Video Youtube yang berfitnah terhadap saya
December 16th, 2010 by Teresa Press
Saya amat hairan untuk melihat video Youtube yang memutar-belitkan keadaan sebenar dan menfitnah saya berkelakuan biadap di dalam masjid.
Tuduhan yang dilemparkan dalam video Youtube ini adalah tidak berasas sama sekali.
Apa yang sebenarnya berlaku adalah seperti berikut:
Pada waktu tengahari 5 Disember 2010, kami berhimpun di perkarangan Masjid Negara demi menyokong Kerajaan Selangor untuk mengembalikan hak air kepada rakyat.
Lebih kurang jam 1.15pm, setelah MB dan para pemimpin yang beragama Islam bersolat, saya diberitahu bahawa Menteri Besar ingin bercakap dengan saya dan minta saya naik ke balkoni tingkat satu, iaitu tempat bersolat Muslim, demi memberi ucapan kepada orang ramai yang telah berhimpun di perkarangan masjid.
Apabila saya berada di bawah tangga ke tingkat 1, setelah menanggalkan kasut saya, saya juga diminta untuk memakai tudung/selendang. Selepas saya memakai selendang, saya memang rasa kurang selesa untuk naik ke tempat bersolat orang Islam. Itu sebabnya saya bertanya-tanya isteri Dr Xavier dan Tian Chua samada sesuai bagi kami orang bukan Islam untuk naik ke tempat bersolat Muslim di tingkat 1, kerana saya tidak ingin mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh Teo Nie Ching yang mana akhirnya diputar-belitkan oleh media dan musuh politik Pakatan.
Selepas saya berjumpa dengan Tian Chua, dia setuju dengan pandangan saya bahawa kami wakil rakyat bukan Islam tidak sepatutnya naik ke tingkat 1 di tempat solat orang Islam, saya pun turunkan selendang di atas kepala saya. Pada waktu itu, saya agak marah dengan rakan saya yang kurang sensitif dengan keadaan pemimpin bukan Islam seperti saya, Dr Xavier dan sebagainya.
Ini adalah apa yang ditunjukkan dalam video Youtube ini. Saya memang sedar terdapat orang yang ingin memerangkap saya untuk menunjukkan saya masuk ke tempat bersolat dan mengulangi tuduhan palsu mereka terhadap Teo Nie Ching terhadap saya. Saya memang tidak sangka tindak-tanduk saya di bawah tangga yang menunjukkan saya tidak ingin masuk tempat bersolat di Masjid Negara pun diputar-belitkan oleh golongan jahat tersebut.
Oleh itu, video yang memfitnah saya itu penuh dusta, palsu dan tidak berasas sama sekali.