BENCANA YANG DIBAWA !
A, B DAN C EKONOMI KITA
Harga gula dan harga bahan bakar minyak baru sahaja naik. Harga leterik akan naik tidak lama lagi. Malah seribu satu macam harga barang barang keperluan yang lain telah, akan dan sedang naik harga. Apa sahaja barangan konsumer yang bersangkutan dengan gula dan bahan bakar minyak petrolium pasti akan naik.
Orang ramai pasti ingin tahu apakah sebenarnya yang sedang berlaku. Kenapa harga barang keperluan naik. Kenapa dahulu harga murah dan sekarang naik. Apa yang menyebabkan barang naik. Kenapa ianya naik pada ketika ini.
Untuk memahami semua persoalan ini kita wajib memahami sistem ekonomi kapitalis. Malaysia mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Dalam dunia ini ada dua sistem ekonomi. Satu sistem ekonomi kapitalis dan satu lagi sistem ekonomi sosialis.
Sistem ekonomi kapitalis berpaksikan keuntungan maksima. Apa sahaja projek, dasar pembangunan atau kaji selidik yang dilakukan semuanya berkiblatkan keuntungan maksima. Kapitalisma tidak ada agama dan tidak ada bangsa. Di Saudi Arabia kapitalisma beragama Islam. Di Itali kapitalisma beragama Katholik. Di India kapitalsima beragama Hindu. Di China kapitalisma tidak beragama. Yang penting untuk kapitalisma ialah untung bukan agama atau bangsa.
Sistem sosialis berpaksikan kebajikan ramai. Keuntungan bukan jurupandu sosialisma. Pembangunan dibuat bukan untuk kroni atau untuk mencari untung tetapi untuk kebajikan umum. Dalam sistem ekonomi sosialis semua punca punca pengeluaran dan bahan keperluan asas untuk warga seperti air, udara, hospital, makanan, pengangkutan, leterik atau jalan raya dimiliki oleh kerajaan. Keuntungan tidak dijadikan juru ukur atau tangga kejayaan. Kesejahteraan awam diutamakan.
Sistem ekonomi kapitalis ini telah dipaksakan ke atas Malaysia. Pada satu ketika dahulu air, api, hospital , jalan raya, sistem penerbangan awam – semuanya milik rakyat. Hari ini satu demi satu harta orang ramai ini telah dijual kepada kaum pemodal yang kaya dan berduit. Penjualaan harta orang ramai kepada milik persendirian ini dinamakan penswastaan.
Dasar penswastaan ini adalah satu strateji kaum pemodal untuk menaklok dan menguasai punca punca ekonomi yang dimiliki oleh orang ramai. Cara mengambil alih harta orang ramai ini bukan satu pekara yang susah untuk dilakukan.
Kaum pemodal dan kaum kapitalis telah memberikan dana dan sokongan kepada ahli ahli politik. Kaum pemodal dan para kapitalis telah menaja ahli-ahli politik yang akan menyokong dasar penswastaan. Apabila parti dan ahli-ahli politik ini menang pilihanraya maka kerajaan baru ini terus memperkenalkan dasar penswastaan. Inilah caranya dasar penswastaan diperkenalkan di United Kingdom oleh Parti Konservatif Margaret Thatcher satelah mengalahkan Parti Buruh.
Di Malaysia agak berbeza - penswastaan diperkenal melalui Dasar Ekonomi Baru. Dasar Ekonomi Baru ini cuba melahirkan kaum kapitalis Melayu. Justeru banyak syarikat kerajaan - harta orang ramai - telah difaraidkan. Pada dasarnya difaraidkan kepada orang Melayu dan bumiputera. Tetapi akhirnya semuanya diambil alih oleh para cukong yang memiliki modal yang lebih ampuh.
Hari ini api leterik, gula, beras, minyak makan, tepong, jalan raya, universiti, hospital – yang pada satu ketika dahulu dikawal atau dimiliki oleh syarikat milik kerajaan kini telah sekali lagi diambil alih oleh kaum pemodal. Kalau dahulu perkhidmatan menjadi tulang belakang dan iman syarikat dan lembaga ini. Dengan penswastaan rukun iman kaum pemodal ialah keuntungan maksima. Khidmat yang diberikan wajib mendapat pulangan yang menguntungkan.
Justeru kerana itu satu demi satu barang-barang keperluan kita dinaikan harganya. Tuan empunya syarikat, tuan empunya kilang dan para pengedar tidak pernah mahu keuntungan mereka turun. Dalam masa yang sama kerajaan tidak lagi dapat berbuat apa apa kerana syarikat ini bukan lagi milik orang ramai. Untuk memedihkan cerita – para menteri dan kaum keluarga mereka juga memiliki saham dan kepentingan dalam syarikat ini.
Mereka yang membuat dasar penswastaan memiliki kepentingan dalam syarikat yang diswastakan. Malah perjanjian antara kerajaan yang menjualkan harta orang ramai ini masih menjadi rahsia. Apa yang kita diberitahu ialah syarikat syarikat ini berhak - kerana perjanjian – untuk menikkan harga mungkin setiap tahun atau mungkin setiap dua tahun. Kita tidak tahu kerana perjanjian ini masih satu rahsia dibawah Akta Rahsia Kerajaan.
Sistem ekonomi kapitalis negara kita ini juga berkait rapat dengan ekonomi kapitalis sedunia. Turun naik harga barangan di negara luar akan juga mempengaruhi harga barangan dalam negara kita. Ini kerana sistem ekonomi kita telah diikat. Cara kita diikat ialah melalui nilai ringgit yang diukur mengikut nilai dolar. Kita juga – malah seluruh dunia - dipaksa menggunakan dolar Amerika dalam hal jual beli minyak dan ekspot impot.
Pada ketika ini Amerika sedang berperang dengan rakyat Iraq, Afghanistan, Pakistan dan tidak lama lagi dengan rakyat Iran. Perang telah membawa musibah yang maha sangat ke atas ekonomi Amerika. Pada hari ini ekonomi Amerika dalam keadaan lintang pukang.
Ketika ini pengangguran ditahap paling tinggi dalam sejarah Amerika. Kilang-kilang banyak yang ditutup. Berpuluh puluh bank besar dan kecil jatuh muflis. Rumah-rumah banyak yang diambil kembali oleh bank kerana gagal membayar hutang pinjaman. Semakin ramai warga tidor dalam kereta atau merempat. Suasana zaman meleset tahun 1929 telah berulang sekali lagi di Amerika.
Kerajaan Amerika perlu mencari dana untuk menampung perbelanjaan perang. Perang di Iraq memerlukan satu bilion dolar sehari. Hakikatnya pada hari ini Amerika Syarikat telah lama jatuh bangkrap.
Justeru untuk mengapongkan Amerikan dari tenggelam, kerajaan Amerika telah meminjam duit dari Federal Reseve. Caranya cukup senang. Federal Reserve telah mencetak duit dan mengagihkan duit ini kepada kerajaan Amerika. Hutang pinjaman ini akan dibayar oleh warga Amerika. Dengan kekuatan bala tentera kuasaimperial Amerika telah memaksa negara negara kapitalis yang lain termasuk Malaysia untuk menggunakan dolar ini – dolar yang tidak memiliki apa-apa nilai. Selain dari nilai takut – takut digudam oleh bala tentera Amerika.
Perang yang berterusan ini masih tidak nampak pintu damai dan sedah memerosotkan nilai dolar. Apabila nilai dolar merosot maka barang yang kita ekspot bertambah murah. Dalam masa yang sama barang yang kita beli bertambah mahal. Minyak yang kita jual juga menjadi murah kerana kita dipaksa menjual dengan menggunakan dolar.
Semua pembekal - besi, beras, makanan, sayuran – malah apa sahaja yang kita impot dari luar - harganya akan dinaikkan untuk mengimbangi nilai dolar yang jatuh. Negara lain juga tidak mahu mata wang dan ekonomi negara mereka ditarik kebawah oleh kemorosotan nilai dolar. Laku mereka menaikkan harga barangan yang mereka ekspot. Akhirnya barang ini kita beli dengan harga yang semakin mahal.
Satu pekara yang sedang menjerut sistem kapitalis antarabangsa ialah kekurangan bahan bakar petrolium. Setiap hari bahan bakar ini semakin berkurangan. Bahan bakar ini adalah penjana tenaga yang maha penting dalam sistem kapitalis antrabangsa ini. Tanpa bahan bakar ini sistem kapitalis antrabangsa ini akan runtuh.
Apabila harga bahan bakar petrolium naik dipasaran antarabangsa maka tidak dapat tidak harga minyak dalam negara kita akan naik juga. Ini telah dan sedang kita lihat berlaku. Kenaikkan harga bahan bakar petrolium ini akan melibatkan asas ekonomi kapitalis. Tidak ada yang selamat dari bencana yang akan dibawa oleh kekurangan bekalan bahan bakar petrolium ini. Apabila bahan bakar petroilum kurang dipasaran dunia maka semua negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis akan menghadapi krisis yang maha besar.
Harus kita semua menerima hakikat bahawa bahan harga bakar petrolium ini akan terus naik dari hari ke hari. Ini kerana minyak makin berkurangan. Ini juga bermakna semua harga barangan yang kita lihat hari ini akan terus berubah menjadi lebih tinggi.
Kerajaan Najib Rosmah ketika ini telah mula menjalankan dasar untuk melupuskan subsidi. Ini adalah atas tekanan kaum pemodal tempatan dan antrabangsa. Mengikut hujah jahat kaum kapitalis harga barangan tidak perlu disubsidi kerana ini akan menempangkan pasaran. Untuk kaum kapitalis tuhan mereka ialah pasaran. Pasaran lah yang akan menentukan semua.
Kerajaan Najib Rosmah tidak ada pilihan. Najib sendiri dengan kes pembunuhan Altantuya sebagai latarbelakang tidak dapat melarikan diri dari tekanan Amerika. Dalam masa yang Najib juga memerlukan sokongan para cukong dari MCA. Para cukong kini telah mula bersuara untuk meminta kerajaan kurang memainkan peranan dalam percaturan ekonomi negara. Ini kerana para cukong dan kapitalis antarabanga mahu harta-harta rakyat yang masih dipegang oleh kerajaan dapat mereka bolot.
Yakinlah dalam masa yang terdekat lebih banyak barang akan dinaikan harga. Lebih banyak subsidi akan ditarik kembali. Rakyat Malaysia hanya ada satu pilihan mengubah kerajaan yang ada sekarang atau terus terperangkap dalam saistem ekonomi yang menindas.(TT)
APA MAKNA PENSWASTAAN
[2008]
Penswastaan ialah satu dasar ekonomi yang dianjur oleh kaum pemodal kapitalis pada tahun 80'an dahulu. Ini adalah dasar ekonomi yang mula-mula dianjurkan oleh Ronald Reagan dan Margaret Thatcher. Ini adalah dasar ekonomi kapitalis fahaman kanan yang ekstrim.
Sebelum dasar penswataan di perkenalkan banyak negara dalam dunia ini masih memiliki harta-harta dan syarikat-syarikat awam. Banyak syarikat-syarikat yang berjaya ini dimiliki dan dikendalikan oleh kerajaan. Syarikat awam ertinya syarikat yang dimiliki oleh orang ramai.
Kaum pemodal meleleh air lior apabila melihat syarikat air, syarikat api, pejabat pos, syarikat talipon, syarikat kapal terbang, sekolah, hospital dan seribu satu macam syarikat yang dimiliki oleh rakyat. Kaum pemodal tidak dapat menahan nafsu duitan mereka untuk merompak syarikat-syarikat ini.
Syarikat-syarikat milik kerajaan bermula dengan cita-cita untuk memberi khidmat kepada orang ramai. Syarikat-syarikat in diusahakan bukan atas dasar mencari untung maksima. Dalam masa yang sama syarikat-syarikat ini juga berjalan dengan pengendalian yang baik dan profesional. Untung bukan slogan syarikat-syarikat ini. Rugi juga bukan moto syarikat ini.
Khidmat untuk orang ramai ialah shahadah untuk semua syarikat-syarikat milik kerajaan. Syarikat-syarikat ini berimankan - khidmat terbaik untuk kesejahteraan ramai. Syarikat milik orang ramai didirikan untuk memberi khidmat kepada orang ramai.
Tiba-tiba Mahathir Muhamad melancar skim cepat kaya pada tahun 80an. Syarikat-syarikat Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, MAS, Pembeklan Air, Pejabat Pos, Hospital, Taman Negara, Jalan Raya, Balai Raya, Dewan Orang Ramai, Rumah Rehat – semua ini adalah contoh-contoh syarikat dan harta orang yang ditelah diagih-agihkan oleh Mahathir Muhamad kepada kaum kerabat dan kroni-kroninya.
Inilah skim cepat kaya Mahathir Muhamad yang dijadikan dasar gerombolan United Malays National Organisation. Di tahun-tahun itu, ketika Mahathir ditahta, kita ada mendengar berita Mamat Basikal Buruk jadi towkay gedung-gedung perniagaan. Kita mendengar Mat Driber Lori jadi pemilik empangan terbesar. Kita mendengar Mat Sekolah Tak Tamat menjadi tuan punya syarikat penerbangan. Kita mendengar cerita Mat Tak Pandai Cakap Inggeris menjadi pemilik loji air.
Semua harta-harta dan syarikat yang dimiliki orang ramai telah diambil alih untuk di jadikan milik pribadi. Semuanya dirompak untuk diagihkan kepada kroni. Cara rompakan ini cukup senang: Para kroni mengajukan cadangan-cadangan dengan kertas kerja kepada badan Unit Perancangan Ekonomi - EPU. Bunyinya cukup lunak tetapi hakikatnya amat berlainan. Badan perancangan ini juga dirasuah untuk meluluskan rompakan ini. Para birokrat di badan Perancangan ini juga mendapat habuan untuk meluluskan rompakan ini. Mereka bersubahat untuk sama-sama merompak.
Hasilnya di zaman Mahathir Muhamad banyak lanun dan perompak menjadi kaya raya.
Bayangkan berpuluh puluh tahun syarikat dan harta-harta ini telah dibagunkan sedikit demi sedikit. Syarikat MAS - dari dua buah kapal terbang yang disewa dari BOAC akhirnya menjadi sistem penerbangan antarabangsa. Bayangkan dari hanya beberapa buah peti pos akhirnya Pejabat Pos berjaya memberikan khidmat ke seluruh negara. Cuba fikirkan bagaimana hutan diteroka dan jalan raya dan landasan keretapi dibuat.
Berapa bilion ringgit pelaboran telah di curahkan oleh kerajaan? Berapa banyak masa, tenaga dan berapa banyak nyawa rakyat yang telah digunakan untuk mendirikan syarikat-syarikat ini? Dalam sekelip mata sahaja semua harta-harta ini telah dirompak oleh Mahathir Muhamad. Harta-harta milik kita semua ini dengan bagitu senang diagih-agihkan kepada kaum keluarga dan kroni.
Dasar rompak harta orang ramai inilah yang dipanggil dasar pengswastaan. Dasar ini juga dikaitkan dengan apa yang dipanggil dasar globalisasi. Dasar globalisasi ini membolehkan syarikat-syarikat gergasi antarabangsa datang sama menjarah dan merompak harta negara kita.
Apakah kita lupa syarikat Air Kelantan pada satu masa dahulu sebahagian besarnya adalah milik Thames Water dari United Kingdom. Tidak kah kita merasa takut apabila air yang kita minum ini tuan empunyanya ialah orang luar. Tidak kah kita merasa gerun apabila hospital kita adalah milik Singapura, Britain atau Amerika? Tidak kah kita terganggu apabila syarikat talipon kita kini dimiliki oleh Jepun, Korea dan Australia?
Dasar penswastaan ini telah berjalan lebih dari 20 tahun. Porak peranda hasil dari dasar ini sedang kita lihat. Sekolah dan universiti bukan lagi gudang ilmu untuk mendidik warga bangsa tetapi menjadi gedung 'menipu' untuk membuat duit. Hospital yang dulunya milik kita bersama kini apabila kita jatuh sakit kita pula kena bayar. Kita diberi ubat yang 'tidak bermutu' tetapi jika hendakkan ubat yang bermutu – sila bayar. Jika tidak ada duit maka jawabnya kita dapat rawatan lekeh atau tidak ada rawatan langsung.
Lihat pula berapa banyak jalan-jalan raya sedang dihalang dengan tol. Air dan api dinaikan harga saban tahun. Talipon terus melonjak sewanya. Untung, untung dan untung dijadikan akidah syarikat swasta ini.
Dahulu - ketika semua syarikat ini dimiliki oleh orang ramai – jika dapat untung – keuntungan ini akan dimasukkan ke dalam dana negara. Bila syarikat ini di swastakan bila ada untung maka untung ini masuk ke dalam poket tuan pemilik saham syarikat ini. Ini bezanya antara syarikat milik kerajaan dengan syarikat yang diswastakan.
Minggu lalu Najib Razak telah cuba melakukan rompakan di siang hari. Najib Razak sedang mula membuat jaringan kroni-kroni baru. Sime Darby adalah kroni pertama Najib Razak. Jika di selidik dan di halusi maka pasti akan kita ketemui bahawa Najib Razak dan kaum kerabatnya mungkin ada memiliki kepentingan dalam syarikat Sime Darby ini. Atau telah ada 'persetujuan' yang syarikat Sime Darby ini akan memperkukuhkan kedudukan Najib dari segi sokongan politik dan kewangan.
Sime Darby ingin merompak Institut Jantung Negara. Ini telah di persetujui oleh Najib Razak. Najib Razak sendiri membuat kenyataan - DIA TIDAK AKAN MENGHALANG NIAT SIME DARBY.
Lihat dengan jahat dan licik Najib Razak telah 'membocorkan' berita rancangan rompakan ini sesudah perlimen ditutup untuk bercuti satu bulan. Ini niat jahat.
Najib Razak tidak mahu projek rompakan IJN ini dibicangkan di parlimen. Pasti perancangan rompakan ini telah lama berjalan secara senyap-senyap. Secara sulit pasti ada 'deal' yang telah dibuat. Kenapa projek rompakan ini tidak diberitahu secara telus kepada wakil rakyat di parlimen? Kenapa dengan tiba-tiba Najib besetuju? Mana dia dasar ketelusan yang selalu di warwarkan oleh gerombolan United Malays National Organisation?
Semua rompakan penswastaan di buat dalam gelap. Hingga ke hari ini kita – orang ramai – masih belum dapat membaca perjanjian antara kerajaan dengan syarikat lebuh raya. Perjanjian syarikat ini telah dibuat dengan kerajaan. Ertinya perjanjian ini dibuat dengan kita semua. Kerajaan itu ialah orang ramai. Orang ramai ialah kita semua kerana kita yang melantik kerajaan. Kalau kita melantik kerajaan kenapa kita tidak boleh mengetahui apa yang di janjikan.
Justeru, dasar penswastaan ini wajib dihentikan. Dasar ini membawa mudarat kepada orang ramai. Tugas kerajaan bukan untuk mengkayakan kroni dan kaum kerabat. Tugas kerajaan yang berjiwa rakyat ialah mendahulukan kepentingan ramai dari kepentingan kroni dan anak bini. Tugas utama kerajaan ialah untuk memastikan rakyat terbanyak hidup selesa dengan pembahagian dan agihan ekonomi yang adil.
Rakyat wajib berwaspada dengan dasar penswastaan. Orang ramai perlu membuka mata dan berjaga-jaga kerana perompak-perompak harta orang ramai ini masih berkeliaran. Selagai mereka berkuasa rompakan harta rakyat akan berterusan. Untuk ini kita tidak ada pilihan – hentikan dasar ini dan mereka kita nyahkan dari tampok kuasa.