Posted on December 18, 2010 by pemudasarawak
ALOR SETAR – Sesiapa juga yang mempertikaikan usaha Kerajaan Negeri mendapatkan semula sepasang bunga emas dan bunga perak yang diberikan kepada Kerajaan Siam (Thailand) suatu ketika dahulu, boleh dianggap buta sejarah.
Exco Belia dan Sukan, Kesenian dan Warian, Kebudayaan, Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata, mereka dianggap demikian kerana tidak cuba untuk memahami tujuan Kerajaan Negeri mahu mengembalikan kegemilangan sejarah lalu sebagai produk pelancongan bagi negeri ini.
“Jika mereka ambil faham tujuan kita, sebagai rakyat negeri ini, saya tidak fikir ada sebab untuk mereka bantah melainkan jika mereka mempunyai agenda politik dan kepentingan diri untuk berbuat demikian,” katanya.
Jika mereka terus memandang serong hasrat murni itu, kata Dr Hamdan, ini bermakna mereka tidak tahu sejarah termasuk perkara sebenar di sebalik tujuan penghantaran ufti atau bunga emas oleh Kerajaan Kedah kepada Siam waktu itu.
“Eloklah mereka belajar dan memahami sejarah berkaitan isu ini sebelum buat kenyataan. Apa yang dibangkitkan adalah berdasarkan aspek sejarah dan tidak menyalahi undang-undang. Tambahan pula kita mengemukakan permohonan rasmi melalui Kementerian Luar,” katanya.
Dr Hamdan berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang yang menyifatkan tindakan meminta semula sepasang bunga emas dan perak daripada Kerajaan Thai sebagai tidak beretika memandangkan ia adalah pemberian hadiah.
Dr Hamdan berkata, isu sejarah dan politik tidak wajar dicampur aduk atau dipolitikkan, terutama oleh pemimpin politik yang mempunyai agenda peribadi.
“Saya tak pasti kenapa Pemuda Gerakan tidak bersetuju dalam hal ini, adakah kerana isu politik atau sejarah?” katanya.
Rabu lalu, Dr Hamdan berkata, Kerajaan Negeri meminta kerjasama Wisma Putra memohon sepasang bunga emas dan perak diserahkan semula kepada negeri-negeri yang pernah menghantar ufti ke Bangkok dan sepasang lagi daripada Great Britain.
Kerajaan Negeri turut mencadangkan Unesco memberi pengiktirafan bunga emas dan perak itu sebagai warisan bersama kedua-dua negara, khususnya Kedah dan Bangkok, selain mahu mengembalikan kegemilangan itu sebagai produk pelancongan negeri. [Sinar Harian]