketua penyamun (Nazri) dan sarjan pendek (Pandikar).
“Dalam cerita ini sarjan pendek mendengar arahan yang dikeluarkan ketua peyamun. Kita boleh tengok selepas menyamun sarjan pendek ini pergi membaling dadu. Dadu ini semua nombor dua sahaja.
“Dia baling hanya tiga kali sambil menjerit ‘siapa yang kena’, samalah macam kes ini keputusan cepat dibuat dan sarjan pendek tidak tunggu lama untuk membuat keputusan. Kalau dia baling dadu lebih tiga kali nanti dia pula yang kena,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini.
Mahfuz berkata demikian dengan mengulas keputusan Parlimen yang menggantung empat wakil rakyat Pakatan Rakyat semalam.
Semalam, Dewan Rakyat menggantung Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh, R. Sivarasa dan Azmin Ali daripada tugas sebagai Ahli Parlimen selama enam bulan.
Anwar dan Karpal juga hadir pada sidang media itu.
Dalam usul itu, jelas mengatakan Karpal, Sivarasa dan Azmin digantung daripada tugas mereka sebagai Ahli Parlimen manakala Anwar pula digantung tugas dari jawatan Ahli Parlimen selama enam bulan.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh digantung ekoran dakwaan beliau mengenai isu berkaitan APCO Worldwide dan gagasan 1 Malaysia.
“Inilah yang terjadi yang mana cerita P.  Ramlee ini masih wujud dalam zaman masyarakat moden.
“Isu ini akan beri implikasi kerana menafikan hak wakil rakyat untuk mempertahankan diri dan beri keterangan,” kata Mahfuz.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berkata, keputusan Parlimen yang tidak membenarkan keempat-empat wakil rakyat Pakatan Rakyat memberikan keterangan akan memberi kesan terhadap ekonomi negara.
“Ini akan beri kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara, pelabur dan masyarakat peniaga melihat perkara ini. Apa jaminan mereka akan dapat keadilan di negara kita?
“Mereka akan hilang kepercayaan kepada kita. Kalau Parlimen tidak boleh beri keadilan, siapa yang akan beri?” soal beliau.
Ali Baba Bujang Lapok merupakan sebuah filem Melayu diterbitkan pada 1961, diarah oleh Ramlee dengan berasaskan kisah Ali Baba dari Hikayat 1001 Malam tetapi ditokok tambah dengan unsur komedi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular