Grab the widget  IWeb Gator

Friday, December 17, 2010

Boleh Melacur Kerana Dhorurat ? - by Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

KENYATAAN MEDIA  DEWAN PEMUDA PAS PUSAT
BERHATI-HATI KETIKA MAHU BICARA TENTANG HAL EHWAL ISLAM

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh akhbar Harian Metro bertarikh 11 Disember 2010 benar-benar mengejutkan umat Islam apabila dilaporkan bahawasanya Dr Fadzilah Kamsah  telah mengeluarkan fatwa yang membolehkan seseorang itu melacurkan dirinya dalam dharurat. Kenyataan ini hampir sama nadanya dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Dr Masyitah Ibrahim sekitar tahun 2005 dahulu.

Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia dan seluruh umat Islam ingin mengingatkan dengan jelas dan tegas agar hukum agama tidak diungkap sepintas lalu tanpa mempunyai asas dan nas yang tepat , juga sensitiviti Islam itu tidak dipermainkan. Saya ingin mengingatkan, bahawa semua pihak yang ingin bercakap mengenai agama khasnya , perlu merujuk kepada mereka yang lebih tahu akan Islam itu dari sudut asas dan cabangnya sebelum mengeluarkan satu-satu kenyataan mengenainya .

Kenyataan yang membenarkan seseorang itu melacurkan diri dengan alasan dhorurat tidak sepantasnya dikeluarkan begitu sahaja. Kenyataan demikian jelas bercanggah  dengan maqasid Islam itu sendiri. Islam tidak mengajar kita menghalalkan cara demi mencapai matlamat kita. Sekali lagi, saya ingin mengingatkan agar kita perlu lebih berhati-hati sebelum menjawab satu-satu soalan apatah lagi sekiranya soalan itu bukan di dalam kepakaran kita.

Seperkara lagi , saya ingin persoalkan apakah rasionalnya isu pengharusan zina atau melacur kerana  dhorurat ini ditimbulkan ? negeri atau negara mana yang mengalami dhorurat sehingga rakyatnya terpaksa melacur ? dhorurat yang bagaimana sehingga pelacuran terpaksa dihalalkan begitu sahaja ?

Apakah Negara kita telah kehabisan makanan ? apakah kerajaan Negara ini telah kehilangan moral dan nilai simpati untuk membantu rakyatnya ? apakah masyarakat kita telah pupus semangat membantu dan menghulur bantuan kepada yang memerlukan ? dimana pula Baitul Maal ? Pusat Pungutan zakat ? atau hukum itu diberi pada reality yang tidak wujud ?

Suka saya tegaskan bahawa meminta sedekah itu jauh lebih baik dari melacurkan diri jika hanya kerana ingin mencari sesuap nasi . Apakah jawapan sebegini tidak boleh diberikan oleh beliau ? sementara ia boleh mengelakkan kekeliruan berlaku dikalangan masyarakat yang jahil hari ini khasnya dalam dunia yang penuh dengan maksiat dan mungkar. Mudah sahaja si jahil akan berhujjah bahawa mereka melacur kerana ingin mencari sesuap nasi .

Akhirnya  saya nasihat agar semua pihak berhati – hati ketika mengeluarkan pandangan atau pendapat. Kenyataan mesti berpijak dialam nyata agar tidak mengelirukan ummah serta wajib mempunyai sandaran nas yang jelas.

Nasrudin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Lampiran 1 : [ Artikel lama , jawapan saya kepada isu ini sewaktu ditimbulkan oleh Datuk Mashitah seketika dahulu ]

Oleh Ustaz Nasruddin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang (DPPNP)

Merujuk kepada Jawapan kontroversi Dato Dr. Mashitah Ibrahim, Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri yang disiarkan di dalam ruangan soal jawab agama ‘Anda Musykil, Dr Mashitah Jawab’ akhbar Harian Metro Ahad, 19/6/2004 . Dr. Mashitah dalam ruangan tersebut menjawab bahawa melacur dalam keadaan `terpaksa` adalah dibolehkan. Definisi kepada `terpaksa` yang dimaksudkan pengirim dan Dr Mashitah sendiri adalah terpaksa untuk menyara keluarga atas sebab kesempitan hidup maka ia dianggap darurat yang menyebabkan hukum asal berubah. Berikut adalah petikan Dr Mashitah:

HUKUM di dalam Islam berbeza mengikut keadaan seseorang.Mengikut istilah yang dipakai di sini, iaitu ‘terpaksa’, membayangkan wanita berkenaan terdesak melakukan perbuatan dilarang dan bukan dengan kehendakhatinya.Dia terdesak berbuat demikian demi menyelamatkan anak dan memberi makan.Perkara dilakukan dalam suasana darurat terlepas daripada hukuman biasa. Dalam keadaan biasa, memang melacur itu haram, tetapi jika terdesak dan darurat ia dimaafkan.Di sinilah timbulnya tanggungjawab masyarakat untuk membantu.Orang terdesak dan darurat tidak mungkin mampu membayar zakat fitrah, dia tergolong layak terima fitrah.Jika sampai ada lebihan, bererti dia sudah tidak darurat. Sumber Harian Metro 19 Jun 2005

Berdasarkan kepada kenyataan tersebut DPPNP ingin memberikan komentar berhubung perkara tersebut.
Kami berpandangan bahawa jawapan yang diberikan itu adalah tidak tepat dan cukup mengelirukan. Jawapan tersebut telah menimbulkan satu anggapan di kalangan ummat Islam di Malaysia bahawa melacur adalah dibenarkan dalam keadaan ‘terpaksa’ atau ‘terdesak’ yang mungkin disebabkan oleh kesempitan hidup. Dalam keadaan darurat sebegini, jika berdasarkan kepada Dr. Mashitah, maka hukum haram melacur (berzina) berubah menjadi harus (dibolehkan).

Pandangan pra-matang

Jawapan Dr Mashitah di dalam akhbar tersebut, menggunakan konsep mashaqqah yang merupakan satu konsep yang ada di dalam fiqh dan usul fiqh, konsep tersebut menerangkan bahawa “sesuatu kesulitan dan kesusahan itu menjadi sebab bagi meringankan hukum dan memberikan kemudahan.

Keadaan ‘terpaksa’ seperti yang ditimbulkan oleh pengirim, disebabkan oleh faktor kemiskinan atau kesempitan hidup, Malangnya Dr Mashitah memberikan satu jawapan yang “tidak cermat”, tanpa sebarangan analisis senario dan tidak pula cuba untuk memberi penjelasan yang lebih details beliau terus secara longgar mengkategorikan keadaan tersebut [terpaksa] sebagai satu keadaan darurah. Implikasi dari keadaan terpaksa itu ialah ia membolehkah hukum asal dirubah iaitu haram melacur kepada harus melacur. Tidakkah ini satu pandangan yang mengelirukan?

Sungguhpun DPPNP menghormati ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh Dr. Mashitah. Namun, kami tetap berpendirian bahawa pendapat beliau dalam isu ini tidak boleh diterima sama sekali. Pandangan beliau yang disiarkan secara meluas kepada masyarakat awam, adalah menyalahi konsep mashaqqah yang telah ditetapkan oleh ulamak muktabar, tindakan terlalu meringankan pengkategorian keadaan darurat tersebut dibimbangi akan berlaku kekeliruan dan salah faham dikalangan pembaca yang rata-ratanya tidak arif tentang hukum. Sedangkan masalah aurat yang mudah itupun tidak difahami ramai apatah lagi dalam masalah yang agak kompleks sebegini tentulah lebih mudah untuk disalah ertikan oleh masyarakat awam.

Pandangan Ulama

I - Dr Yusuf Al-Qaradhawi

Kami naqal pandangan beberapa tokoh ulamak bagi menyokong hujah kami antaranya ialah Dr Yusuf Al-Qaradhawi yang di dalam kitabnya ‘Al- Halal Wal Haram Fil Islam’ menyentuh tentang keadaan darurah yang membolehkan perlakuan haram, beliau telah menegur dan memperingatkan ummat Islam agar tidak secara sembrono mempermudah-mudahkan kelonggaran [rukhsah] yang diberi oleh syarak atas alasan darurat.

II - Dr Wahbah Zuhaili

Begitu juga semasa membincangkan tentang hukum harus melakukan yang haram ketika darurat, Dr Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya Al-Wasit Fi Usul Fiqh al Islami (Al- Matba’ahAl Ilmiyya, Cetakan Kedua 1986 m.s 115) telah menyatakan bahawa majoriti ulamak berpendapat harus melafazkan kata-kata kufur ketika dipaksa seperti diancam untuk dibunuh.

III - Ulama Mazhab As-Syafie

Ulama mazhab As Syafie (as Syafiyyah) mengatakan skop darurat itu bukan sekadar takut kehilangan nyawa jika tidak memakan makanan yang haram itu, tetapi ditakuti juga akan berlaku kesakitan atau sakitnya bertambah teruk atau sakitnya itu akan berpanjangan.

IV - Imam Abu Zuhrah

Imam Abu Zuhrah pula mendefinisikan darurat pula sebagai satu keadaan ditakuti akan kehilangan nyawa ataupun kehilangan harta keseluruhannya ataupun maslahat dharurinya (agama, nyawa, maruah, akal dan harta) terancam jika tidak memakan yang haram atau tidak melakukan perkara yang terlarang dengan syarat tidak menyentuh hak orang lain.

Syarat Darurat

Berikut adalah beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh Islam dalam meletakkan sempadan daerah darurat itu sendiri.
Jika menepati kriteria ini barulah terpakai kaedah syarak seperti darurat mengharuskan perkara yang dilarang:

* Darurat itu memang benar-benar berlaku bukan lagi hanya sangkaan semata-mata ke atas kemusnahan nyawa ataupun harta benda. Kalau pun kekhuatiran itu didasarkan andaian, andaian itu hendaklah andaian yang kuat seperti telah melalui proses pengalaman dan pemerhatian.

* Orang yang berada dalam keadaan darurat itu tidak ada jalan lain yang dibenarkan oleh syarak untuk mengelakkan kemudaratan itu. Contohnya, seseorang yang amat perlu untuk meminjam wang maka ia mesti memilih pinjaman tanpa riba kerana zaman ini sudah ada alternatif untuk melakukan pinjaman dengan tidak menggunakan sistem riba.

* Orang yang dalam keadaan darurat (terpaksa) itu mestilah berusaha jangan memilih perkara yang terang-terang melanggar prinsip-prinsip asasi Syariat Islamiah dan usul akidah Islamiah seperti tidak halalnya ia memilih untuk berzina, membunuh, memilih kufur dan mengambil hak orang lain kerana perkara-perkara berkenaan pada hakikatnya adalah mafsadah (kerosakan).

Ini bererti jika dalam melepaskan keadaan terpaksa itu tiada jalan yang halal, cuma yang ada beberapa jalan yang haram, maka ia mesti memilih mudarat yang lebih ringan dan tidak terang-terang melanggar perkara-perkara asasi dalam Islam.

* Ketika melepaskan keadaan daruratnya seseorang itu mestilah sekadar melakukannya kadar yang perlu sahaja, bukan untuk berselesa melakukan perkara yang terlarang berkenaan berdasarkan kaedah keadaan darurat diukur dengan tingkatannya

* Dalam isu terpaksa memakan ubat dari produk haram untuk menjaga kepentingan nyawa, syarat tambahan yang perlu dipenuhi ialah pengambilan ubat berkenaan hendaklah disyorkan oleh doktor yang dipercayai pegangan dan amalan agamanya serta mempunyai kepakaran di samping terbukti tiada ubat lain yang halal untuk diambil.

* Dalam pemerintahan negara, pemimpin perlu memastikan kepentingan awam dan negara didahulukan walaupun kadang-kadang terpaksa mengambil jalan yang terlarang apabila jalan yang halal tiada atau kurang berkesan dalam menjaga kepentingan negaranya seperti pandangan beberapa orang ulama yang berpandangan harus membayar hutang negara kepada badan-badan dunia atau negara-negara kuasa besar bersama dengan faedah pinjaman walaupun pada asasnya riba itu haram kerana menjaga kepentingan negara daripada terjual atau tergadai kepada kuasa asing.

Sumber Pejabat Mufti Perak

Daripada sedikit ulasan di atas, alasan melakukan perkara yang diharamkan kerana darurat tidak semudah seperti ia diungkapkan kerana pada hakikatnya ia masih terikat dengan beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh syarak.
Fenomena yang berlaku di masyarakat kita ialah ramai di kalangan umat Islam menggunakan alasan darurat dengan melakukan perkara yang haram dalam perkara peminjaman secara riba sedangkan peminjam berkenaan bukannya dalam perkara `daruriyyat' tetapi hanya dalam perkara `tahsiniyyat' sahaja.

Berdasarkan pendapat-pendapat ulamak di atas yang sempat dinukilkan [serta banyak lagi pandangan-pandangan lain] keadaan ‘terpaksa’ disebabkan tiada wang untuk menyara hidup, tidak termasuk ke dalam kategori darurat yang membolehkan seseorang perempuan melacur sebagaimana pendapat Dr. Mashitah.

DPPNP tidak berniat untuk meperbesar-besarkan soal ini, tetapi oleh kerana kenyataan ini disiarkan di dalam sebuah akhbar arus perdana yang mempunyai jutaan pembaca dan disampaikan pula oleh seorang tokoh agama yang berpengaruh seperti Dr. Mashitah, maka ia telah menimbulkan kekeliruan di kalangan ummat Islam dan mungkin ramai juga yang menelan bulat-bulat jawapan tersebut.

Tindakan dan Kesimpulan

Oleh kerana itu, demi kepentingan ramai khususnya umat Islam di Malaysia, kami menyeru pihak berwajib untuk melakukan sesuatu demi agama ini. Tuntutan kami tidaklah sebesar mana Cuma hanya memohon pihak yang berwajib lebih cakne dan proaktif dalam menangani isu-isu yang melibatkan kepentingan umum.

Pihak Dato diminta untuk tampil menjelaskan isu ini kepada masyarakat. Kami Dewan Pemuda PAS Pahang teramat bimbang kelonggaran ini akan dimanipulasi oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk menyesatkan dan memesongkan orang Islam di Malaysia. Sudah terlalu parah kebejatan akidah dan sosial dikalangan umat Islam di Malaysia dipinta janganlah ditambah lagi dengan satu bentuk endorsement sebegini. Isu murtad, kondom dan jarum percuma, isu zina, arak, pesta melampau, serangan pemikiran [islam Liberal/ astora], riba, judi, rasuah dan macam-macam lagi bencana kepada umat ini sudah tidak terbela lagi, apakah golongan agamawan kerajaan sudah kecewa dan berputus asa? Bangkitlah!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular