by tvselangor
SHAH ALAM, 4 Jan – Umat Islam negara ini digesa menghindari penyertaan pertandingan memancing atau joran yang berkonsepkan perjudian kerana ia adalah haram dan dosa besar dan jelas mirip syarikat-syarikat yang menamakan diri mereka ‘loteri kebajikan’.
Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, perkara ini semakin membimbangkan kerana kebanyakan pertandingan berkenaan yang begitu meluas berasaskan ‘judi’ atau qimar di negara ini.
Menurut Asri, masyarakat kini tidak sensitif dengan pembantitan diri dalam unsur perjudian dan jueas dalam Islam, Qimar adalah sesuatu yang haram dan berdosa besar.
“Masyarakat pula tidak mengambil serius tentang pembabitan unsur atau asas perjudian dalam kebanyakan pertandingan joran yang diadakan. Dalam Islam judi atau qimar adalah haram dan tersenarai dalam dosa-dosa besar.
Jelasnya lagi Qimar membawa erti ’setiap pertandingan yang mensyaratkan pemenang mengambil sesuatu dari yang kalah’ seperti mana pertandingan memancing yang wujud hari ini.
“Qimar atau judi bermaksud ’setiap pertandingan yang mensyaratkan pemenang mengambil sesuatu dari yang kalah’. Dalam qimar atau judi ada pihak yang rugi dan yang untung atas pertaruhan tersebut. Hal ini berlaku dalam kebanyakan pertandingan joran dalam negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media yang dipetik daripada Malaysiakini.
dalam pada itu, Asri turut menjelaskan, yuran penyertaan atau wang pertaruhan itu digunakan untuk pembayaran peserta menggunakan kemudahan yang disediakan seperti makan minum, duit kenderaan dan seumpamanya, maka ia bukan judi dan pertaruhan.
“Namun, apabila ia menjadi wang terkumpul untuk hadiah pemenang, maka itu adalah satu perjudian.
Konsep ini hampir sama dengan apa yang digunakan oleh syarikat-syarikat loteri yang pernah menamakan diri mereka ‘loteri kebajikan’,” katanya.
Katanya, wang pertaruhan yang diambil itu dijadikan sumber untuk ‘hadiah’ kepada yang menang, atau keuntungan kepada pengajur atas kekalahan peserta.
“Pembayaran wang penyertaan kebanyakannya bukan untuk kemudahan yang dinikmati oleh peserta, sebaliknya sebagai wang pertaruhan. Ini terbukti setiap peserta dikehendaki membayar berdasarkan mata pancing yang digunakan.
“Wang yang terkumpul itu juga dijadikan hadiah, atau keuntungan penganjur jika peserta gagal. Unsur pertaruhan itu jelas. Biasanya, lebih besar pertaruhan, lebih lumayan hadiah,” katanya.