Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein dan Presiden MIC, Senator Datuk G. Palanivel disebut-sebut akan dilantik sebagai menteri penuh dalam rombakan kecil kabinet yang khabarnya bakal diumumkan lewat petang ini.
Palanivel adalah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan pada 6 Disember tahun lalu diangkat sebagai presiden MIC menggantikan Datuk Seri S. Samy Vellu yang mengundurkan diri selepas 31 tahun menerajui parti itu.Seorang lagi yang disebut-sebut bakal dilantik ke jawatan menteri penuh ialah Timbalan Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa, Datuk Mukhriz Mahathir.
Mukhriz baru sahaja dilantik sebagai timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah.
MStar Online difahamkan, sekiranya rombakan tersebut berlaku, pejabat Perdana Menteri akan mengeluarkan satu kenyataan penuh menjelang lewat petang ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kini sedang mempengerusikan mesyuarat mingguan Jemaah Menteri di Kompleks Seri Perdana, Jabatan Perdana Menteri.
Sehingga berita ini ditulis, adalah tidak diketahui siapakah yang akan digugurkan dari senarai kabinet Najib jika rombakan kabinet mengambil tempat.
Juga tidak diketahui apakah dengan pelantikan Palanivel, Datuk Dr S. Subramaniam yang buat masa ini menyandang jawatan Menteri Sumber Manusia akan terus kekal dalam kabinet Najib.
Subramaniam adalah satu-satunya wakil MIC dalam kabinet kerajaan persekutuan. Beliau kini adalah timbalan presiden MIC.
Khabar mengenai rombalan kabinet telah berulang kali disebut tetapi tidak menjadi kenyataan.