Isu Kepulangan Chin Peng: Adakah ia krisis ketamadunan?
Artikel dalam keratan akhbar di bawah menunjukkan bahawa UMNO masih diikat oleh propaganda kolonial.
Disebut dalam memoirnya yang agak menyentuh hati setiap pembaca, beliau begitu ingin melawat pusara ayah dan ibunya di pinggir jalan besar Sitiawan - Lumut. Memang suatu yang sangat ironi, seorang yang sanggup memberi nyawa untuk pembebasan negaranya, akhirnya disekat memijak bumi yang dia pernah berjuang untuk melepaskan cengkaman raksaksa kuasa penjajah itu. Selama 446 tahun ia dicengkam - tidak terlawan!
"It is ironic that I should be without the country for which I was more than willing to die…." (Suara hati Chin Peng dalam My Side of History m.s 519)
Chin Peng kini sudah uzur. Entah berapa lama lagi boleh memasang mimpinya untuk kembali ke rumah usang itu. Mahathir masih segar dan boleh diinterview media setiap hari tetapi kerap juga ke hospital memeriksa degup jantungnya. Kalau Chin Peng mati, dia mati dalam keadaan ditipu oleh Mahathir. Kalau Mahathir pula mati, matinya dalam keadaan "mungkir janji". Janji yang bukan saja disaksikan ratusan manusia, wartawan dan wakil media seluruh dunia malah ia juga disaksikan oleh Allah. Nampaknya agama kapitalis ini sudah membuat manusia tidak lagi takut meskipun kepada Allah yang turut menjadi saksi janji-janji mereka. Perjanjian itu dibukukan dan menjadi dokumen rujukan pengkaji sejarah. Mengandungi begitu banyak rahsia tentang perjuangan, tentang kenapa mereka terpaksa terus berjuang walaupun selepas merdeka.
PKM telah ditubuhkan pada tahun 1930 di Kuala Pilah sebagai sayap gerakan comintern(Komunis Antarabangsa) bagi tujuan "pembebasan tanah air dari kuasa penjajah Inggeris". Semasa Jepun melanggar Malaya 1941-1945, PKM telah bergerila menentang kezaliman kuasa ini. Pada masa ini, askar Inggeris terlalu kecut dan lari berbondong-bondong seperti itik. 14 hari Malaya di bawah Kuomintang yang ganas - bukan PKM. Sebaliknya PKM-lah yang menghapuskan Kuomintang yang telah melakukan keganasan terhadap rakyat. Inggeris dan UMNO menyembunyi segala fakta ini daripada sejarah. Inggeris kembali dengan menindas KMM (PKMM), API, AWAS dan lain-lain parti kiri yang bersemboyankan Merdeka.
Darurat diisytihar dan dikuatkuasakan (1948 -1960). Darurat ini adalah helah regim kolonial British, sebenarnya ia adalah perang terhadap pejuang merdeka. Ramai dari orang-orang Melayu di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan, dan Kedah juga telah turut bergerila dengan PKM kerana mereka ada senjata dan strategi untuk menghalau Inggeris. UMNO berdusta terhadap generasi muda bahawa kita merdeka hanya dengan pena. Inggeris telah membawa sebanyak 400,000 askarnya ke Malaya sedangkan rakyat Malaya hanya 5 juta ramainya pada ketika itu (1948). Ribuan serangan gerila dilancarkan dari PKM dan beribu-ribu juga askar Inggeris cedera dan terkorban. Walaupun tekanan telah ditingkatkan tetapi Inggeris semakin putus asa dan mula berbelah bagi.
Memoir Chin Peng "My Side of History" ada membangkitkan soal ini.
"The Tunku used the occasion as a propaganda boost to enhance his political image and strengthen his bargaining position with London. Anyone who doubts this only has to read what the Tunku himself said in 1974. The only good thing the Emergency produced,' he wrote was my meeting with Chin Peng. Because of those talks of mine in Baling we were able to wrest the initiative from the Malayan Communist Party, then wit at a conference table in London to negotiate our independence with the British, and win our freedom as a nation. Baling led straight to Merdeka…" M.S: 512
Rundingan Baling sebenarnya telah memberi nikmat yang besar kepada rakyat Malaysia. Di hutan, PKM juga telah menyambut 31 Ogos 1957 secara besar-besaran menandakan bahawa sebahagian perjuangan mereka telah tercapai. Mereka terus menantikan Tunku agar rundingan Baling II seperti yang dijanjikan. Bukan untuk menyerah diri tapi berdamai. Ia telah dilupakan begitu sahaja, kerana Inggeris tidak suka ia disambung. Hinggalah PKM dan Malaysia kembali ke meja rundingan di Haadyai pada tahun 1989. Kejayaan ini suatu yang dinantikan. Ramai yang memuji Mahathir kerana sikapnya yang lebih terbuka. Kini Mahathir pula yang mungkir. Sesungguhnya tiada siapa yang boleh mengubah tamadun yang rendah warisan UMNO ini.
Bayangkan berapa lama kita dijajah. Kekejaman silih berganti. Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun yang telah membunuh dan mendera rakyat. Selepas perang kita berdamai dan selepas merdeka kita meneruskan kehidupan kita. Menjalin hubungan kita dengan negara-negara bekas penjajah. Kezaliman Fasis Jepun, menyiksa dan membunuh ribuan rakyat dengan zalim. Begitu mudah dimaafkan. Malah kita begitu baik sekali dengan mereka yang pernah menyiksa nenek moyang kita. Permusuhan ini telah tamat dengan perjanjian-perjanjian damai. Kenapa boleh?
Dalam keadaan media internet - jalur lebar menjadi tangan yang lebih berkuasa maka sejauh mana fakta sejarah boleh dipalsukan? Berapa lama rakyat akan percaya? Berapa lama juga AUKU boleh membelenggu jiwa pelajar seperti belenggu gereja ortodok kristian di zaman kegelapan Eropah dulu. Akhirnya apa yang terjadi. Adakah revolusi teknologi maklumat akan memberi masa sepanjang revolusi sains dan industri pada zaman kegelapan itu?
UMNO akan lebih dihormati dan perjuangannya lebih diterima sekiranya ia lebih bersikap jujur. Perlu sedar kita bukan lagi berada di zaman perang dingin. Propaganda ala zaman darurat hanyalah satu kerja dungu. Rakyat sudah celik dan tidaklah perlu mereka dibutakan kembali. Tidaklah perlu diteruskan propaganda anti-komunis yang diinginkan penjajah Inggeris. Kita sudah merdeka…! UMNO tidak patut terus hanyut dalam lamunan. Tidak patut terus diikat oleh propaganda British terhadap PKM dan Chin Peng.
*Tulisan ini dipetik daripada blog Tongkat Bahaman.com.