SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengutuk Serangan Penafian Perkhidmatan (DDOS) terhadap portal Sarawak Report dan laman berita MalaysiaKini, menyebabkan kedua-duanya tidak dapat diakses sejak beberapa hari lalu.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan tindakan pengecut itu mencerminkan kegelisahan Barisan Nasional (BN) terhadap kemungkinan perubahan besar keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 16 April ini.
“Serangan siber terhadap dua laman yang menyiar kempen Pakatan Rakyat (PR) itu membuktikan pihak yang bersimpati dengan BN sangat takut terhadap penyebaran kebenaran yang mempercepat kejatuhan Taib Mahmud.
“Situasi di Sarawak sama seperti gelombang pemberontakan yang dicetuskan menerusi internet yang membangkitkan gerakan rakyat besar-besaran di beberapa negara Timur Tengah,” katanya pada kenyataan media, hari ini.
Beliau turut kecewa kerana tiada siasatan dan tindakan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam menangani serangan siber itu.
“Kerajaan Selangor kecewa kerana tiadanya tindakan SKMM dan polis. SKMM sepatutnya neutral dan menyiasat dalang serangan siber supaya prinsip demokrasi, tidak terjejas dan diperlekeh negara asing,” ujarnya.
Sebaliknya, Khalid berkata, kerajaan Selangor komited melaksanakan prinsip ketelusan dan kebebasan maklumat dengan meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat di sidang Dewan Undangan Negeri, baru-baru ini.
“Ia mencatat sejarah sebagai negeri pertama mempunyai peruntukkan sedemikian. Kami percaya, setiap warganegara bebas menyatakan pendapat secara aman dan berhak mendapat maklumat bebas dan adil.
“Kerajaan Pakatan Rakyat menekankan integriti, kebebasan dan tata kelola yang menjadi ciri-ciri penting pentadbiran di Selangor dan bakal di Sarawak selepas ini,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=11431