Grab the widget  IWeb Gator

Thursday, December 30, 2010

Isu gereja: Pakatan mahu Najib minta maaf, nyatakan pendirian

KUALA LUMPUR, 30 Dis — Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat hari ini menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memikul tanggungjawab sepenuhnya dan meminta maaf secara terbuka berhubung sikap “tidak senang” akibat tindakan pembantunya ketika majlis sambutan Krismas anjuran Ketua Biskop Katolik, Sabtu lalu.

Semalam, The Malaysian Insider melaporkan pegawai-pegawai Najib didakwa mengarahkan kepimpinan gereja mengalih patung salib dan simbol-simbol lain daripada lokasi majlis itu, yang diadakan di Bukit Nanas di sini sebelum ketibaan Najib.
Selain itu, him dan doa juga dilarang ketika kehadiran Najib.
Sumber-sumber mendedahkan bahawa arahan itu dikeluarkan tanpa pengetahuan Perdana Menteri.
Pemimpin-pemimpin DAP, PAS dan PKR menggesa Najib agar bertindak segera dan menjelaskan pendirian beliau mengenai arahan itu atas alasan sebarang kelewatan dikhuatiri boleh menjejaskan hubungan antara kaum yang rapuh.
Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad (gambar) menggambarkan tindakan pembantu-pembantu Najib itu sebagai sikap “tidak boleh bertolak ansur”, malah mencerminkan sikap kerajaan pusat Barisan Nasional (BN).
“Penganut Kristian ada hak untuk menyambut perayaan agama mereka sebagaimana yang mereka mahukan. Saya tidak melihat mengapa orang-orang Najib harus pergi dan memberikan arahan supaya mengalihkan ini atau itu,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
“Ia seperti anda pergi ke Batu Caves dan meminta penganut agama Hindu mengalihkan patung dewa mereka,” kata beliau.
“Itu masalahnya dengan Umno-BN selama ini. Mereka akan melakukan perkara-perkara yang tidak perlu, yang tidak boleh diterima,” kata ahli biro politik PAS ini, yang pernah dinamakan sebagai “Khalid Gereja” kerana sikap bersimpati beliau kepada bukan Islam.
Jelas Khalid, umat Islam yang berfikiran waras tahu bahawa mereka bukan menyambutnya tetapi hanya menunjukkan rasa hormat dan solidariti kepada penganut-penganut agama lain pada festival-festival yang diadakan.
Khalid menambah, Najib dengan mudah boleh mengelakkan situasi itu jika beliau memberikan arahan yang jelas kepada kakitangannya mengenai dasar peribadinya berkaitan lawatan ke majlis-majlis agama.
“Jika beliau fikir bahawa beliau akan rasa tidak selesa dengan salib-salib yang ada (pada majlis sambutan), maka beliau tidak sepatutnya tidak pergi ke majlis itu sama sekali.
“Sebaliknya, jika beliau tahu bahawa sebagai seorang Muslim, kepercayaannya tidak akan dikompromi… beliau tidak akan memberitahu orang-orangnya (agar mengalih kelengkapan itu),” kata Khalid lagi.
Oleh itu kata beliau, cara logik untuk menyelesaikan situasi sekarang ialah meminta maaf bagi pihak pembantu-pembantunya dan menyelesaikan isu berkenaan.
Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok menuduh perdana menteri cuba untuk mengongkong kebebasan agama dan menuntut beliau memikul tanggungjawab sepenuhnya serta memohon maaf.
Katanya, Najib harus memohon maaf (kepada) Persekutuan Kristian Malaysia kerana tindakan pegawai-pegawai yang cuba menidakkan amalan penganut Kristian pada majlis sambutan Hari Natal.
Kok yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor menegaskan, Najib sudah semestinya memberikan arahan sedemikian, tetapi kini menjauhkan diri daripada tindakan pegawai-pegawainya bagi menjaga air muka beliau.
“Perintah sedemikian daripada Pejabat Perdana Menteri menunjukkan sejauh mana tidak ikhlasnya dan tidak sopan Najib sebagai tetamu pada majlis sambutan di rumah Biskop Gereja Katolik,” katanya.
Kok juga berkata, beliau ragu-ragu yang Najib tidak sedar pejabatnya ada mengeluarkan perintah sedemikian.
Beliau yang juga seorang penganut Kristian mengingatkan Najib dan Pejabat Perdana Menteri bahawa sambutan Krismas mempunyai makna yang lebih mendalam selain Santa Claus dan salji.
“Makna yang mendalam ini perlu dihormati,” kata beliau lagi.
“Penganut agama Kristian ada hak untuk tersinggung,” kata Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad kepada The Malaysian Insider.
Pandangan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Seri Setia ini seiring komen Khalid dan Kok sambil mengecam tindakan tidak berhati-hati Pejabat Perdana Menteri ini.
Kata beliau, syarat-syarat yang dikenakan ke atas Gereja Katolik menunjukkan sikap Umno dan BN yang mahu terus meletakkan negara ini berpecah dalam soal agama.
“Di Malaysia, disebabkan Umno dan BN, mereka (umat Islam) tidak banyak tahu. Itu mencetuskan skizofrenia dan masalah ini wujud di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam,” kata Nik Nazmi.
Katanya, umat Islam di tempat-tempat lain tidak bimbang bahawa akidah mereka akan dikompromi jika mereka menyertai majlis keramaian penganut-penganut lain.
Katanya, beliau mahu Perdana Menteri perlu tampil bersih dan berjanji situasi itu tidak akan diulangi.
Sambil mendakwa keadaan itu boleh menjadi serius dalam jangka panjang, kata Nik Nazmi, Najib selaku ketua mereka harus bertanggungjawab sepenuhnya.
Justeru kata beliau, hubungan antara agama yang agak tipis kemungkinan tidak boleh dikawal melainkan Najib mengambil tindakan segera untuk menanganinya.
Malaysia berhadapan dengan siri serangan ke atas rumah-rumah ibadat awal Januari lalu ekoran keputusan mahkamah berkaitan dengan penggunaan kalimah “Allah” oleh akhbar Katolik.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular