Grab the widget  IWeb Gator

Sunday, January 2, 2011

Krismas: Ridhuan Tee pertahan Najib, tidak mahu Putrajaya minta maaf



Malah dalam ruangannya disiarkan hari ini, Ridhuan juga mengecam pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat khususnya Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad, yang meminta Najib agar memohon maaf berhubung perkara tersebut.

Seterusnya, Ridhuan juga berkata, jikapun benar permintaan sedemikian Najib dan pegawai-pegawainya tidak perlu memohon maaf atas tindakan mereka dan ia bukan satu perkara berat.

“Pada saya, jika benarlah berita tersebut, permintaan pejabat Perdana Menteri itu tidaklah terlalu berat.

“Ia tidak ada kaitan langsung dengan tindakan untuk menghalang kebebasan beragama kecuali mereka yang ingin mendapatkan laba politik,” kata beliau dalam tulisan terbaru bertajuk “Politik murahan yang memualkan”.

“Ultra kiasu sungguh mereka yang tidak sedar diuntung ini. Mencari politik murahan yang amat memualkan dalam keadaan umat Islam tersepit,” kata beliau merujuk kepada desakan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Baru-baru ini, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menggesa Najib memikul tanggungjawab sepenuhnya dan meminta maaf secara terbuka berhubung sikap “tidak senang” akibat tindakan pembantunya ketika majlis sambutan Krismas anjuran Ketua Biskop Katolik pada Hari Krismas.

Gesaan itu dibuat ekoran dakwaan bahawa pegawai-pegawai Najib mengarahkan kepimpinan gereja mengalih salib dan simbol-simbol lain daripada lokasi majlis itu, yang diadakan di Bukit Nanas di sini sebelum ketibaan Najib.

Selain itu, him dan doa juga dilarang ketika kehadiran Najib.

Sumber-sumber mendedahkan bahawa arahan itu dikeluarkan tanpa pengetahuan Perdana Menteri.

Pemimpin-pemimpin DAP, PAS dan PKR menggesa Najib agar bertindak segera dan menjelaskan pendirian beliau mengenai arahan itu atas alasan sebarang kelewatan dikhuatiri boleh menjejaskan hubungan antara kaum yang rapuh.

Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad menggambarkan tindakan pembantu-pembantu Najib itu sebagai sikap “tidak boleh bertolak ansur”, malah mencerminkan sikap kerajaan pusat Barisan Nasional (BN).

Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok menuduh perdana menteri cuba untuk mengongkong kebebasan agama dan menuntut beliau memikul tanggungjawab sepenuhnya serta memohon maaf.

Penganut agama Kristian ada hak untuk tersinggung, kata Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang menambah, syarat-syarat yang dikenakan ke atas Gereja Katolik menunjukkan sikap Umno dan BN yang mahu terus meletakkan negara ini berpecah dalam soal agama.

Tulisan Ridhuan juga mendakwa selama ini tidak ada siapapun melarang sambutan Krismas sehingga menenggelamkan suasana bandar raya walaupun bilangannya begitu sedikit.

Katanya, sambutan Krismas seolah-olah mempamerkan penganutnya lebih 50 peratus di negara ini.

Pensyarah kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia ini menambah, atas dasar menghormati kebebasan beragama, tidak ada larangan untuk mengehadkannya walaupun sepatutnya berpada-pada dengan bilangan kurang 10 peratus.

“Pemimpin PAS Shah Alam begitu beriya-iya mempertahankan isu ini dan mendakwa Perdana Menteri tidak mengamalkan toleransi beragama.

“Pada saya toleransi yang ditunjukkan oleh pemimpin negara selama ini terlalu tinggi, jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Berapa banyak cuti perayaan bukan Islam yang diberikan cuti umum? Bandingkan perayaan-perayaan Islam di negara bukan Islam,” katanya dengan meminta agar dilihat suasana di Singapura.

“PAS tidak perlulah menangguk di air yang keruh. Saya yakin jika pemimpin PAS Shah Alam itu bertanding atas tiket ultra kiasu di salah satu kawasan Parlimen Kuala Lumpur, sudah tentu sambutan yang diterima amat luar biasa kerana beliau jelas mewakili suara bukan Islam,” katanya yang juga Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia.

Ridhuan menyindir dengan berkata malang sungguh rakyat Shah Alam mendapat pemimpin sebegini rupa.

“Ternyata suara ketua ultra kiasu Selangor dan pemimpin Shah Alam ini sama dan senada, cuma agama sahaja yang berbeza. Jika tidak, mungkin mereka berjodoh,” katanya.

Beliau menambah, penganut Kristian berhak untuk menyambut perayaan mereka tetapi mahu mereka juga patut menghormati Perdana Menteri selaku seorang pemimpin nombor satu yang beragama Islam.

“Jika mengikut hukum, banyak perayaan agama bukan Islam yang tidak boleh dihadiri oleh orang Islam. Tetapi atas toleransi dan keharmonian, pemimpin negara kita buat pejam mata sahaja. Saya juga ingin mendapat komen pemimpin PAS dalam hal ini. Dan juga, apakah hukum membina patung Buddha yang begitu besar di Kelantan dengan bilangan penganut mereka yang begitu sedikit di sana?” katanya.

Ridhuan juga menyoal sama ada cacatkah majlis tersebut dengan ketiadaan lambang-lambang tersebut.

“Selama ini kebanyakan sambutan perayaan Malaysia diadakan di tempat terbuka yang dihadiri oleh Perdana Menteri.

“Kali ini Perdana Menteri bermurah hati menerima jemputan yang diadakan di rumah biskop tersebut.

“Sudah tentu lambang-lambang keagamaan bersepah-sepah di rumah tersebut. Apakah permintaan Perdana Menteri begitu besar kesalahannya, hanya semata-mata untuk mengelakkan fitnah?” katanya lagi.

Seiring dengan tajuk tulisannya, Ridhuan berkata, politik murahan hari ini hanya menunggu masa untuk menjatuhkan seseorang.

“Seribu kebaikan akan dilupakan hanya dengan satu kesilapan atau kesalahan. Inilah politik kotor saling jatuh-menjatuh yang tidak pernah berkesudahan kalangan orang Melayu Islam?

“Lebih hina lagi pemimpin ini membanding dengan, apakah mungkin Perdana Menteri akan mengalihkan patung-patung di Batu Caves jika ada jemputan dibuat daripada penganut Hindu di sana?” katanya.

Sambil berkata ia merupakan dua isu yang berbeza, Ridhuan berkata, beliau yakin semua pemimpin Islam tidak akan berada selesa jika majlis keramaian atau perayaan diadakan di tempat-tempat ibadat.

Ridhuan berkata, sambutan Krismas tidak sepatutnya dibuat di gereja atau di rumah paderi tetapi di tempat umum.

“Sama juga sambutan di Tahun Baru Cina, tidak wajar di adakan di tokong atau kuil Cina kerana sambutan tersebut tidak sesuai diadakan di sana kerana ditakuti boleh menimbulkan fitnah,” katanya lagi.

Beliau menambah, kesediaan dan kesudian Perdana Menteri yang sanggup “mencemar duli” pergi ke “rumah ibadat” tersebut sepatut diberikan penghargaan dan pujian, bukannya dilacurpolitikkan.

Bayangkan jika Perdana Menteri tidak berhati-hati dan terus pergi ke “rumah ibadah” tersebut, tiba-tiba muncul gambar Perdana Menteri bersama-sama lambang salib di atas kepalanya.

“Tidakkah nanti akan dipolitikkan oleh pembangkang ketika pilihan raya.

“Saya masih teringat bagaimana lambang salib dijadikan isu untuk mengaibkan dan menjatuh pemimpin Islam satu ketika dahulu. Tidak kiralah siapa yang melakukannya, tetapi semua peristiwa ini perlu dijadikan teladan,” katanya.

Ridhuan berkata, kalaupun tiada arahan sepatutnya pihak gereja perlu faham sensitiviti masyarakat Islam di negara ini setelah lebih 53 tahun merdeka.

“Jika perkara ini sudah tidak menjadi sensitif lagi, saya cadangkan Menteri Besar Selangor atau Menteri Besar Kelantan, satu hari nanti mungkin boleh mengambil kesempatan untuk merasmikan tokong atau gereja orang bukan Islam?

“Saya yakin orang bukan Islam juga tidak akan berasa selesa jika kita panggil menghadiri majlis keagamaan orang Islam di dalam masjid,” katanya.

Beliau menambah, sebenarnya ada banyak cara untuk menunjukkan rasa hormat terhadap agama lain tidak semestinya melalui jemputan rumah terbuka, apatah jika dibuat di tempat ibadat.

“Saya tidak pasti, apakah Perdana Menteri akan melakukan permohonan maaf atau tidak. Dalam isu ini, yang pasti Perdana Menteri tidak bersalah.

“Terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri. Tetapi amatlah tidak molek dan bersopan, jika kita memaksa Perdana Menteri memohon maaf secara terbuka seperti yang cuba dilakukan oleh (Mursyidul Am PAS, Datuk) Nik Aziz (Nik Mat),” katanya lagi.

bodek jangan tak bodek..tak lama lagi nama naik dalam fail najib la ni. dapat keja bahagian mana-mana. apa khabar ustaz yang sepak tong? hehehe...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular