KUALA LUMPUR: Norazimah Mohamad Nor atau lebih dikenali sebagai ‘Nora Reformis’ kesal dengan sikap biadap beberapa pegawai Unit Khas Penjara (UKP) sepanjang tempoh tahanannya di penjara Kajang.
“Walaupun bertudung, pegawai penjara wanita mempunyai sikap yang teruk. Mencarut dan memaki hamun menjadi ‘makanan’ kami dalam penjara.“Mereka turut bertanya kepada saya, ‘Kau ni gundik Anwar ke, Nik Aziz? Berapa mereka bayar kau…?” kata Nora menceritakan pengalamannya kepada Keadilandaily.com.
Nora ditahan di penjara itu selama dua malam sebelum dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas dakwaan terbabit dalam demonstrasi pada 2008. Beliau dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000.
Menceritakan pengalamannya ketika ditahan, Nora berkata pegawai terbabit mengugut melakukan tindakan lebih keras selepas mengetahui kes berkaitannya adalah kes demonstrasi.
Ketika melalui rutin pemeriksaan tubuh, pegawai UKP tersebut turut menendangnya kerana tidak mengikut arahan. Bahkan Nora didenda untuk membuat ‘lompat bintang’ berpuluh kali, sekiranya soalan yang dijawabnya tidak memuaskan hati para pegawai terbabit.
Nora mendedahkan, kebanyakan tahanan penjara Kajang terdiri dari kes jenayah dan imigresen. Justeru, beliau mempersoalkan tindakan pegawai terbabit yang seolah menyamakannya dengan penjenayah.
“Saya turut dimaki dengan perkataan bodoh, bengong dan bebal. Apa mereka ini tidak ada perikemanusiaan?
“Kalau saya sebagai warga Malaysia pun diperlakukan begitu, apa lagi warga asing,” jelasnya yang turut melihat seorang wanita warga Indonesia dipukul di kepala oleh seorang pegawai penjara.
Dalam pada itu, Nora memaklumkan keadaan di dalam penjara sangat sesak dengan tahanan. Selain terpaksa berkongsi bersama 14 orang tahanan di dalam satu sel, penyediaan makanan dan tempat tidur adalah sangat mendukacitakan.
“Kami hanya diberi selimut untuk mengalas tempat tidur di atas lantai. Hanya sepasang pakaian penjara yang diberikan sepanjang tiga hari. Untuk makanan yang sedikit baik, kami terpaksa membelinya. Bahkan tuala wanita untuk tahanan wanita terpaksa dicatu,” jelasnya.
Nora menambah, ketika beberapa orang rakan datang ingin melawat, pegawai penjara meminta beliau untuk menukar pakaian dan merapikan keadaan dirinya.
“Semasa sesi pertemuan bersama penjamin saya di sebuah bilik khas, percakapan kami diintip. Ini membuatkan saya terpaksa untuk ‘berlakon’ di depan mereka, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
“Saya juga diarahkan oleh pegawai untuk mengatakan bahawa kes saya adalah kes mencuri. Bukannya kes perhimpunan aman.
“Saya bimbang jika saya berterus terang ketika itu, saya akan ‘dihukum’ pula oleh mereka ketika dibawa masuk ke dalam sel” tambahnya.
Nora memaklumkan dia masih ingat nama dan wajah kesemua pegawai-pegawai penjara tersebut. Beliau akan berbincang dengan ahli keluarga dan peguam sebelum mengambil tindakan susulan berikutan layanan buruk diterima sepanjang penahanannya.
Perbicaraan kes ‘Perarakan Aman Menentang Kenaikan Harga Minyak 2008′ akan disambung semula pada 28 Februari ini. Antara tokoh politik yang turut didakwa dalam kes tersebut termasuk pimpinan Pas, Mohamad Sabu dan 42 yang lain.