Grab the widget  IWeb Gator

Friday, December 31, 2010

SUK N. SELANGOR - DARI SUDUT UNDANG-UNDANG

 
Oleh Suara Keadilan 
 
Merujuk kepada kenyataan yang dibuat kepada media oleh Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor, Dato’ Mohamad Munir Bani berkenaan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (seperti laporan Berita Harian, 29 Disember 2010, m/s 2). 

Saya sebagai Ahli Dewan Negeri yang terlibat secara lansung dalam sebarang bentuk pindaan undang undang digamit untuk menyatakan bahawa, apa yang berlaku dan bagaimana isu tersebut dimainkan di media seolah-olah ada agenda jahat untuk melaga-lagakan Kerajaan Negeri dengan pihak Istana Selangor. Sebagai rakyat DYMM Sultan Selangor yang setia, saya memperakui bahawa kuasa eksekutif boleh dijalankan oleh DYMM Sultan Selangor atau Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMKN) atau mana-mana ahli MMKN yang diberikuasa oleh MMKN sebagaimana dinyatakan dalam Fasal 50, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Di bawah Fasal 55 (1), Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, baginda DYMM Sultan Selangor hendaklah menjalankan fungsi baginda mengikut nasihat MMKN atau mana-mana ahli MMKN yang bertindak di bawah kuasa am MMKN, kecuali diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan Persekutuan atau Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959. Ini adalah selaras dengan kedudukan baginda sebagai Raja Berperlembagaan.
Kuasa budi bicara baginda adalah sepertimana yang dinyatakan dalam Fasal 55 (2) (a) – (g) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, dan mana-mana lain peruntukan yang memberikan kuasa budi bicara kepada baginda oleh Perlembagaan Persekutuan atau Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Setelah menyemak Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, saya dapati pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagaimana yang diperuntukkan oleh Fasal 52 (1), hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan. Fasal tersebut tidak menyatakan perlunya untuk mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor.
Tetapi berdasarkan laporan Berita Harian tersebut, Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor telah menyatakan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor perlu disembahmaklum dan mendapat perkenan baginda oleh kerana baginda adalah kuasa eksekutif di Negeri Selangor (sebagaimana yang dinyatakan dalam Fasal 50).

Ini jelas sekali bahawa kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan berkenaan yang dinyatakan dalam Fasal 52 (1) telah dibaca sekali dengan Fasal 50 yang memberikan kuasa eksekutif kepada baginda.

Persoalannya, mengapa Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor tersebut tidak membaca Fasal 50 dan 52 (1) tersebut bersekali dengan Fasal 55 (1) yang mengkehendaki baginda DYMM Sultan Selangor bertindak mengikut nasihat MMKN dalam menjalankan mana-mana fungsi baginda?

Perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh hendaklah bukan sahaja dibaca secara tersurat (literal) tetapi juga hendaklah mengikut konvensyen (adat dan adab perlembagaan). Konvensyen adalah sesuatu yang tidak bertulis tetapi menjadi amalan dan ianya dianggap “daging yang membaluti kerangka perlembagaan” (the flesh that covers the bare bones of the constitution).
Ia adalah satu kiasan yang mengibaratkan perlembagaan sebagai satu rangka bernyawa yang hanya lengkap dan berfungsi dengan sempurna sekiranya ianya dibaluti oleh tubuh. Bolehkah satu benda bernyawa berfungsi dengan rangka sahaja tanpa daging tubuhnya?

Oleh itu, saya selaku salah seorang Ahli Dewan Negeri Selangor menegaskan bahawa:

Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor dan/atau mantan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor bukanlah pihak berkuasa (authority) yang selayaknya menafsir Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor mengikut tafsiran sendiri;

baginda DYMM Sultan Selangor selaku Raja Berperlembagaan hendaklah mendapat nasihat dan bertindak mengikut nasihat MMKN dalam menjalankan fungsi baginda seperti yang dinyatakan dalam peruntukan Fasal 55 (1) dan (1A), Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959;

pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan hendaklah bukan sahaja menyembahmaklum dan mendapat perkenan baginda DYMM Sultan Selangor tetapi juga mengambilkira bahawa baginda adalah Raja Berperlembagaan yang hendaklah bertindak mengikut nasihat MMKN yang lazimnya diwakili oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor; dan

pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor bukanlah termasuk dalam kuasa budi bicara baginda DYMM Sultan Selangor yang dinyatakan oleh Fasal 55 (2) yang membolehkan baginda bertindak tanpa merujuk dahulu kepada dan mendapat nasihat dari MMKN yang sekian lamanya diwakili oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor.

Sekiranya perkara ini telah dijalankan mengikut peruntukan dan konvensyen (adat dan adab) perlembagaan dengan melibatkan DYMM Sultan Selangor selaku Ketua Negeri, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor selaku Ketua Kerajaan Negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan selaku pihak yang dipertanggungjawabkan membuat pelantikan, saya percaya maka sudah tentu tidak timbul isu berkenaan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru.
Demi menjaga keharmonian dan keberlansungan pentadbiran Negeri Selangor yang tercinta ini, harapan saya janganlah mana-mana institusi yang sewajarnya, dibelakangi dalam perkara berkaitan pelantikan jawatan utama Kerajaan Negeri Selangor. Apakah boleh pula sekiranya jawatan Ketua Setiausaha Negara dilantik oleh SPB Yang di-Pertuan Agong tanpa merujuk dahulu kepada YAB Perdana Menteri?

Jika ada pihak yang hanya melihat peruntukan perlembagaan atau undang-undang tubuh secara tersurat sahaja tanpa mengambilkira konvensyen, pastinya SPB Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytihar darurat tanpa perlu mendapat nasihat dari Jemaah Menteri yang diketuai oleh YAB Perdana Menteri. Ini peruntukan yang tersurat dalam Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan.
Namun hakikatnya, dan mahkamah juga telah menyatakan bahawa, mengikut konvensyen, SPB Yang di-Pertuan Agong tidak boleh mengisytihar darurat tanpa dinasihati oleh YAB Perdana Menteri yang mewakili Jemaah Menteri.
Mengapa diperingkat persekutuan SPB Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat YAB Perdana Menteri dalam perkara yang secara tersurat tidak pula menyebut baginda perlu mendapat nasihat YAB Perdana Menteri tetapi di Negeri Selangor, seolah-olah DYMM Sultan Selangor boleh bertindak tanpa mendapat nasihat YAB Dato’ Menteri Besar hanya dengan alasan bahawa peruntukan undang-undang tubuh tidak menyatakan secara jelas baginda perlu merujuk kepada YAB Dato’ Menteri Besar? Adakah SPB Yang DiPertuan Agong sahaja Raja Berperlembagaan di dalam Negara ini?
Ini adalah jelas satu tindakan yang berpilih dan tidak sama-rata. Gambaran yang terpampang kepada rakyat adalah dua layanan yang berbeza; satu untuk Pakatan Rakyat dan satu untuk Barisan Nasional.

Saya mengajak semua pihak untuk mengingati episod memalukan di Negeri Perak, berkenaan tindakan menggantung ADUN Bebas pro-BN oleh Speaker Perak telah dicabar di mahkamah, tetapi dalam kes penggantungan ahli parlimen dari Pakatan Rakyat seperti Dato’ Sri Anwar Ibrahim, menteri berhujah bahawa kuasa Speaker Dewan Rakyat tidak boleh dicabar di mahkamah.
Begitu juga dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang lain. Mengikut amalan dan konvensyen, ianya akan dirujuk dan dibincangkan antara Ketua Negeri dan Ketua Kerajaan. Tetapi, apabila Negeri Selangor yang diperintah Pakatan Rakyat, amalan dan konvensyen ini tidak dibuat. Saya yakin dan percaya rakyat Selangor mahu YAB Dato’ Menteri Besarnya dihormati oleh semua pihak termasuk pihak istana. Rakyat akan menolak sebarang tindakan “beraja di mata, bersultan di hati” oleh mana-mana pihak yang bertindak sewenang-wenangnya, tidak kira sama ada oleh raja yang berjiwa rakyat atau rakyat yang berjiwa raja.

Janganlah kerana hendak menegakkan benang yang basah, institusi negeri yang dihormati rakyat dijadikan perkakas oleh mana-mana pihak berkepentingan. Saya meneliti juga kenyataan Setiausaha Sulit tersebut yang menyatakan baginda DYMM Sultan Selangor seorang sultan yang tegas dan tidak berganjak dari keputusan yang telah dibuat. Bagaimana sekiranya keputusan yang dibuat atau cara keputusan itu dibuat adalah salah? Adakah baginda masih tidak akan berganjak? Harapan saya supaya ketegasan tidak dikelirukan dengan ego.
Dalam sejah telah terbukti, apabila rakyat bangkit menentang Raja, biarpun beribu tahun kebangkitan itu berlansung akhirnya kebenaran akan menghenyak ketidakadilan. Rakyat akan menang dalam peperangan menentang ketidakadilan! Didoakan agar ia tidak berlaku di Selangor.
 
Sumber:  wfauzdin 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular