Ditilik situasi ketika itu, kedudukan penjajah British benar-benar diancam oleh perjuangan kemerdekaan rakyat berbagai kaum dari berbagai aliran patriotik demokratik atau disebut juga sebagai golongan kiri. Boleh dikatakan semua kekuatan progresif Melayu dan bukan Melayu telah bergabung dalam barisan bersatu PUTERA – AMCJA. UMNO sebagai pertubuhan yang mewakili golongan pertengahan dan atasan Melayu yang menyokong pemerintahan British sudah tidak dapat menandingi gabungan kekuatan kiri berbagai kaum tersebut. Hartal raksasa 1947 yang dilancarkan PUTERA-AMCJA benar-benar dirasakan kesannya oleh kaum penjajah.
Di segi yang lain, situasi perjuangan kemerdekaan marak berkobar di merata tempat di Asia dan Afrika. Persidangan Serantau Asia yang diadakan di New Delhi dan Persidangan Parti-Parti Komunis Negara Komanwelth pada tahun 1947 benar-benar telah menambah semangat baru kepada gerakan kemerdekaan di Asia. Perkembangan situasi ini, sedikit sebanyak telah mempengaruhi gerakan kemerdekaan di Malaya. Dr. Burhanuddin, Abdullah C.D. dan lain-lain yang pulang ke tanah air dari persidangan Serantau Asia telah menjelajahi seluruh Malaya menyampaikan semangat persidangan tersebut kepada massa rakyat yang luas, terutamanya kepada organisasi-organisai yang memperjuangkan kemerdekaan seperti API, AWAS, Barisan Tani Malaya dan lain-lain. Begitu juga dengan Rashid Maidin, Wu Tien Wang dan Balan yang pulang dari Persidangan Parti-parti Komunis Negara Komenwelth bergabung dengan dengan PKMM menyampaikan semangat keputusan persidangan itu ke seluruh pelusuk tanah air. Begitu hangatnya gelombang gerakan kemerdekaan rakyat berbagai lapisan semua bangsa sehinggakan seruan merdeka sentiasa bergema di kota dan desa.
Justeru itulah, apabila penjajah British mengisytiharkan Undang-undang Darurat, kaum patriot demokrat berbagai aliran yang cintakan kemerdekaan tidak teragak-agak lagi memasuki hutan menentang penjajah British secara kekerasan. Dalam masa yang sama, PKM yang sudah mempunyai pengalaman tertentu dalam memimpin Perang Anti-Jepun telah menyeru rakyat semua kaum memanggul senjata melawan penjajah Inggeris untuk kemerdekaan Malaya. Dengan itu melatuslah untuk kemerdekaan yang di namakan PERANG PEMBEBASAN NASIONAL ANTI-BRITISH.
Dalam masa perang ini berlangsung, (1948 -1957) kaum penjajah British telah mengerahkan seluruh pasukan askar dari merata tanah jajahannya dalam jumlah yang amat besar untuk menekan Perang Pembebasan Nasional tersebut. Abdullah C.D. dalam Memoir beliau bahagian kedua PENAJA DAN PEMIMPIN REJIMEN KE-10 menyebut:
Untuk memadamkan perjuangan bersenjata, penjajah British telah mengerahkan kekuatan tentera yang besar ke Malaya. Dalam beberapa tahun setelah diisytiharkan Undang-Undang Darurat, terdapat hampir 100 batalion pasukan infantri, pasukan meriam dan pasukan kereta perisai dikerahkan. Jumlah kira-kira 400,000 orang itu termasuklah 77,000 polis dan 320 ribu tentera (termasuk tentera simpanan ataupun AP). Askar British lebih 50 batalion Askar Gurkha 8 batalionAskar Australia 3 batalion Askar New Zealand 3 batalionAskar Kenya 1 batalion Askar Rhodesia Utara (Zambia) 1 batalion Askar Nyassaland (Malawi) 1 batalion Askar Fiji 1 batalion Selain dari mengerahkan kekuatan tentera yang besar, penjajah British tak putus-putus menukar benggolan perang dan politiknya di Malaya. Pesuruhjaya Tinggi 3 kali - dari Edward Gent, Henry Gurney, Gerald Templer hingga ke Donald MacGalivery. Panglima tentera 6 kali - Dari Charles Bucher, Harold Briggs, Ralph Lockhart, Gerald Templer, W.P. Oliver, Jefry Boon hingga ke Rodger Bauer.Jelas sekali bahawa penjajah British bukan hanya tersepit di segi politik, tetapi juga mengalami pukulan teruk dari segi militer dan ekonomi. Dalam bukunya sempena memperingati 50 tahun Darurat di Malaya, Abdullah C.D. menulis:
Harry Miller menulis bahawa: “Perang Malaya berkembang menjadi perang kecil yang paling rumit dan paling mahal dalam sejarah komanwelth British.” Untuk menampung beban perang tersebut, penjajah British terpaksa meminta bantuan militer dan teknikal dari Amerika Syarikat dan Negara-negara komenwelth.
Kaum penjajah British benar-benar goyah hingga ke akar umbinya menghadapi perang pembebasan yang dahsyat tersebut. Dalam bukunya Darurat Dan Kemerdakaan Abdullah C.D. menyebut:
Setiausaha Tanah Jajahan British dalam sebuah petunjuknya kepada Templer berkata: “Malaya harus dijadikan sebuah Negara yang mewujudkan pemerintahan sendiri sepenuhnya pada masa yang dianggap sesuai….” “Pemberontakan komunis sedang menghambat kemajuan politik negara ini”.
Victor Purcell, Pengarah Besar Penerangan dan Penasihat Untuk Hal Ehwal Orang-orang Cina bagi pentadbiran tentera British di Malaya berkata: "Masanya sudah terlambat dan sudah tidak ada waktu lagi untuk beransur-ansur seperti apa yang dilakukan di India dan Ceylon, mesti mempercepat langkah Malaya ke arah pemerintahan sendiri, kerana semakin lama Malaya tinggal dalam kedudukan tergantung maka semakin besarlah komunisme. Sebab itu polisi yang cuba hendak memelihara penguasaan langsung ke atas Malaya dengan cara menangguhkan pemerintahan sendiri atau melambat-lambatkannya secara tidak layak adalah polisi yang cetek pandangannya bahkan membunuh diri”
Dia seterusnya menggembar-gemburkan bahawa harus memupuk tokoh-tokoh yang hanya menentang badan pentadbiran ketika itu tapi tidak mahu memutuskan hubungan dnegan penjajah British setelah pemerintahan sendiri didirikan, khasnya mereka yang “merah jambu” dengan mengangkat mereka naik takhta. Kerana katanya, tokoh-tokoh “merah jambu” adalah satu-satunya pilihan untuk menggantikan anasir-anasiar “merah”. Ketua Setiausaha Pentadbiran Tentera British Brig. Jen. Newbold menyokong pendapat tersebut dengan berkata:”Jika kepentingan kita di Timur Jauh hendak diselamatkan, jentera yang baru mesti diadakan. Jentera sebelum perang sudah tidak cekap dan sudah ketinggalan zaman. Di bawah syarat-syarat di mana kita telah kembali ke Timur Jauh, jentera yang baru adalah diperlukan”.
Dari sini dapatlah diketahui bahawa Perang Anti-British telah menyebabkan kaum penjajah British terpaksa memberikan pemerintahan sendiri dan seterusnya kemerdekaan tahun 1957.
Kini&Silam