Grab the widget  IWeb Gator

Tuesday, December 28, 2010

Polis pukul sebelum lari

Kes Aminulrasyid : Saksi Utama Mendakwa Beliau Dipukul

SHAH ALAM 28 Dis. : Mahkamah Sesyen di sini semalam diberitahu bahawa saksi utama kes itu, Muhammad Azamuddin Omar mendakwa beliau dipukul sebelum melarikan diri daripada anggota polis selepas mangsa Aminulrasyid Amzah ditemui mati di dalam kereta Proton Iswara putih yang dipandunya pada 26 April lepas.

Pegawai Penyiasat kes itu, ASP Abdul Halim Ismail berkata beliau mendapat tahu bahawa Azamuddin membuat laporan polis kerana dipukul oleh anggota polis pada 27 April lepas.


Beliau berkata Azamuddin yang hanya cakar-calar di tubuh badannya akibat dakwaan itu, dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang olehnya pada pukul 2.45 pagi, 27 April lepas bagi membuat pemeriksaan perubatan.

Abdul Halim berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan Koperal Jenain Subi, 48 yang didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lepas.

Jenain didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Aminulrasyid dilaporkan meninggal dunia kerana luka tembakan di kepala.
Sebelum ditemui mati, dua kereta peronda polis telah mengejar dan melepaskan tembakan ke arah kereta yang dipandu remaja itu yang turut dinaiki Azamuddin.

Semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar sama ada beliau nampak sebarang kecederaan pada fizikal Azamuddin, Abdul Halim berkata beliau tidak nampak dan cuma ada kesan calar berdasarkan laporan perubatan.

Abdul Halim turut memberitahu mahkamah sebelum beliau membawa Azamuddin ke HTAR, beliau telah mengambil keterangan daripada remaja itu pada pukul 1 pagi 27 April.

Azamuddin memberitahu Abdul Halim mengenai insiden itu dan beliau telah menyimpan baju yang dipakainya yang terkena darah Aminulrasyid pada malam kejadian di rumah rakannya, Zubir Salleh.

Abdul Halim berkata beliau bersama lima anggota polis dengan Azamuddin kemudian pergi ke rumah Zubir di Jalan Gedombak Seksyen 11 di sini dan menemui pakaian itu, baju dan seluar di dalam beg plastik, berhampiran longkang kira-kira 150 meter dari rumah Zubir dan telah dibasuh oleh Azamuddin sebelum disembunyikan.

Semasa proseding hari ini, Abdul Halim mengesahkan seluar pendek berwarna biru muda dengan corak bunga raya dan kemeja-t berwarna merah muda yang ditunjukkan kepadanya oleh pihak pendakwaan sebagai pakaian yang ditemui pada27 April lepas.

Abdul Halim juga memberitahu mahkamah beliau yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) telah diarahkan oleh Pegawai Turus D9 Selangor SUP Dennis Leong Soon Kuai supaya mengambil alih penyiasatan kes itu daripada Pegawai Penyiasat, ASP Ahmad Fauzi Mohamed Zin pada pukul 12 tengah hari 26 April lepas.

Sementara itu semasa disoal balas oleh peguam bela Jenain, Salim Bashir, Ahmad Fauzi berkata beliau ada melihat sebilah parang di dalam kereta Iswara yang dipandu oleh Aminulrasyid dan foto parang itu telah dirakamkan oleh jurugambar Lans Korporal Ahmad Zamzami Abdul Wahab semasa kehadiran beliau.

Bagaimanapun Ahmad Fauzi berkata beliau tidak melakukan siasatan bagi mengetahui siapa pemilik parang itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Latifah Mohd Tahar disambung hari ini.
BERNAMA 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular