Grab the widget  IWeb Gator

Thursday, April 14, 2011

Hata Wahari Didapati Bersalah Burukkan Utusan


KUALA LUMPUR 14 APRIL : Panel siasatan dalaman Utusan Melayu (M) Bhd mendapati wartawannya Hata Wahari bersalah atas tuduhan memburuk-burukkan nama syarikat itu melalui laporan yang disiarkan beberapa media.

Hata yang merupakan wartawan kanan di akhbar Utusan Malaysia berkata, panel berkenaan akan mengemukakan syor kepada pengurusan Utusan Melayu bagi mengambil tindakan ke atasnya.

"Mereka (panel) akan membuat laporan kepada pengurusan tertinggi (Utusan) dan pengurusan akan membuat keputusan dalam dua minggu. Akhir bulan ini pengurusan akan memuktamadkan hukuman kepada saya," kata Hata kepada TV Selangor hari ini.

Keputusan itu dibaca oleh pengerusi panel siasatan berkenaan, Mohd Basir Abdul Rahim, yang juga Pengurus Pemasaran Utusan Melayu hari ini.

Hata yang juga presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) sebelum ini sering mengutarakan pandangan lantang berhubung isu pemilikan akhbar Utusan Malaysia, kejatuhan edaran akhbar dan ‘kelemahan’ laporan akhbar berkenaan.

Hata telah digantung kerja sejak 11 Januari lalu oleh pengurusan Utusan.

Namun ujar Hata, beliau tidak akan mengalah jika pihak pengurusan tertinggi memecatnya yang lebih 15 tahun berkhidmat dengan Utusan.

Beliau juga menyerahkan kepada Pendaftar Kesatuan Sekerja bagi menilai kedudukannya sebagai Presiden NUJ jika dipecat.

"(Kalau dipecat) Kita akan bawa perkara ini kepada Jabatan Hubungan Perusahaan dan memberi laporan terhadap Inkuiri Dalaman ini setelah keputusan dibuat.
"Dalam mesyuarat Exco (NUJ) lepas, pada 6 April kita buat keputusan kalau saya dibuang kerja, kita rujuk perkara ini kepada Pendaftar Kesatuan Sekerja. Dan Pendaftar akan beri nasihat keputusan kepada NUJ,"katanya.

Bagaimanapun Hata bersikap optimistik walaupun berhadapan dengan kemungkinan dibuang kerja dan akan menampung hidup dengan berniaga makanan sementara menunggu keputusan Mahkamah jika beliau dibuang kerja.

"Kalau dibuang kerja oleh Utusan saya tidak akan minta kerja di mana-mana organisasi media kerana saya akan mohon untuk diambil semula bekerja oleh Utusan bila kes ini dirujuk ke Mahkamah Perusahaan," terang Hata.

"Untuk menampung hidup saya, saya akan membuka kedai makan di Bandar Kinrara cuma saya berharap diberi peluang sebagai penulis tamu atau penulis jemputan. Yang pasti saya akan aktif di blog saya," tambahnya lagi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular