Penganut Kristian seluruh negara terutama di Sarawak amat marah dengan Umno-Barisan Nasional dalam isu Alkitab dan akan menghukum mereka melalui peti undi pada pilihan raya negeri 16 April ini.
Calon Parti Keadilan Rakyat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Betong, Stanny Embat Pharoh ak Laja berkata, penganut Kristian Sarawak merasa terguris dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri merampas 35,000 naskah kitab Injil versi Bahasa Malaysia atau Alkitab di Pelabuhan Klang dan Kuching.
Tambah beliau, apa yang lebih menyakitkan hati mereka apabila KDN bertindak meletakkan cop "untuk kegunaan penganut Kristian sahaja" pada muka depan kitab suci agama mereka."Orang Kristian memang sampai sekarang sangat marah kepada Najib dan BN. Mereka mungkin tidak mahu berdemonstrasi dalam isu ini tapi mereka pendam rasa marah mereka di dalam hati.
"Saya yakin 16 April nanti BN akan diajar secukupnya kerana menghina agama Kristian dan penganut Kristian," kata Stanny kepada TV Selangor.
Menurut beliau, tidak ada sebab untuk kerajaan BN mengenakan sekatan ke atas Alkitab termasuk penggunaan kalimah Allah.
Tegas beliau lagi, BN gagal menyelesaikan isu Alkitab dengan baik malah konsep 1Malaysia Najib juga ternyata gagal sama sekali.
Difahamkan Alkitab ini menjadi isu yang begitu meruncing pada pilihanraya negeri sarawak, selain faktor Taib Mahmud yang menjadi ketakutan utama kepada Barisan Nasional.
Untuk meredakan desakan rakyat, Najib dikatakan akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin gereja di Sarawak hari ini.