KUCHING 15 April : Angkatan Muda Keadilan merancang untuk membuat tangkapan awam ke atas mana-mana pihak yang meragukan demi memastikan proses pilihan raya tidak tercemar dengan pengundi hantu, kata ketuanya Shamsul Iskandar Md Akin.
Beliau percaya akan berlaku penipuan dalam pilihan raya memandangkan beberapa pakar pantau pilihan raya sehingga petang tadi masih dihalang masuk ke sini oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Pemantau-pemantua bebas pilihanraya terbabit antaranya S.Ambiga, Haris Ibrahim, Wong Chin Huat dan Steven Ng.
"Besok saya nak minta rakan-rakan semua (AMK) melakukan tangkapan awam (sivil arrest) seperti mana yang dibenarkan di bawah kanun keseksaan,"
"Mana (pengundi-pengundi) yang cuba membuat cubaan menipu (undi) kene ditangkap dan diambil tindakan dengan laporkan di bilik gerakan PKR dan buat laporan polis," ujarnya pada satu kenyataan media di Dun Satok, Kuching di sini.
Beliau turut memberi amaran kepada pihak berwajib, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya supaya jangan sesekali bersekongkol menipu proses pembuangan undi yang dijadualkan bermula pada 8 pagi esok dan berakhir pada jam 5 petang hari yang sama.
Amaran itu disuarakannya setelah SPR yang berjanji bahawa tempoh pembuangan undi pos adalah selama dua hari sebelum ini, tiba-tiba dilanjutkan pada hari esok.
"Saya ingin memberi amaran kepada SPR supaya jangan sesekali melakukan penipuan...contohnya, undi Pos disambung satu hari lagi (sedangkan) SPR berjanji dua hari sahaja, ini nak laksana satu hari lagi (iaitu) esok," tegasnya.