KUCHING: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, KEADILAN kesal dengan kehadiran anggota Polis Cawangan Khas yang berada di beberapa pusat pengundian di Sarawak, bertujuan bagi menakutkan pengundi.
Rafizi yang kini berada di Bilik Gerakan Utama KEADILAN di sini berkata, beliau mendapat maklumat tersebut dari petugas KEADILAN yang mengesan kehadiran anggota SB di N.28 Engkilili, dalam kawasan parlimen Lubok Hantu.
“Kita sedang mengenalpasti beberapa tempat tetapi yang terbukti terdapat Special Branch di DUN Engkilili apabila mereka dilihat berada di dalam pusat pengundian,” katanya.
Menurut Rafizi, beliau percaya tindakan itu dilakukan bertujuan untuk menakut-nakutkan pengundi, terutama di kawasan pedalaman supaya mengundi Barisan Nasional.
“Saya merasa tujuan diletakkan SB di kawasan-kawasan dayak ini adalah untuk menakut-nakutkan pengundi. Ini kerana mereka kenal dengan SB-SB tempatan,” katanya.
“SB tidak boleh dibenarkan berada di pusat pengundian kecuali mereka yang ada kaitan dengan SPR,” tegas beliau.