KUALA LUMPUR, 1 Jan — Dekad pertama alaf baru berlalu dengan sekelip mata tetapi meninggalkan pelbagai pengalaman kepada negara, organisasi dan orang perseorangan dalam setiap bidang — politik, ekonomi dan sosial.
The Malaysia Insider menemu bual sejumlah mereka yang berkongsi nukilan masing-masing. Berikut ialah pandangan ahli-ahli politik.
Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, anggota MT Umno dan Ahli Parlimen Temerloh:
“Dalam 10 tahun lalu saya memperjuangkan dua perkara pokok, yang pertama untuk memenuhi tiga permintaan asas orang muda iaitu orang muda mahu suaranya didengar, peranannya diiktiraf dan isu-isunya ditangani dengan cara berorientasi belia. “Saya lakukannya melalui gerakan belia (MBM) dan kini politik, juga melalui penulisan.
Perkara pokok kedua ia mewujud budaya ‘politik baru’ yang terdiri daripada politik integriti dan kerangka urur tadbir baru. “Untuk 10 tahun akan datang, dua perkara pokok itu masih perlu diteruskan. Bagi permintaan orang muda, perlu ada Dasar Pembangunan Belia Negara yang baru. “Bagi politik baru perlu ada inovasi demokrasi untuk tingkatkan penglibatan rakyat terutama belia dalam politik seperti pendaftaran pemilih secara automatik, turunkan umur layak mengundi ke 18 tahun, lantik wakil belia sebagai senator dan ahli PBT (Pihak Berkuasa Tempatan), benarkan mahasiswa jadi ahli politik. “Ia dilakukan dengan pelbagai pendekatan politik, penulisan, interaksi dengan orang muda.
Fuziah Salleh, Naib Presiden PKR baru dipilih dan Ahli Parlimen Kuantan:
“Kalau dari segi pencapaian parti memang banyak perubahan termasuk penambahan wakil rakyat, cabang dan juga pemantapan parti. “Jadi dengan pencapaian yang kita capai selama tempoh ini sudah membuktikan bahawa kita memang berubah. Walaupun mungkin ada kelemahan tetapi ia adalah satu perjananan ke arah pemantapan parti. “Bagaimanapun pencapaian dari awal memang banyak. Saya harap dalam dekad yang akan datang parti dapat memantapkan parti sama ada ideologi ataupun budaya politik baru itu harus diberi penekanan. Dari segi sistem kita sudah lakukan, sekarang adalah fokus kepada usaha pemantapan parti pula.
Senator Datuk G. Palanivel, Presiden MIC baru dan timbalan menteri:
“Dalam tempoh 10 tahun ini saya lihat MIC masih teguh, masih kukuh kerana parti ini adalah parti ibu kepada masyarakat India di negara ini. “Walaupun pada 2008 MIC dan Barisan Nasional (BN) sedikit terjejas tapi kita sekarang menuju ke arah penyelarasan untuk berubah. Kita akan tingkat usaha supaya masyarakat India kembali kepada kita. “Sempena menyambut dekad yang akan datang ini saya akan berusaha untuk menyatukan masyarakat India, itu tujuan utama saya. “Saya juga akan mantapkan perpaduan antara masyarakat India dan juga masyarakat lain.
Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS:
“Dalam tempoh ini saya berusaha keras untuk membawa PAS ke persada politik negara dan mampu untuk mendepani cabaran yang semakin mencabar dan kritikal ini. “Cabaran PAS dalam era ini memerlukan satu pendekatan yang lebih menepati kehendak politik negara yang semakin mencabar. Paling mencabar adalah untuk meletakkan PAS dalam politik negara. “Bagaimanapun saya optimis dan yakin kita boleh menampilkan gaya kepimpinan yang boleh memberikan keyakinan kepada rakyat untuk memilih PAS bersama Pakatan Rakyat sebagai alternatif kepada Barisan Nasional (BN).
Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi Putera Umno:
“Bagi saya Umno adalah sebuah parti keramat dan sudah tentu dalam tempoh ini ada jatuh dan bangun dalam mana-mana institusi, namun Umno dalam menghadapi cabaran semasa ia tetap kukuh dan utuh. “Saya percaya dengan perubahan yang dilakukan termasuk perubahan barisan kepimpinan, Umno akan tetap menjadi sebuah parti yang relevan untuk generasi baru, generasi lama, di kawasan bandar dan juga luar bandar. “Saya juga percaya Umno yang banyak berjasa kepada negara akan terus kukuh pada masa akan datang.
Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bekas menteri menteri besar dan menteri pusat, kini Adun Bagan Pinang:
“Bagi saya dalam tempoh sedekad ini biasa sahaja, tiada yang pelik atau unik. Soal kembali berpolitik dan berkahwin semula juga adalah perkara biasa. “Cuma apa yang saya terasa pelik apabila ada orang yang perjuangannya berubaha-ubah, ini yang saya pelik. Tapi akhirnya kita akan mengenali orang itu. “Saya tidak ada sasaran peribadi untuk masa depan, apa yang saya sasarkan adalah Umno-BN bertambah kuat kerana saya percaya parti ini adalah yang terbaik untuk rakyat. “Saya akan bagi sumbangan untuk memperkuatkan parti, setelah berkecimpung dalam parti ini saya percaya ia parti terbaik.
Datuk Ibrahim Ali, Presiden Perkasa dan Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas:
“Pencapaian saya dalam tempoh 10 tahun ini biasa sahaja... saya gembira dengan cara hidup saya seperti rakyat dan terus dapat berkhidmat kepada rakyat. “Alhamdulillah, tiada persepsi buruk rasuah dan lain-lain terhadap diri saya sejak aktif berpolitik 30 tahun lalu. “Untuk 10 tahun akan datang saya harap sama seperti 10 tahun berlalu. Saya tidak ada apa-apa cita-cita peribadi, hanya terus berjuang sebagai kalifah Allah s.w.t di muka bumi ini.
Mazlan Aliman, Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan dan AJK PAS pusat:
“Sebagai sebuah NGO yang perjuangkan hak warga Felda sudah tentu pencapaian dalam tempoh ini sangat mencabar terutamanya pada 2010 yang mana kita terima pelbagai cabaran untuk membantu mereka. “Walaupun hubungan yang agak dingin antara Anak dan pentadbiran Felda tapi respon yang diberikan Felda sendiri dan kerajaan membolehkan kita mendapat maklumbalas yang positif. “Sepuluh tahun yang akan datang saya jangkakan cabaran yang lebih hebat kerana kita juga akan memperjuangkan nasib generasi kedua dan ketiga Felda, saya yakin apa yang dikehendaki dan keperluan mereka akan menjadi lebih baik. “Keyakinan saya optimis, pencapaian yang Anak peroleh selama ini adalah sesuatu yang amat membanggakan.
Datuk Seri Nizar Jamaluddin, bekas menteri besar Perak dan Ahli Parlimen Bukit Gantang:
“Satu dekad yang lalu adalah era yang cukup mencabar bagi diri saya yang mana saya yang sebelum itu tidak pernah terlibat dalam politik menjadi ahli politik. “Dulu saya adalah ahli perniagaan tapi bila diminta bertanding baru saya terlibat dalam politik. Saya terlibat dalam politik bersama PAS sejak 2000. “Ia adalah satu cabaran yang mengubah hidup saya dari seorang ahli perniagaan kepada politik. “Saya mula bertanding atas tiket PAS pada 2004 dan ketika itu saya kalah. Saya sekali lagi diminta bertanding pada 2008 dan kemudian menang. Kemudian ada lagi satu pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang yang mana saya menang juga. “Pada 2008 ia adalah satu cabaran kepada saya untuk mempamerkan bahawa PAS perjuangkan Islam untuk semua. “Pada tahun sama perkara tidak diduga berlaku apabila saya dipilih jadi Menteri Besar selepas pilihan raya 2008 tetapi kemudian dirampas semula, ini adalah perkara yang tidak boleh dilupakan. “Cabaran bagi saya pada dekad yang akan datang adalah untuk mendepani satu bentuk kerajaan sebagai ekoran apa yang berlaku dalam dunia maju sekarang. “Saya melihat ia merupakan satu cabaran yang mana kita harus ke depan sebagai sebuah parti kedua selepas BN. “Jadi peranan saya, PAS dan Pakatan Rakyat pada masa depan adalah untuk mempamerkannya sebagai sebuah parti yang kuat, itu masa depan.
G Manimaran dan Syed Mu’az Syed Putra - Malaysian Insider