Datuk Seri Najib Tun Razak tidak ‘gila’ untuk mengadakan pilihanraya umum segera jika ditakdirkan BN mengalami kehilangan banyak kerusi di Sarawak.
Perkembangan mutakhir menunjukkan BN hampir pasti, buat pertama kalinya, kehilangan majoriti dua pertiga di Bumi Kenyalang itu. Namun selagi peti undi belum di kira, Pakatan tidak boleh terlalu yakin hal tersebut berlaku kerana BN akan melakukan apa saja di saat terdesak.
Selepas keputusan mutlak bahawa BN kalah (macam di Perak) pun mereka sanggup lagi mencabuli demokrasi untuk terus berkuasa, apatah lagi di saat getir seperti ini. Selagi mereka ada kuasa, mereka akan buat apa saja.
Ditakdirkan BN mengalami keputusan yang teruk di Sarawak, maka tempoh untuk Najib mengadakan pilihanraya umum akan dipanjangkan lagi. Sekurang-kurangnya sehingga seluruh rakyat Malaysia agak melupakan kebangkitan rakyat Sarawak.
Pengalaman Tsunami politik 2008 tentu mengajar Najib. Kesan Tsunami agak memakan masa untuk ‘pulih’. Semua pilihanraya kecil yang terdekat dengan Mac 2008 berpihak kepada Pakatan Rakyat bahkan menunjukkan peningkatan undi. Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi BN pada PRU ke 12 pun mampu dirampas dengan majoriti lebih besar dari yang diperolehi BN.
Pasca Tsunami politik 2008, Sabah dan Sarawak dianggap ‘simpanan tetap’ BN. Jika pilihanraya kali ini Sarawak juga menjadi tempat tidak selamat bagi BN, maka tiada tempat lagi yang selamat bagi BN di negara ini. Kemenangan demi kemenangan yang dicatatkan dalam beberapa pilihanraya kecil akan dilupakan begitu saja. Ia tidak boleh lagi menjadi modal untuk dijaja oleh BN ke sana sini.
Maka secara teorinya PRU tidak akan diadakan pada tahun ini. Najib perlu mengambil masa untuk mengembeling kekuatan parti bagi meraih semula sokongan rakyat. Apabila BN ‘melambat-lambatkan permainan’ untuk mengumpul kekuatan, maka tempoh masa yang sama juga terhidang kepada Pakatan untuk membetulkan kesilapan.
Ada tiga isu besar yang dieksploit dan dimanipulasi oleh BN sehingga mereka berjaya menjauhkan sebahagian sokongan rakyat terhadap Pakatan, terutamanya orang-orang Melayu.
Pertama, ketidaksefahaman antara pemimpin-pemimpin Pakatan yang mereka cuba gambarkan. Percanggahan sikap dan tindakan beberapa pemimpin kerajaan di Selangor dijadikan rujukan kepada rakyat. Isu kandang babi di Kedah, isu arak dan judi dimanipulasi semaksimumnya oleh media-media talibarut BN.
Kedua, isu perpecahan dalaman parti KeADILan. Ia disensasikan secara besar-besaran sewaktu musim pemilihan parti itu tahun lalu. Tokoh-tokoh penting KeADILan melompat keluar parti secara bersiri, seorang demi seorang. Senarainya terlalu panjang. KeADILan, PAS dan DAP tinggal serumah. Isu dalaman KeADILan, sama ada ‘bikinan BN’ atau realiti; pastinya akan merosakkan imej Pakatan.
Ketiga, isu ‘DAP anti Melayu’. Agenda bertindak kerajaan negeri Pulau Pinang dijadikan sampel ‘bahan bukti’. Mereka juga cuba mengaitkan dengan isu-isu remeh kehadiran pemimpin bukan Islam ke masjid dan surau untuk memperbodohkan sebilangan orang Melayu yang ketinggalan dari arus perdana politik negara. Isu hasil manipulasi media-media BN, yang mereka lakukan secara bersungguh-sungguh sehingga berjaya membuahkan hasil. Rentetan dari momokan berterusan itu, Melayu dikhuatirkan akan kehilangan ketuanan Melayu jika membiarkan Pakatan berkuasa.
Saya menimbulkan semula ketiga-tiga isu tersebut bagi mengingatkan seluruh kepimpinan Pakatan bahawa, sementelahan ruang masa yang agak selesa yang akan ‘diberikan’ Najib untuk tidak mengadakan PRU umum dalam masa terdekat ini; maka gunakanlah sebaik-baiknya untuk memulihkan persepsi sebahagian rakyat yang telah berjaya dipesongkan oleh BN itu.
Rakyat mesti diyakinkan bahawa persefahaman dan kerjasama antara pemimpin Pakatan lebih mantap, DAP tidak anti Melayu, hak Melayu tidak terhakis dengan penguasaan Pakatan dan KeADILan sudah mantap dan tidak berpecah lagi.
Semua itu boleh diperbetulkan dengan penjelasan berterusan, di samping kepimpinan parti komponen Pakatan lebih berhati-hati dan jangan buat hal. Keutamaan mesti diberikan kepada pemulihan persepsi rakyat terhadap itu tersebut.
Adapun isu-isu lain seperti kononnya kegagalan menunaikan janji, kelemahan pentadbiran dan penyelewengan, itu bukan persoalan besar; kerana isu tersebut lumrah dalam mana-mana pemerintahan yang ada parti memerintah dan pembangkang. Mereka menyerang kita, kita menyerang mereka. Bahkan isu Anwar sekalipun (dalam realiti politik di Malaysia) ia sudah menjadi isu picisan. Serangan peribadi terhadap Anwar sudah ke tahap tepu.
Isu adalah alat mengubah persepsi. Sama ada kecil atau besar ia tetap perlu diberi penjelasan tetapi jika kita memilih keutamaan untuk melunaskan isu yang merebakkan ‘kanser’ dalam pemikiran masyarakat, khususnya orang Melayu; maka berilah tumpuan kepada tiga isu besar tadi.
Tanpa peralihan sokongan Melayu yang lebih besar terhadap Pakatan, maka hasrat ke Putrajaya boleh terbantut sekalipun Sarawak memberi semangat baru kebangkitan rakyat.