(Berikutan PRK Kerdau yang baru selesai, disiarkan satu artikel oleh penulis yang pernah disiarkan oleh sebuah akhbar beberapa tahun dulu. Artikel ini hanyalah untuk kenang-kenangan).
Anda berhajat untuk merasai suasana berada di sebuah bandar pada tahun 40-an? Atau ada produser ingin membuat filem berlatar belakangkan kan tahun-tahun 40-an? Jika begitu datanglah ke bandar Kerdau yang terletak kira-kira 15 kilometer dari sini atau 6 kilometer dari susur keluar Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
Pernah diberi jolokan sebagai bandar koboi, Kerdau menjadi lambang aktiviti kehidupan di tanah Melayu sebelum merdeka. Deretan kedai di bandar ini masih mengekalkan identiti 40-annya, atau pun sebenarnya tersisih dari arus pembangunan meski pun negara di ambang kemerdekaan yang ke 50 tahun.
Bandar lama Kerdau menjadi penting kerana semenjak tahun 1930-an sehingga 1970-an keretapi merupakan perhubungan keperluan utama penduduk berurusan ketika itu.
Kendati pun dari segi pentadbirannya kini Kerdau hanyalah merupakan sebuah mukim dan Dewan Undangan Negeri (DUN), namun dari segi sejarahnya bandar ini pernah menjadi tumpuan utama dan penting kepada penduduk sebelah sini dengan dihuni oleh pelbagai bangsa. Buktinya di Kerdau pernah diadakan pilihan raya majlis tempatan pada tahun 1959 bagi pentadbiran perbandaran.
Dari segi pendidikan pula, sekolah rendah yang sudah pun dibina oleh pemerintah Inggeris sejak 1906 di situ, menunjukkan masyarakat Kerdau sudah pun dianggap berpelajaran sejak dulu lagi.
Melengkapkan lagi pembelajaran warga tempatan, di situ juga ada pusat pengajian pondok Tuan Guru Haji Ibrahim Mohd Arif (meninggal dunia pada 1978). Beliau merupakan anak murid dan juga menantu saudara Tok Kenali.
Menurut cerita, apabila orang-orang Kampar yang datang dari Sumatera pada tahun-tahun 1920-an, mereka telah membuka gedung-gedung perniagaan. Ini berbetulan dengan harga getah yang melambung di pasaran dunia ketika itu, di mana ramai pelabur-pelabur berlumba-lumba membuka estet getah. Pekerja-pekerja ladang terdiri daripada orang-orang Cina dan India.
Selain orang Kampar, peniaga-peniaga Cina juga menyewa tanah milik orang Melayu tempatan dengan mendirikan deretan kedai.
Kerdau menjadi bertambah maju apabila landasan keretapi yang menghubungkan Singapura ke Gemas menuju ke Tumpat hingga ke Hatyai di Thailand telah siap. Kerdau yang berada di antaranya mempunyai sebuah stesen perhentian. Bahkan apabila Jepun menyerang Malaya melalui Kota Bharu pada 8 Disember 1941, menuju ke Singapura, Kerdau menjadi laluan dan persinggahan mereka.
Bandar Kerdau menjadi makin maju selepas Jepun menyerah kalah pada 3 September 1945. Di deretan kedai itu sudah menempatkan kedai barang keperluan, kedai kopi, tukang emas, tukang besi, tukang zink, tukang jahit mesin padi dan panggung wayang. Di situ juga terdapat pekan sari setiap hari Isnin di mana penduduk tempatan dan sekitarnya datang berjual beli dan bertukar barangan.
Ketika Sir Edward Gent mengisytiharkan darurat pada 18 Jun 1948, Kerdau juga menerima tempiasnya. Selepas diserang gerila Komunis di mana seorang pengurus estet di situ mati ditembak, bandar Kerdau dipagar dengan kawat duri dengan dua lengkongan. Ketika itu juga Inggeris membina Balai Polis Kerdau sebab kuatnya Komunis. Ini disebabkan pusat latihan dan operasi Komunis Bukit Kuin yang terkenal itu hanya berada kira-kira 8 kilometer dari situ.
Kehidupan semasa darurat
Selepas itu Inggeris menempatkan orang-orang Cina di kampung-kampung baru. Anggapan penjajah ketika itu bangsa Cina senang dipengaruh dan diperalatkan Komunis terutama untuk membekalkan makanan.
Antara orang yang merasai kehidupan semasa darurat di Kerdau ialah Zakaria Miyasin, 66.
“Ayah saya pun ada kedai ketika itu. Saya masih ingat, sebelum pukul 6 petang pada masa darurat itu bandar Kerdau yang dikelong dengan kawat duri oleh orang putih diserbu penduduk serata ceruk termasuk dari kampung dan estet untuk mendapatkan barang keperluan. Polis SC (special constable) masa itu dikerahkan membuat kawalan 24 jam”, ujarnya.
Zakaria pernah bertanding mewakili PAS pada pilihan raya majlis tempatan untuk memilih ahli Kerdau Local Consul pada tahun 1959. bagaimana pun beliau tewas. Pada pilihan raya itu parti Perikatan memenangi dua kerusi manakal Front Sosialis pula memenangi satu. Bagaimana pun pada 1 Mac 1965 kerajaan telah memansuhkan pilihan raya majlis tempatan.
“Perhubungan masyarakat di sini agak unik kerana bergaul mesra dan bersatu padu. Ketika di sesetengah tempat berlaku pertumpahan darah dan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, tiada apa-apa berlaku di sini sebab Melayu dengan Cina sudah biasa hidup bersama sejak lama”, kata Zakaria.
Seorang lagi penduduk yang pernah merasai kemajuan bandar kerdau ialah pesara guru Siti Ainin Tok Muda Abdul Malik, 84. Menurutnya semasa tahun 1940-an beliau sering berulang ke pejabat pelajaran Temerloh dan satu-satunya pengangkutan masa itu ialah melalui keretapi. Katanya tambang keretapi ke Mentakab masa itu 14 sen. Tambang bas dari Mentakab ke Temerloh pula ialah 15 sen.
“Masa bandar Kerdau menjadi tumpuan serata mukim Kerdau. Suami saya ketika itu berniaga kedai kopi dan membeli getah tidak jauh dari stesen keretapi. Suami saya pernah ditembak oleh Bintang Tiga, tapi tidaklah parah”.
“Antara peristiwa yang masih saya ingat pengeboman tentera Jepun ke atas keretapi yang dinaiki Gurkha tentera upahan orang putih ketika berhenti di stesen Kerdau. Sebab jaraknya dekat, kami dengar dan bertempiaran lari menyelamatkan diri. Pada masa perang dunia, Kerdau menjadi tempat rebutan padi antara Jepun dengan Cina Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA). Orang Kerdau seusia saya telah biasa berurusan dengan Orang Putih, Jepun dan Cina Komunis”.
Kerdau mulai malap
Menurut Siti bandar Kerdau mulai menjadi malap apabila pihak kerajaan membina jalan besar antara Temerloh ke Jerantut pada tahun 1970. Bila perjalanan menjadi mudah, keretapi kurang sambutan dan mulai dilupakan. Tidak seperti dulu, keretapi ekspres juga sudah tidak berhenti lagi di Kerdau. Begitu juga bila tanah rancangan Felda dibuka di seluruh negara, ramai penduduk di sini memasukinya.
Kebanyakan penduduk juga berurusan terus ke bandar Temerloh.
Akhirnya kedai-kedai orang Melayu ditukar menjadi rumah kediaman. Sementara masih-masih ramai peniaga Cina kekal berniaga sehingga ke generasi ketiga.
Dalam pada itu seorang penduduk tempatan, Ahmad Mohd Yaman, 50, merasakan Kerdau elok dimajukan semula memandangkan kini terdapat kerja-kerja pembaikpulihan landasan keretapi sepanjang 133 km dengan kos RM29 juta di antara Gemas dan Kerdau sedang giat dilaksanakan.
“Walau pun di Simpang 4 Kerdau sudah ada kedai kerana berada di pinggir jalan utama Temerloh-Jerantut, saya rasa bandar lama Kerdau juga elok dimajukan. Kerajaan mungkin terlepas pandang. Cuma mungkin ada sedikit masalah kerana ada tanah milik individu. Atau geran tanah masih syarat pertanian. Tapi kalau kerajaan serius sudah tentu boleh, mungkin melalui anak syarikat kerajaan negeri, swasta atau memberi kemudahan pinjaman kepada tuan tanah sendiri untuk membangunkannya”.
dan sebagainya”.
“Kerdau yang bersejarah ini patut mendapat perhatian semua pihak. Jika tidak sebahagian dari sejarah perjalanan bangsa dan tanah air di sini akan lenyap ditelan waktu tanpa diketahui generasi akan datang”.