Grab the widget  IWeb Gator

Sunday, January 2, 2011

Konsert Wali Band : Pemuda UMNO Kelantan Dinasihati Memahami Enakmen Kawalan Hiburan 1998


1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) tertarik untuk mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Saudara Anuar Safian seperti yang tersiar di dalam akhbar Utusan Malaysia 1 Januari 2011 (muka 24). Kenyataan yang sama turut tersiar di dalam akhbar Sinar Harian 1 Januari 2011 (muka N7). Beliau di dalam kenyataan tersebut mempertikaikan langkah kerajaan negeri membenarkan penganjuran persembahan kumpulan dari Indonesia, Wali Band sempena sambutan tahun baru 2011 di Stadium Sultan Muhammad V, Kota Bharu, Kelantan.

2. DPPNK ingin memberikan penjelasan bahawa setiap persembahan hiburan di Kelantan haruslah mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998. Inilah pendirian kerajaan Kelantan sejak memperkenalkan Dasar Membangun Bersama Islam dan tidak timbul timbul soal mengubah pendirian untuk menarik golongan muda seperti yang dinyatakan oleh Anuar.

3. Di dalam Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998, sudah disenaraikan bentuk-bentuk larangan yang dikenakan terhadap semua aktiviti persembahan hiburan di Kelantan dan persembahan konsert Wali Band tidak langsung melanggar Enakmen tersebut. Manakala penganjur konsert, Anjung Tulus Corporation Sdn. Bhd. telah diberikan syarat agar memastikan tidak berlakunya percampuran di antara penonton lelaki dan perempuan bukan mahram sepanjang persembahan berlangsung. Inilah juga peraturan yang dikenakan terhadap semua penganjur aktiviti hiburan di Kelantan termasuklah Jom Heboh yang dianjurkan oleh Stesyen TV Portal TV3 pertengahan tahun lepas.

4. Sebarang kelemahan di dalam penguatkuasaan Enakmen tersebut tidaklah sama sekali boleh menafikan hasrat positif yang terkandung di dalamnya.

5. DPPNK ingin menasihatkan Pemuda UMNO Kelantan khususnya ketuanya sendiri agar membaca dan memahami dahulu Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang hanya menampakkan kedangkalan semata-mata.

6. Saudara Anuar Safian juga turut membangkitkan berkenaan status kumpulan tersebut sebagai ‘orang luar’ yang kononnya diutamakan berbanding dengan kumpulan tempatan. Alasan yang remeh seperti ini sepatutnya tidak keluar dari seorang ketua pergerakan pemuda parti yang mendakwa mendokong 1Malaysia. Barangkali Pemuda UMNO Kelantan mahu menyindir kerajaan Barisan Nasional yang mengambil syarikat perunding APCO Wordwide menjadi penasihat dengan bayaran RM77 juta setahun!

7. Sewajarnya Pemuda UMNO Kelantan lebih prihatin terhadap langkah UMNO membenarkan penganjuran konsert yang terang-terang melanggar syariat seperti persembahan artis gay yang penuh kontroversi, Adam Lambert mengadakan konsert di Stadium Putra Bukit Jalil pada 13 Oktober 2010 yang lepas. Tidurkah Pemuda UMNO Kelantan ketika itu?

8. Justeru, DPPNK melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan tersebut hanyalah kenyataan remeh temeh dan hanya bertujuan untuk mengelakkan tanggapan bahawa Pemuda UMNO Kelantan sudah kekeringan isu untuk bersuara. DPPNK ucapkan, selamat bersuara!

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI

Ketua Penerangan,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK)

Bertarikh : 26 Muharam 1432 / 1 Januari 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

TOP Ten Minggu INI

Paling Popular